Keracunan Di dalam Bilik Air

Oleh: Adilah Mohamed Ariff
          Dewan Kosmik
          Februari 2002

"Man, tolong mak, adik tertelan syampu!"

Pernahkah situasi sebegini terjadi di rumah anda atau di rumah rakan-rakan atau saudara mara anda? Keracunan bahan-bahan pencuci di dalam rumah boleh berlaku akibat kemalangan atau kecuaian dalam pengendalian, penyalahgunaan, serta kecuaian dalam penyimpanan.

Banyak bahan pencuci yang disimpan dan digunakan dalam bilik air. Secara umumnya, dari segi kegunaan bahan pencuci dalam bilik mandi boleh dikelaskan kepada dua kumpulan utama iaitu pencuci penjagaan diri dan pencuci penjagaan barangan sama ada pakaian mahupun peralatan.

Contoh-contoh bahan pencuci penjagaan diri

  • Sabun/cecair mandian

  • Syampu dan perapi

  • Ubat gigi

  • Ubat kumur/pencuci mulut

  • Pencuci muka

  • Pencuci penjagaan wanita

Contoh-contoh bahan pencuci

  • Penjagaan barangan

  • Peluntur pakaian

  • Serbuk/cecair pencuci pakaian

  • Pencuci mangkuk tandas

Pencuci-pencuci berikut juga sering disimpan di dalam bilik air

  • Peluntur kolam renang

  • Pencuci lantai

  • Pencuci longkang

  • Antiseptik/disinfektan

Statistik 1995 hingga 2000 mencatatkan sebanyak 16% daripada kes keracunan yang dirujuk kepada Pusat Racun Negara, membabitkan barangan di rumah, menduduki tempat ketiga selepas keracunan racun makhluk perosak (47%) dan ubat-ubatan (21.6%). Barangan di rumah ini kebanyakkan terdiri daripada bahan pencuci yang merupakan keperluan penting dalam rumah. Namun, jumlah sebenar adalah lebih tinggi jika rekodnya diambil daripada semua pusat rawatan di Malaysia.

Keracunan boleh berlaku melalui setiap rongga badan seperti mulut, hidung dan kulit. Biasanya keracunan akibat tertelan melalui mulut boleh menyebabkan kesan keracunan mendadak kerana setengah bahan kimia yang terkandung dalam bahan-bahan pencuci boleh menyerap masuk daripada salur penghadaman ke dalam darah. Malah semasa berada dalam salur penghadaman, ia boleh memberikan kesan buruk kepada dinding organ-organ pencernaan, apatah lagi jika menyerap ke dalam darah yang mungkin akan mengakibatkan kesan buruk terhadap organ-organ lain kerana bahan racun dibawa ke seluruh badan oleh sistem peredaran. Namun begitu keracunan melalui sedutan dan kulit tidak boleh diabaikan kerana sesetengah bahan kimia terbabit menpunyai kesan topikal (lihat jadual).

Jenis Pencuci Dalam Bilik Air

Bahan Kimia

Utama

Kesan Keracunan

Rawatan Kecemasan

Detergen anionik, bukan ionik (cth: pencuci pakaian biasa, sabun/cecair mandian, detergent rendah buih, pencuci pinggan mangkuk, syampu dan perapi)

Alkilbenzena sulfonat

Natrium laurel sulfat

Natrium oleat

Dioktil natrium sulfosuksinat

Benzalkonium klorida

Melalui mulut:

Mual, muntah, cirit-birit

Jarang: Kekurangan  air dan gangguan elektrolit dalam badan

Melalui mata:

Rasa pedih, kecederaan risiko rendah

Beri minum segelas susu atau air.

Basuh mata dengan air yang banyak.

Jumpa doktor untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

Detergen kationik (cth: Antiseptik, disinfektan, pelembut fabrik)

Bemzethonium klorida

Setalkonium klorida

Setrimid

Dequalinium klorida

Setrimonium klorida

Setilpridinium klorida

Stearalkonium klorida

Melalui mulut:

Mengkakis berbahaya boleh menyebabkan mual, muntah, lapisan mukus rasa panas, ciri-birit, tekanan darah rendah, sawan gangguan sistem saraf, peparu berair.

Melalui mata:

Kecederaan kakisan yang teruk

Beri minum segelas susu atau air. Jika jumlah yagn ditelan banyak, boleh diberikan arang teraktif.

Basuh mata dengan air yang banyak.

Jumpa doktor untuk pemeriksan dan rawatan lanjut.

Detergen rendah fostat

Surfaktan anionik/bukan ionik dengan (builders) fosfat dan alkali

Melalui mulut:

Boleh menyebabkan muntah, rasa panas pada mulut, farinks dan esofagus, cirit-birit paras kalsium rendah dalam darah.

Melalui mata:

Rasa pedih yang teruk, kecederaan dalam mata

Beri minum segelas susu atau air.

Basuh mata dengan air yang banyak.

Jumpa doktor untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

Detergen enzim (cth: Detergen penghapus kotoran, (pre-soak)

Surfaktan ionik/bukan ionik dengan enzim proteolik/amilolitik

Melalui mulut:

Boleh menyebabkan mual, muntah, gangguan pernafasan, rasa pedih pada kulit

Melalui mata;

Rasa pedih yang sederhana pada konjunktiva.

Beri minum segelas susu atau air.

Basuh mata dengan air yang banyak.

Jumpa doktor untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

Detergen alkali lain

Tripolifosfat

Natrium silikat

Natrium karbonat

Melalui mulut;

Mengkakis boleh menyebabkan ulser.

Melalui mata:

Rasa pedih yang sederhana pada konjunktiva.

Beri minum segelas susu atau air.

Basuh mata dengan air yang banyak.

