Hindari Keracunan Ubat-ubatan

Oleh: Haslina Hashim
         Dewan Kosmik
         Disember 2001

Keracunan boleh berlaku di mana-mana atau pada bila-bila masa. Kanak-kanak merupakan golongan yang sering terdedah kepada keracunan sama ada di rumah mahu pun di luar rumah.

Di Pusat Racun Negara, laporan menunjukkan lebih 26% daripada kes-kes keracunan yang dirujuk dari tahun 1995 sehingga Jun 2001 adalah melibatkan kanak-kanak. Kebanyakan daripada kes-kes tersebut juga didapati melibatkan golongan yang berusia antara satu hingga enam tahun. Golongan ini biasanya suka mencuba sesuatu yang baru dan menarik tanpa mengetahui bahayanya hal ini kepada mereka.

Apakah keracunan ubat-ubatan?

Hampir setiap rumah mempunyai atau menyimpan ubat sama ada dalam bentuk ubat biji atau cecair yang boleh dimakan, atau bentuk yang tidak boleh dimakan seperti ubat sedut, supositori, krim, salap, losyen dan ubat titis. Setiap ubat adalah racun sekiranya tidak digunakan mengikut peraturan yang disarankan. Oleh itu, setiap arahan penggunaan pada label atau yang diberitahu oleh  doktor dan petugas di kaunter farmasi mestilah difahami dan dipatuhi untuk mengelakkan risiko keracunan. Selain itu, keracunan juga boleh berlaku akibat kelalaian ibu bapa atau penjaga dalam mengambil langkah-langkah tertentu memastikan semua ubat-ubatan dalam rumah sentiasa dijauhkan daripada kanak-kanak.

Apakah ubat-ubatan yang sering menyebabkan keracunan kepada kanak-kanak?

Terdapat banyak jenis ubat-ubatan yang sering diberikan kepada kanak-kanak untuk merawat pelbagai penyakit. Ubat-ubatan ini mungkin diperoleh melalui preskripsi doktor atau dibeli dari farmasi atau kedai-kedai lain. Antara ubat-ubatan yang sering diberikan kepada kanak-kanak ialah ubat demam, ubat selesema dan batuk, zat besi dan pelbagai jenis ubat-ubatan untuk kegunaan luar. Terdapat juga ubat-ubatan  untuk orang dewasa yang dimakan oleh kanak-kanak secara tidak sengaja kerana menyangka ubat tersebut adalah makanan kegemaran mereka seperti gula-gula atau coklat.

Antara contoh ubat-ubatan yang sering diberikan kepada kanak-kanak dan biasanya terdapat di kebanyakan rumah ialah:

  • Ubat demam

    Ubat demam adalah sinonim dengan parasetamol malah ia adalah ubat yang paling kerap digunakan untuk kanak-kanak. Selain demam, juga digunakan untuk meredakan atau menghilangkan kesakitan. Mudah dibeli di kedai-kedai tanpa memerlukan preskripsi doktor serta terdapat dalam pelbagai bentuk formulasi seperti ubat kunyah, cecair dan supositori.

    Kebanyakan ibu bapa sering menganggap parasetamol adalah 'sangat selamat'. Tetapi kajian-kajian menunjukkan banyak kes keracunan berlaku kerana sebahagian ibu bapa atau penjaga memberikan dos-dos parasetamol yang tidak betul kepada kanak-kanak. Kesilapan yang paling ketara ialah memberi dos dewasa dalam bentuk ubat biji yang tidak sesuai untuk usia kanak-kanak tersebut. Dalam kes-kes lain pula, keracunan terjadi kerana kesilapan mengira dos yang betul serta kesalahan menyukat dos ubat cecair.

    Parasetamol untuk  kanak-kanak biasanya didapati dalam warna yang menarik serta mempunyai rasa yang enak. Oleh itu, kanak-kanak cenderung untuk memakannya sendiri sekiranya diletakkan di tempat yang mudah dijumpai oleh mereka. Lebihan dos parasetamol yang dimakan oleh kanak-kanak berkemungkinan menyebabkan kerosakan hati yang jika tidak menerima rawatan segara dan boleh membawa maut.

