Bahaya Racun Rumpai

Wan Zainal Azman Wan Abdullah
Utusan Malaysia, 11 November 1995

MINGGU ini kita membincangkan pula tentang racun rumpai yang biasanya digunakan di kawasan pertanian dengan tujuan untuk mengawal ancaman rumpai yang boleh mengurangkan produktiviti tanaman dan sebagai perumah kepada serangga perosak.

Selain itu, racun rumpai juga digunakan di kawasan bukan pertanian untuk mengawal rumpai di tepi-tepi tebing sungai, tepi jalan dan tidak kurang juga digunakan di halaman rumah. Penggunaanya yang meluas boleh membahayakan kesihatan manusia jika terdedah, terutama jika disalahgunakan terutama racun rumpai glifosat.

Glifosat adalah bahan aktif yang dirumuskan dalam sediaan racun rumpai. Ia adalah racun yang mempunyai corak tindakan yang luas dan bersifat tidak memilih. Ia didapati berkesan mengawal rumpai kumpulan saka, rumpai berdaun lebar, rumput serta rumpai yang mempunyai sistem perakaran yang dalam. Ia juga boleh digunakan di kawasan bukan pertanian dan dalam kawasan pelbagai tanaman pertanian.

Glifosat biasanya diformulasikan sebagai garam isopropilamin dan terletak di dalam kumpulan racun sebatian terbitan asid amino glisin.

Terencat

Pada tumbuhan ia mengganggu aktiviti enzim 5-enolpyryl-shikimate-3-phosphate, di mana proses sintesis aromatik asid amino, klorofil dan karetinoid akan terencat. Kini terdapat pelbagai jenis sediaan dan jenama racun glifosat di pasaran, antaranya Roundup, Spark, Surpass, Raider, Conquest, Extend, Achieve dan lain-lain lagi.

Glifosat dikelaskan sebagai racun rumpai yang mempunyai ketoksikan sederhana pada mamalia termasuk manusia. Sebanyak 22 kes keracunan glifosat yang dilaporkan sepanjang tahun 1989 hingga 1991 merupakan kes kedua tertinggi dalam kategori kumpulan racun rumpai.

Walaupun sebatian ini kurang toksik tetapi bahan surfaktan (agen pembasah) yang terkandung dalam sediaan racun ini adalah berbahaya kepada manusia dan merupakan punca utama keracunan glifosat. Bahan surfaktan ini bertujuan membantu racun masuk ke dalam daun rumpai.

Bagaimanapun, racun glifosat lambat menyerap masuk melalui kulit manusia. Namun, ia boleh menyebabkan kulit kelihatan seperti radang terkena panas cahaya matahari. Sekiranya terkena pada kulit, segera cuci dengan air yang banyak bersama sabun. Pakaian yang terkena racun hendaklah ditanggalkan dan dicuci sebelum dipakai semula.

Kebanyakan kes keracunan yang berlaku adalah disebabkan glifosat diminum dengan tujuan membunuh diri. Manakala bagi kanak-kanak, ia diambil secara tidak sengaja disebabkan kecuaian penyimpanan yang tidak selamat dan mudah dicapai.

Dos keracunan akut yang boleh membawa maut ialah sebanyak 200ml. Biasanya mangsa yang terminum racun glifosat (Roundup) mengalami radang di bahagian mulut dan tekak, sakit kerongkong, mual, muntah dan cirit-birit. Tanda-tanda ini akan berlarutan beberapa hari.

Pengambilan dos yang tinggi boleh menyebabkan pendarahan perut dan usus serta muntah mengeluarkan darah. Akibat keracunan ia boleh menyebabkan sakit radang kesesakan paru-paru.

Rawatan

Rawatan kepada mangsa yang terminum racun glifosat ini ialah dengan memberikan mangsa minum susu atau air bagi mencairkan racun dalam perut. Emesis atau mengikhtiarkan muntah bagi mengeluarkan racun tidak digalakkan memandangkan kemudaratan yang akan timbul. Sebaiknya segera bawa mangsa ke hospital untuk mendapat rawatan lanjut.

Semburan

Radang paru-paru dan kesesakan paru-paru juga boleh terjadi jika terhidu kabus semburan berterusan dalam jangkamasa yang panjang. Tanda-tanda selepas terhidu, biasanya terasa pedih atau radang di bahagian saluran atas pernafasan dan bahagian tekak, terasa pahit serta kesukaran bernafas. Keracunan akut yang serius jarang berlaku dengan cara ini.

 


Poisoning Emergency/ Information

Article from FB

Our Location