Jumpa doktor untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

Kesan-kesan keracunan yang disebutkan dalam jadual bergantung kepada jumlah yang terlibat, umur mangsa, tindakbalas badan individu terhadap bahan kimia, tahap kesihatan mangsa, jangka masa pendedahan, serta rawatan kecemasan yang diberikan sebaik sahaja keracunan berlaku.

Beberapa rawatan kecemasan yang dinyatakan di dalam jadual perlu dilakukan dengan cara yang betul supaya ianya berkesan dan dapat menyelamatkan mangsa.

  1. Pemberian air atau susu sebagai pelarut untuk diminum hanya untuk mangsa yang tidak mengalami gangguan pernafasan, dan jumlahnya mestilah tidak melebihi satu gelas bagi orang dewasa dan ***** gelas bagi kanak-kanak.

  2. Pemberian arang teraktif, biasanya diberikan dalam larutan (30 g dalam 240 ml (satu gelas) pelarut. Dos biasa bagi dewasa: 25 g hingga 100 g, kanak-kanak satu hingga 12 tahun, 25 g hingga 50 g, bayi hingga satu tahun: satu gram/kilogram. Ia tidak boleh diberikan kepada mangsa yagn tidak sedarkan diri, mengalami gangguan salur pencernaan atau sawan. Jika ada arang teraktif di rumah, segera bawa mangsa ke pusat rawatan terdekat kerana pemberian arang teraktif adalah paling berkesan untuk melambatkan penyerapan jika diberikan dalam tempoh satu jam selepas mangsa menelan bahan terbabit.

  3. Pencucian mata dengan air yang banyak (satu gelas besar) perlu menggunakan air suam yang dituang  pada jarak lima hingga lapan sentimeter daripada mata. Ulang hingga 15 minit. Minta mangsa membuka dan menutup mata sekerap mungkin tetapi jangan paksa kelopak mata untuk membuka.

  4. Rangsangan muntah adalah tidak digalakkan sama sekali dalam kebanyakan keracunan membabitkan bahan pencuci kerana ia boleh menyebabkan gangguan pernafasan. Bahan yang paling baik untuk merangsang muntah ialah dengan menggunakan sirap ipecac tetapi jangan menggunakannya tanpa nasihat Pusat Racun atau doktor. Jangan melakukan apa-apa kaedah lain untuk merangsang muntah melainkan diarahkan oleh Pusat Racun atau doktor dan ia tidak boleh sama sekali dilakukan terhadap mangsa yang tidak sedarkan diri, mengalami sawan atau telah menelan pencuci yang kuat mengkakis. Rangsangan muntah paling berkesan jika dilakukan dalam tempoh 30 minit selepas menelan bahan tersebut.

Sekiranya anda tidak yakin tentang rawatan kecemasan yang perlu dibuat, anda bolehlah menghubungi Pusat Racun Negara di talian bebas tol 1-800-88-8099. Apa yang perlu anda lakukan apabila menghubungi pusat ini?

  1. Perkenalkan diri anda

  2. Jelaskan siapa mangsa, umur dan jantina.

  3. Pastikan, bekas pencuci terbabit ada di tangan anda dan cuba jelaskan apa-apa maklumat penting pada label bekas itu.

  4. Jelaskan bagaimana mangsa mengambil bahan itu dan bagaimana keadaannya.

  5. Bersedia untuk menjawab apa-apa soalan yang bakal ditanya untuk mendapatkan maklumat lanjut.

  6. Ikut arahan yang telah diberikan oleh Pusat Racun Negara.

Antara langkah pencegahan yang boleh diambil ialah:

  1. Menyimpan bahan-bahan pencuci jauh daripada capaian dan pandangan kanak-kanak (tempat tinggi dan tertutup/berkunci) serta menyimpan sebaik sahaja selesai menggunakannya.

  2. Elakkan daripada memindahkan bahan pencuci ke bekas lain terutamanya kepada bekas makanan.

  3. Cuba kekalkan seboleh mungkin, label asal pencuci bagi memudahkan mengenalpasti jenamanya dan mungkin maklumat kandungan bahan.

  4. Menggunakan sarung tangan semasa menggunakan bahan pencuci terutamanya yang mempunyai kekuatan yang tinggi.

  5. Bersihkan tumpahan secepat mungkin.

  6. Jika perlu menggunakan apa-apa bahan pencuci adalah langkah pencegahan yang menjamin penggunaan yang selamat dan berkesan. Maklumat label boleh membantu dalam kecemasan jika berlaku keracunan. Antara maklumat yang penting ialah:

    1. Nama produk (nama dagangan atau nama generik)

    2. Jenis produk (contoh: Pencuci serba guna/disinfektan/detergen pakaian dan sebagainya.

    3. Arahan penggunaan (cara penggunaan dan jumlah penggunaan yang berkesan).

    4. Kandungan (bahan aktif/bahan kimia utama dan bahan tambahan lain serta kuantiti/peratusan dalam produk)

    5. Maklumat keselamatan pengguna (contoh: Arahan/bahaya)

    6. Maklumat penyimpanan dan/atau pembuangan.

    7. Nama dan alamat pengeluar/pengilang serta no. telefon

    8. Isipadu atau berat bersih.

Sekiranya maklumat-maklumat ini dapat diberi kepada doktor di pusat rawatan di mana mangsa dihantar, rawatan kecemasan menjadi lebih mudah dan cepat, dapat mencegah daripada berlakunya komplikasi yang lebih teruk atau mungkin membawa maut. Rawatan pre-hospital boleh juga dibuat sebelum mangsa dihantar ke pusat rawatan jika mengetahui sifat kimia bahan tersebut, menggunakan pengetahuan serta bahan yang sedia ada di rumah.


Poisoning Emergency/ Information

Article from FB

Our Location