Alam Sekitar, Ketidaksuburan Ibubapa dan Kecacatan Bayi (Bahagian 2)

Oleh: Che Nin Man
          Dewan Kosmik
          Mei 2002

Bahagian 11

Plastik

Kewujudan sperma yang tidak normal dan ketidaksuburan juga dikaitkan dengan terhidu asap toksik dari pembakaran plastik. Oleh itu pekerja seperti bomba dikatakan lebih terdedah kepada bahaya tersebut kerana terhidu asap toksik daripada kebakaran seperti permaidani, perabot, cat dan lain-lain terutama produk atau pembinaan yang berasaskan klorin.

Keseimbangan hormon estrogen di dalam badan perlu bagi memastikan pembiakan berlaku. Plastik polivinik klorida, PVC boleh bertindak seolah-olah seperti hormon asli estrogen dan menyebabkan ketidaksuburan dengan menganggu sistem hormon badan.

PVC juga boleh menyebabkan kerosakan kromosom dan dikaitkan dengan kelahiran anak-anak yang cacat. Plastik PVC juga menyumbang kepada pembentukan dioksin di dalam alam sekitar melalui pembakaran.

Kejadian bayi mati dalam kandungan dan saiz bayi yang kecil dilihat berkaitan dengan pekerjaan seperti wanita bekerja dalam industri getah, plastik dan tekstil. Kajian ke atas 2,096 ibu dan 3,170 bapa menunjukkan 80% wanita menghadapi bahaya kematian anak dalam kandungan jika bekerja dalam industri getah dan plastik manakala 90% wanita yang suaminya bekerja di kilang tekstil terdedah dengan pewarna tekstil, plastik dan formaldehid.

Butilated hidroksianisol (BHA), digunakan sebagai antioksidan dalam industri plastik dan getah, adalah karsinogen dan menyebabkan ketidaksuburan seperti PVC.

Detergen

Tahukah anda bahawa ada kimia di dalam detergen seperti sabun, peluntur dan pelembut pakaian tidak dapat dirawat oleh Pusat Kumbahan dan logi pembersihan air? Ini akhirnya akan memasuki sistem perairan dan seterusnya ke dalam tangki air di rumah kita. Di United Kingdom, bekalan air oleh Thames Water pernah dikaitkan dengan kejadian bilangan sperma yang kurang dan bentuk sperma yang tidak normal. Bahan kimia detergen telah dikatakan sebagai penyebab kerosakan tersebut.

Bahan kimia yang digunakan dalam cucian kering seperti perkloroetilina dan trikloroetilina boleh menyebabkan keguguran melebihi tiga kali ganda dari kadar biasa dan juga bahaya ketidaksuburan. Pemakai baju yang dicuci kering juga dikatakan mengamcam kandungan.

Kafein

Kafein biasanya terdapat di dalam minuman seperti kopi, teh, koko dan lain-lain. Kafein mempunyai kesan merangsang atau stimulan dan pernah digunakan oleh ahli-ahli sukan sebagai agen doping.

Kajian yang dilakukan ke atas 1,909 orang wanita yang meminum kopi dalam sehari dan bahaya tidak mengandung dalam tempoh 12 bulan di Connecticut diringkaskan seperti berikut:

Bilangan cawan kopi/hari 

% Tidak mengandung

1 55
1 - 3 100
> 3 176

Wanita mengandung yang mengambil dua hingga tiga cawan kopi sehari juga dilaporkan menghadapi dua kali ganda bahaya keguguran. Oleh itu, elakkan daripada mengambil minuman berkafein

Logam

Bahaya ketidaksuburan di kalangan wanita juga dikaitkan dengan pencemaran ke atas logam berat seperti plumbum, raksa dan kadmium.

Mengikut jurnal 'Pediatrics' 1997, ibu-ibu mengandung yang mempunyai paras plumbum yang tinggi dalam tulangnya berkemungkinan tinggi melahirkan bayi yang kecil atau mempunyai berat badan yang ringan. Bayi kecil ini biasanya dikaitkan dengan kematian, taraf kesihatan yang rendah, pertumbuhan yang tidak sempurna dan mempunyai IQ yang rendah. Plumbum juga boleh memasuki badan bayi melalui penyusuan susu badan.

Kajian ke atas pekerja lelaki yang terdedah secara sederhana kepada plumbum menunjukkan paras plumbum dalam darahnya di antara 50 hingga 350 ug/L. Paras ini adalah lebih rendah daripada paras merbahaya yang ditetapkan oleh WHO iaitu 400 ug/L. Ujian yang dilakukan ke atas sperma lelaki mendapati sperma mereka berkualiti rendah, kuantiti yang kecil, kurangnya pergerakan dan struktur yang tidak normal. Kadmium juga menunjukkan kesan yang sama dalam kajian di atas.

Terdapat banyak kajian menunjukkan pendedahan raksa kepada kesihatan umum. Pada tahun 1950-an, pencemaran raksa organik telah berlaku di Teluk Minamata, Jepun. Ikan-ikan yang tercemar ini telah dimakan oleh wanita-wanita mengandung. Kebanyakan bayi-bayi yang dilahirkan oleh wanita-wanita ini mengalami kerosakan saraf yang teruk dan digelar Penyakit Fetal Minamata.

Senjata kimia

Gas mustard telah dikesan dalam peperangan teluk di antara Iran dan Iraq pada tahun 1985 hingga1988. Analisa air mani, pengukuran hormon dan testikular biopsi telah dijalankan ke atas 81 orang setelah pendedahan selama tiga tahun bagi penentuan ketidaksuburan. Keputusan mendapati 34 orang tidak mempunyai sperma langsung di dalam air maninya dan 47 orang mengalami kekurangan bilangan sperma. Saintis tersebut mengaitkan insiden ini dengan pendedahan ke atas gas mustard.