  • Ubat selesema dan ubat batuk

    Ubat untuk rawatan selesema dan batuk biasanya mengandungi antihistamin di samping bahan-bahan lain. Contoh antihistamin konvensional adalah seperti klorfeniramin, prometazin, trimeprazin, defehidramin, triprolidin dan lain-lain lagi. Pada dos-dos yang selamat, antihistamin konvensional boleh menyebabkan rasa mengantuk akan tetapi jika dos berlebihan kanak-kanak akan mengalami tanda-tanda rangsangan sistem saraf pusat seperti pembesaran anak mata, muka merah, mulut kering, demam, dan ataksia (pergerakan otot yang tidak seragam). Selain itu, keracunan juga menyebabkan sawan, tekanan darah meningkat serta perubahan pada fungsi jantung. Sekiranya tidak diberi rawatan segera, maut mungkin menyusul.

    Selain antihistamin konvensional, antihistamin generasi kedua seperti yang tidak menyebabkan rasa mengantuk banyak digunakan masa kini. Lebihan dos boleh menyebabkan kesan toksik kepada jantung dan sawan.

    Di samping itu, bahan lain yang terkandung dalam ubat selesema dan ubat batuk ialah pseudoephedrine, dan jika diambil dalam dos berlebihan boleh menyebabkan tekanan darah meningkat, sakit kepala, halusinasi penglihatan (visual hallucination), kekeliruan, koma, kekurangan bekalan oksigen kepada otot jantung dan lain-lain kesan toksik pada jantung.

  • Zat besi (Iron)

    Keracunan zat besi merupakan punca utama kematian kanak-kanak di bawah enam tahun yang dilaporkan berlaku dari tahun 1988 sehingga tahun 1992 di Amerika Syarikat. Zat besi biasanya didapati dalam banyak sediaan ubat vitamin kanak-kanak dan ibu hamil. Zat besi merupakan zat yang penting untuk mencegah anemia atau keadaan kurang darah yang disebabkan oleh kekurangan zat besi.

    Kanak-kanak yang mengalami lebihan zat besi akan mengalami kesan keracunan segera dan kesan keracunan jangka panjang. Kesan segera biasanya berlaku beberapa minit atau beberapa jam selepas mereka menelan ubat tersebut. Antaranya ialah rasa loya, muntah, cirit-birit dan pendarahan perut-usus, yang boleh mengakibatkan kejutan, koma dan maut.

    Dalam beberapa kes keracunan, kanak-kanak berkenaan kelihatan sembuh seperti sedia kala, akan tetapi pendarahan perut-usus yang teruk, keletihan berlebihan, kegagalan jantung dan koma boleh berlaku antara 12 jam sehingga dua hari kemudiannya. Walaupun kanak-kanak tersebut selamat, mereka mungkin mengalami masalah-masalah lain seperti saluran perut-usus tersumbat dan kerosakan hati yang teruk dalam tempoh tiga hingga enam minggu selepas tarikh keracunan. Oleh itu, sekiranya anak anda tertelan lebihan ubat yang mengandungi zat besi, bawa dia ke hospital segera walaupun tiada kesan segera keracunan diperhatikan. Kadangkala tanda-tanda yang teruk tidak terjadi dalam tempoh yang singkat dan rawatan yang lambat diberi mungkin tidak lagi berkesan.

Bagaimana mencegah keracunan?

Keracunan pada kanak-kanak adalah sesuatu yang boleh dicegah. Usaha-usaha yang gigih untuk mengelakkan keracunan perlu mengambil kira peringkat umur kanak-kanak tersebut.

Kanak-kanak berusia satu hingga tiga tahun merupakan golongan yang paling berisiko untuk mengalami keracunan kerana mereka cenderung untuk memasukkan apa sahaja ke dalam mulut mereka. Kanak-kanak pada peringkat umur ini baru belajar merangkak dan berjalan dan terdedah kepada pelbagai barangan di dalam rumah. Langkah-langkah pencegahan keracunan di rumah paling baik dimulakan ketika kanak-kanak berusia enam bulan atau sebelum kanak-kanak tersebut menyusur dan merangkak.

