Perlupusan Bahan Buangan Kimia Berbahaya Rumah

Che Nin Man
Dewan Kosmik
Oktober 2002

TEKNIK perlupusan bahan buangan rumah yang biasa diamalkan oleh penduduk di  kawasan perumahan samada di bandar atau di kampung biasanya adalah melalui tong sampah, sistem aliran air paip, pembakaran terbuka ataupun ditanam. Tetapi terdapat juga penduduk yang masih kurang peka kepada kebersihan alam sekitar dengan membuang sampah ke dalam parit, tali air atau sungai, meninggalkannya  di tepi jalan atau di kawasan lapang.

Kempen mesra alam, kitar semula dan sayangilah sungai kita di samping penguatkuasaan undang-undang oleh kerajaan secara tidak langsung telah mendidik orang ramai tentang bahaya pencemaran dan perlupusan sampah yang betul. Namun pendidikan tentang perlupusan produk berasaskan bahan kimia didapati kurang diberi penekanan.

Berikut ialah beberapa jenis bahan kimia berbahaya rumah:

  • Racun serangga                                  
  • Cat dan pelarut                              
  • Produk aotomobil                                
  • Pengilat kuku                                 
  • Racun makhluk perosak    
  • Baja
  • Minyak motor atau enjin
  • Gasolin
  • Bahan peluntur
  • Bateri
  • Bahan kimia kolam renang
  • Lampu fluoresen
  • Bahan kimia fotografi 
  • Jangkasuhu beraksa

Bahan kimia merbahaya rumah biasanya boleh dibahagikan kepada empat kelas utama iaitu mengikut sifat kimianya :

  1. Menghakis: bahan ini akan menyebabkan tindakbalas kimia yang menghakis permukaan dan seterusnya merosakkan benda atau tisu hidup. Contohnya; Bateri kereta (asid), bahan pencuci tandas dan peluntur pakaian.
  2. Beracun: boleh menyebabkan kesakitan dan kematian. Contoh: Racun serangga, sabun pencuci, cat, peralatan senilukis dan sebahagian jenis ubat-ubatan.
  3. Mudah nyala: Bahan ini mudah mencetuskan kebakaran. Contoh; kerosin (minyak tanah), gasolin, pengilat kuku dan minyak wangi.
  4. Reaktif: Mudah bertindakbalas dengan bahan lain seperti udara, api atau air lalu menyebabkan pemanasan atau letupan. Contoh: Aerosol, sebahagian pewarna rambut dan asid.

Kebanyakan produk kimia adalah selamat melainkan digunakan dengan tidak mengikut arahan yang tertera pada label, penyalahgunaan, penyimpanan dan pembuangan baki atau bekasnya dengan cara yang tidak selamat.

Bahaya perlupusan melalui tong sampah.

Bahan kimia rumah sama ada dengan sendirinya atau bercampur di dalam tong sampah boleh mendatangkan bahaya. Peluntur pakaian pula apabila bercampur bahan kimia lain seperti ammonia akan menghasilkan gas beracun. Biasanya bahan buangan dari tong sampah di kawasan perumahan akan diangkut oleh lori sampah dari Majlis Perbandaran atau wakil yang dilantik. Semasa di dalam lori, sampah akan dimampat untuk memberi lebih ruang muatan. Dalam keadaan ini, bekas kimia rumah boleh terpecah dan bercampur pula dengan bahan kimia lain yang mungkin menghasilkan gas, asap dan habuk beracun yang seterusnya membahayakan pekerja-pekerja tersebut dan orang ramai.

Sampah yang dihantar ke tapak perlupusan akan ditimbus dengan lapisan tanah dan dimampatkan. Bahan kimia berbahaya boleh menjerap dan seterusnya menyebabkan pencemaran sumber air bawah tanah. Bahan ini juga boleh bertindakbalas dengan bahan lain atau dengan sendirinya menyebabkan kebakaran, letupan atau penghasilan gas berbahaya di tapak perlupusan itu sehingga boleh mengakibatkan berlakunya  pencemaran udara.

Pekerja di pusat perlupusan tersebut pula akan terdedah kepada bahaya melecur atau kerosakan anggota badan seperti paru-paru, mata dan lain-lain semasa menjalankan kerja-kerja memampatkan tanah. Kerosakan pada harta benda seperti peralatan pemampatan juga boleh terjadi.

Bahaya Perlupusan melalui sistem aliran air.