Agen 'orange' yang di gunakan oleh tentera Amerika dalam peperangan di Vietnam telah memberi kesan teruk ke atas sistem pembiakan lelaki dan wanita di samping kesan lain ke atas sistem saraf dan kanser. Kesan penggunaanya masih lagi dapat di lihat hingga ke hari ini melalui anak-anak yang cacat anggota badan.

Ubat-ubatan

Kajian ke atas haiwan makmal menunjukkan kerosakan sperma 50% lebih tinggi dalam haiwan yang diuji dengan ubat bius. Ubat bius boleh menyebabkan kecacatan bayi dalam kandungan. Kajian ke atas 621 jururawat yang membantu dalam penyediaan ubat bius di Michigan menunjukkan 16.4% jururawat yang mengandung melahirkan anak yang cacat berbanding dengan jururawat yang tidak terlibat dalam ubat bius sebanyak 5.7 %.

Sulfasalazin digunakan bagi merawat keradangan saluran pembuangan najis tetapi ia dapat mengurangkan kualiti sperma dengan ketara.

Talidomid telah digunakan dalam rawatan leprosy, jangkitan mikobakteria, AIDS dan beberapa lagi penyakit tetapi ia mempunyai kesan teratogen iaitu kecacatan anak dalam kandungan. Oleh itu penggunaannya telah diperketatkan oleh pihak berkuasa kesihatan.

Pada tahun 1990 FDA telah mengeluarkan amaran penggunaan aspirin semasa mengandung pada tiga bulan terakhir kandungan kerana ia boleh mendatangkan masalah kepada bayi dan kesukaran semasa bersalin.

Aspirin juga boleh memasuki aliran darah dan susu badan. Pada tahun 1988, WHO telah menganggarkan empat hingga lapan peratus daripada dos ibu sampai kepada bayi yang menyusu dan bayi tersebut berkemungkinan mendapat Sindrom Reye iaitu sejenis penyakit yang memberi kesan pada otak dan hati bayi.

Kajian yang dilakukan oleh Pusat Pengajian Perubatan Universiti Boston dan diterbitkan dalam 'New England Journal of Medicine Journal Club; 333:1369-73; 11/23/95' mendapati wanita yang mengambil 10,000 IU atau lebih vitamin A berkemungkinan tinggi melahirkan anak-anak yang cacat kepala, muka, sistem saraf dan jantung. Selain itu, terdapat anggaran wanita yang mengambil vitamin A melebihi 10,000 IU semasa mengandung menyebabkan kecacatan bayi seorang dalam setiap 57 bayi yang dilahirkan.

Penyalahgunaan Dadah

Kokain, ganja dan marijuana juga sangat toksik kepada perkembangan telur dan anak dalam kandungan.

Kokain boleh mencederakan bayi dalam banyak cara, bahan ini boleh menyebabkan keguguran, kelahiran tidak cukup bulan, mati dalam kandungan, serangan strok dan kerosakan otak.

Bayi yang diracuni oleh kokain juga mempunyai saiz kepala yang kecil. Kokain juga menyebabkan plasenta tertanggal lebih awal semasa proses bersalin dan ini menyebabkan pendarahan yang banyak dan boleh mengakibatkan kematian ibu dan anak.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) telah melaporkan bahawa wanita yang menggunakan kokain semasa permulaan mengandung menghadapi lima kali ganda kemungkinan mendapat anak yang cacat pada saluran kencingnya berbanding wanita yang tidak menggunakan kokain.

Alkohol

Agensi Pelindungan Alam Sekitar California (Cal/EPA) telah menamakan Etanol dalam minuman beralkohol sebagai toksin yang boleh mencederakan bayi dalam kandungan. Wanita mengandung yang mengambil alkohol berkemungkinan akan melahirkan anak-anak yang mempunyai Sindrom Fetal Beralkohol (FAS) iaitu terencat akal, masalah perlakuan, koordinasi yang lemah, pembentukan jantung dan otak yang tidak sempurna, bermata kecil dan hidung kecil yang herot. Wanita berkenaan juga didapati mudah keguguran. Bayi meninggal dalam kandungan atau tidak cukup berat pula dikaitkan dengan ibu yang meminum alkohol semasa mengandung.

Alkohol juga boleh meracuni bayi melalui susu badan. Alkohol dapat mengurangkan bilangan sperma di kalangan lelaki walaupun ia tidak menyebabkan anak-anak mengalami FAS .

Ujian ke atas haiwan makmal juga menunjukkan ketidaksuburan meningkat sebanyak 50 % ke atas tikus yang diberi alkohol 24 jam sebelum dikahwinkan.

Aditif makanan

Monosodium Glutamat (MSG) adalah perasa makanan yang biasanya terdapat di dalam makanan ringan, sos, rempah ratus dan sebagainya.

Ujian ke atas tikus menunjukkan MSG menyebabkan ketidaksuburan di kalangan tikus jantan. Didapati hanya 50% (lima daripada 13 ekor) sahaja tikus jantan tersebut yang berjaya di kahwinkan (mating) sedangkan tikus yang tidak diberi makan MSG, kadar kejayaannya ialah 92 % (12 daripada 13 ekor).

Dilaporkan juga anak-anak tikus yang terhasil daripada tikus jantan yang diberi makan MSG adalah pendek, kurang berat testis dan kegemukan (berat berlebihan) setelah 25 hari.


Poisoning Emergency/ Information

Article from FB

Our Location