Kanak-kanak berusia tiga hingga lima tahun biasanya akan memakan sebarang ubat atau pil yang mereka temui. Kumpulan ini bersifat ingin mencuba dan mereka juga gemar meniru gelagat orang dewasa. Apabila usia mereka meningkat, usaha-usaha pencegahan akan lebih cenderung daripada melindungi kepada mendidik. Pada peringkat ini, ibu bapa hendaklah memberitahu anak-anak tentang bahaya keracunan ubat-ubatan.

Apakah keracunan tanpa disedari dan keracunan tidak sengaja?

Keracunan ubat-ubatan pada kanak-kanak boleh berlaku secara tidak disedari atau tidak sengaja. Keracunan tanpa disedari biasanya terjadi kerana salah anggapan ibu bapa atau penjaga terhadap ubat. Kebanyakan kita menganggap bahawa ubat adalah 'sangat selamat' dan mengambil sikap sambil lewa semasa memberikan ubat tersebut kepada anak. Untuk mencegah, beberapa perkara berikut adalah disarankan:

  • Pastikan anda memahami betul-betul arahan yang tercatat pada label ubat contohnya dos atau sukatan ubat yang betul, masa penggunaan dan cara penggunaan ubat yang tepat. Selain itu, arahan tambahan yang diberikan oleh petugas di kaunter farmasi juga perlu difahami dengan baik.

  • Sukatan ubat cecair mesti tepat dan menggunakan penyukat yang betul.

  • Elakkan memberi formulasi ubat untuk orang dewasa kepada kanak-kanak.

  • Goncang botol ubat cecair dahulu sebelum menyukat untuk memastikan kandungannya dicampurkan dengan baik.

  • Buang semua ubat-ubatan yang telah luput atau rosak seperti:

    i. Ubat yang telah berubah warna, bau atau rasa.

    ii. Ubat yang telah tamat tarikh luput atau melebihi dua tahun dalam simpanan anda

    iii. Krim atau salap yang telah berubah warna serta pecah.

    iv. Ubat cecair antibiotik lebihan yang tidak habis dimakan.

    v. ubat tits mata yang tidak habis dipakai.

  • Elakkan mengambil ubat yang telah dipreskribkan kepada orang lain walaupun anda mempunyai tanda-tanda sakit yang serupa.

Keracunan tidak sengaja biasanya terjadi kerana kealpaan kita dalam memastikan ubat-ubatan itu disimpan dengan cara dan di tempat yang selamat. Berikut adalah berapa garis panduan keselamatan yang boleh dipraktikkan.

  • Semua ubat hendaklah disimpan di tempat yang tinggi jauh daripada di lihat dan dicapai oleh kanak-kanak. Kabinet berkunci adalah tempat paling selamat.

  • Jangan tinggal ubat dimerata-rata tempat seperti di atas meja atau katil walaupun hanya untuk seketika sahaja kerana kelalaian kita akan mengundang bahaya.

  • Elakkan daripada memindahkan ubat bekas asal ubat ke bekas lain yang serupa dengan bekas menyimpan makanan. Selain itu, boleh menyebabkan ubat tersebut sukar dikenali dengan segera sekiranya berlaku keracunan, cara ini juga akan mengelirukan kanak-kanak.

  • Tutup bekas ubat dengan kemas. Sekiranya ada, guna penutup yang sukar dibuka oleh kanak-kanak (child-resistant cap).

  • Elakkan meletak atau menyimpan bekas ubat berhampiran dengan bekas makanan kerana ini mungkin mengelirukan kanak-kanak.

  • Buangkan semua ubat-ubatan yang luput atau tidak diperlukan lagi ke dalam tandas.

  • Didik anak-anak tentang bahaya ubat. Elakkan daripada memujuk anak makan ubat dengan mengatakan ubat itu gula-gula.