Perlupusan melalui sinki dan tandas mencemarkan sistem perparitan, sumber-sumber air dan alam sekitar. Tangki septik rumah sebenarnya direka hanya untuk memerangkap dan mereputkan najis berupa pepejal melalui tindakan mikroorganisma. Oleh itu, sebahagian bahan buangan kimia berbahaya  seperti  metilin klorida (pencuci cat), tidak akan terjejas semasa melalui tangki septik ini. Bahan kimia ini akan mengalir keluar dari tangki dan seterusnya mencemarkan sumber air bawah tanah atau permukaan air.

Terdapat juga bahan kimia yang dapat bertindak balas dengan bahan pembinaan pada sinki serta paip dan seterusnya melepaskan asap berbahaya, berbau busuk dan merosakkan sistem paip rumah. Sebenarnya, pusat kumbahan juga menggunakan teknik pereputan oleh bakteria bagi perlupusan bahan buangan. Air kumbahan ini kemudiannya akan dialirkan keluar melalui saliran, sungai dan tasik Malangnya sebahagian bahan kimia tidak akan lupus turut dialirkan bersama sehingga meracuni tumbuh-tumbuhan dan hidupan air selain mendatangkan bahaya kepada manusia yang memakannya atau menyentuh air yang tercemar ini. Sebahagian kimia ini juga akan masuk semula ke dalam aliran air paip di rumah kerana sistem logi pembersihan air tidak mampu meneutralkannya.

Bahaya Perlupusan melalui pembakaran terbuka.

Pembakaran bahan buangan kimia berbahaya rumah akan mendedahkan diri kepada bahaya asap beracun, pencemaran alam dan kemalangan akibat kebakaran mahupun letupan. Contoh, dioksin, bahan kimia paling beracun yang boleh terhasil daripada pembakaran peluntur pakaian atau pembungkus plastik jenis polivinil klorida. Plumbum pula jika dihidu melalui pembakaran cat dan seterusnya memberi kesan keracunan terutama kanak-kanak. Terdapat juga bahan kimia yang tidak lupus tetapi berhimpun dalam abu pembakaran.

Bahaya perlupusan secara menanam atau meninggalkan di tempat kosong atau di tepi jalan.

Penanaman boleh menyebabkan berlakunya pencemaran punca air bawah tanah. Sementara peninggalan di tempat kosong pula akan mendedahkan bahaya kepada kesihatan binatang dan kanak kanak

Panduan Perlupusan bahan buangan kimia berbahaya rumah

  1.  Patuhi arahan pada label
Sesetengah pengilang mencatatkan arahan yang mesti diamalkan semasa pelupusan bahan dan bekasnya pada label. Arahan ini sangat berguna.
  1. Pembelian yang terhad dan gunahabis

Pembelian pada kuantiti yang besar dapat menjimatkan perbelanjaan namun baki yang tinggal perlu disimpan atau dilupus dengan cara yang betul dan selamat agar tidak membahayakan manusia dan alam sekitar. Oleh itu berfikirlah sebelum membeli.

  1. Kitarsemula

Sebahagian produk bahan kimia boleh dikitar semula seperti pelarut cat (paint thinner). Biarkan cat mendap ke bawah dan tuangkan pelarut ke bekas lain untuk digunakan.

  1. Perlupusan terkawal

Kawasan perumahan yang menggunakan sistem kumbahan, boleh melupuskan sebahagian bahan kimia rumah melalui tandas dan diikuti dengan aliran air yang banyak. Bahan kimia ini biasanya terdiri dari jenis yang boleh dilenyapkan atau dineutralkan oleh air.

Berikut ialah garispanduan perlupusan terkawal sisa kimia rumah. Namun, anda dinasihatkan agar mendapat nasihat dari majlis perbandaran, Jabatan Alam Sekitar, persatuan yang berkaitan dengan kepenggunaan dan kesihatan awam atau Pusat Racun Negara untuk memastikan jenis bahan buangan yang boleh dilupuskan di rumah.

  • Bekas produk hendaklah dibersihkan dan dibilas terlebih dahulu beberapa kali.Kemudian barulah dibuang ke dalam tong sampah. Hasil bilasan boleh digunakan seperti menggunakan bahan kimia tersebut, contoh: Racun serangga dan peluntur pakaian.
  • Tidak melebihi satu cawan dalam sehari dan dituang perlahan-lahan sedikit demi sedikit bersama aliran air yang banyak.
  • Persekitaran tempat pembuangan mempunyai edaran udara yang baik.
  • Tidak melupuskan di kawasan penyediaan makanan
  • Melupuskan hanya satu jenis bahan setiap kali. Elak sama sekali pencampuran bahan kimia.

Poisoning Emergency/ Information

Article from FB

Our Location