  • Baca label ubat beberapa kali dengan teliti sebelum memberikan ubat kepada anak terutama pada waktu tengah malam.

  • Jika anda menyimpan ubat di dalam tas tangan anda, simpan hanya untuk kegunaan sehari sahaja. Jauhkan tas tangan tersebut daripada kanak-kanak.

  • Simpan nombor telefon Unit Kecemasan hospital yang berdekatan atau Pusat Racun Negara. Pastikan nombor ini mudah di lihat apabila diperlukan segera. Beri juga nombor telefon ini kepada penjaga kanak-kanak tersebut.

Apakah tanda-tanda yang boleh membantu anda mengesyaki keracunan telah berlaku kepada seseorang kanak-kanak?

Tanda-tanda berikut boleh dijalankan panduan:

  1. Kanak-kanak tersebut pernah mengalami keracunan sebelum itu.

  2. Kanak-kanak tersebut berusia antara satu hingga enam tahun kerana kumpulan ini biasanya menunjukkan tanda-tanda sawan tanpa mengalami demam, atau tidak sedar diri tanpa sebab-sebab yang nyata.

  3. Kanak-kanak itu jatuh sakit secara mengejut lebih-lebih lagi sekiranya dia menunjukkna tanda-tanda sawan tanpa mengalami demam, atau tidak sedar diri tanpa sebab-sebab yang nyata.

  4. Kanak-kanak tersebut muntah tiba-tiba tanpa sebab.

  5. Kesakitan yang dialami melibatkan beberapa bahagian badan tanpa sebab yang pasti.

  6. Nafas kanak-kanak tersebut berbau aneh atau terdapat kesan-kesan kekotoran, luka atau pecah-pecah disekitar kawasan mulut dan bibir mulut.

Apakah yang perlu anda lakukan apabila berlaku keracunan?

Sebahagian tanda-tanda keracunan berlaku dengan segera. Antaranya ialah rasa mengantuk, keletihan, pening, loya, muntah, sakit perut, susah bernafas, kegelisahan, dan hiperaktiviti.

  • Sekiranya anda mengesyaki anak anda termakan ubat-ubatan berlebihan, tenangkan fikiran dan jangan panik.

  • Cari bekas ubat berkenaan untuk memudahkan ubat dikenal pasti daripada label yang tertulis.

  • Telefon doktor anda atau Pusat Racun Negara di 04-6570099 atau talian kecemasan 911 dengan segera.

  • Jangan beri makan atau minum sesuatu sebelum mendapatkan nasihat atau arahan dari doktor anda atau Pusat Racun Negara.

  • Sebelum menelefon, pastikan anda bersedia dengan maklumat-maklumat berikut:

    • Berat badan, umur dan sebarang penyakit yang dihadapi oleh anak anda.

    • Nama ubat berkenaan yang boleh dibaca dari label bekas ubat.

    • Jumlah ubat yang diambil oleh anak anda

    • Masa ubat ditelan

    • Tanda-tanda yang dialami

    • Bantuan kecemasan yang telah diberikan.

Maklumat-maklumat ini penting untuk membantu mengenal pasti jenis racun yang terlibat, risiko yang bakal dihadapi oleh kanak-kanak tersebut serta mempengaruhi kaedah perawatan yang akan dicadangkan.

Melindungi kanak-kanak daripada terdedah kepada keracunan ubat-ubatan, dan lain-lain bahan beracun di rumah merupakan satu  tanggungjawap yang penting bagi ibu bapa dan penjaga.

Panduan mengelakkan keracunan perlu diberi perhatian serius dan dipraktikkan supaya kanak-kanak yang masih mentah sentiasa berada dalam persekitaran yang selamat untuk mereka membesar dan berkembang dengan baik. Setelah semua usaha pencegahan dan langkah keselamatan dilaksanakan, pastikan juga anda mengetahui bagaimana, siapa, dan di mana boleh hubungi untuk memdapatkan bantuan sekiranya berlaku kes keracunan.


Poisoning Emergency/ Information

Article from FB

Our Location