Plumbum ganggu kecerdasan bayi

Razak Hj. Lajis
Utusan Malaysia, 23 Mac 1996

Lebih-kurang setahun yang lalu, masyarakat dikejutkan dengan berita keracunan plumbum di kalangan kanak-kanak yang terdedah dengan penggunaan pensil warna dan cat air berplumbum.

Masyarakat memberi pelbagai reaksi. Apabila kesan tentang keracunan plumbum tersebar luas, pelbagai pihak meminta kerajaan agar mengharamkan pensil warna yang berplumbum.

Kes ini berlarutan untuk beberapa lama. Kini kejadian tersebut seolah-olah telah dilupakan dan akan menjadi satu bahan sejarah sahaja.

Selain daripada barangan yang disebutkan tadi, pendedahan plumbum dan penyebarannya ke alam sekitar terhasil daripada proses perindustrian dan pembuatan.

Walaupun plumbum wujud secara semulajadi, proses ini adalah kecil berbanding penyebaran melalui perindustrian.

Ini akan menjadi bertambah buruk lagi sekiranya cara penyimpanan lepas guna dan pelupusannya tidak dikawal selia dengan teliti.

Plumbum berupaya memasuki kitaran makanan tanah, air dan udara. Oleh itu ia mungkin terambil atau dimakan tanpa disedari.

Terpisah
Apabila plumbum memasuki tubuh sama ada melalui mulut ataupun pernafasan, pigmen plumbum akan terpisah dan tubuh akan menyerapnya sebagaimana tubuh menerima elemen lain yang telah dikenalpasti kegunaan dan manfaatnya seperti kalsium dan zat besi.

Sebagaimana yang diketahui, plumbum tidak mempunyai apa-apa nilai fungsi biologi yang berguna di dalam tubuh. Kehadirannya hanya akan menyebabkan kesan toksik kepada beberapa organ dalaman tubuh.

Apabila plumbum diserapkan ke dalam sistem tubuh, ia mempunyai kebolehan untuk menghalang fungsi-fungsi biasa organ di dalam badan.

Kebanyakan plumbum akan tersimpan di dalam tubuh terutama di dalam tulang dan buah pinggang.

Kesan toksik plumbum selalunya timbul selepas pendedahan yang panjang terjadi.

Kebanyakan kes-kes keracunan plumbum berlaku akibat dari penyerapan plumbum inorganik dan ia memerlukan masa yang panjang bagi mencapai tahap yang mencukupi untuk meninggalkan kesan.

Kanak-kanak adalah golongan yang mudah terdedah kepada keracunan plumbum. Ramai yang ingin mengetahui apakah kesan jangka panjang pengumpulan plumbum yang banyak di dalam tubuh seseorang kanak-kanak.

Keadaan akan bertambah buruk sekiranya kanak-kanak tersebut mengalami kekurangan makanan terutama zat-zat yang diperlukan oleh tubuh seperti zat besi, kalsium dan zink.

Tanda-tanda keracunan plumbum pada semua peringkat umur adalah tidak spesifik dan sering berlaku tanpa disedari.

Bagi kanak-kanak yang berumur dari satu hingga lima tahun, antara awal yang ditunjukkan ialah rasa kurang selera makan. Masalah lain yang mungkin dihadapi ialah rasa gelisah, kerap muntah dan tidak minat bermain.

Muntah-muntah
Kesan yang lebih serius termasuk muntah-muntah yang berlarutan, rasa lemah urat-saraf, sawan dan koma.

Keracunan plumbum boleh menyebabkan kanak-kanak mengalami kerosakan sistem saraf pusat dan otak.

Ini akan menimbulkan masalah dalam proses pembelajarannya. Perkembangan fizikal juga turut terencat.

Kesan keracunan plumbum pula mengakibatkan masalah pendengaran dan kerosakan buah pinggang.

Kesan plumbum yang tinggi boleh menyebabkan buta, kerosakan otak dan boleh membawa kepada maut.

Pendedahan kanak-kanak terhadap plumbum berlaku secara tidak langsung. Menurut beberapa laporan, wanita mengandung yang mempunyai kadar plumbum dalam darah sebanyak 25 mikrogram/100ml dapat mempengaruhi perkembangan mental dan fizikal janin.

Sekiranya seseorang wanita terdedah kepada kandungan plumbum yang tinggi semasa mengandung, perkembangan janin akan terganggu.

Ini kerana janin lebih peka kepada plumbum berbanding orang dewasa.

Kesan utama plumbum terhadap kanak-kanak ialah perkembangan sistem saraf.

Beberapa kajian yang dijalankan turut menunjukkan kaitan antara paras plumbum dalam darah dengan penurunan tahap kecederasan kanak-kanak.

Di dalam satu kajian yang berasingan, kandungan plumbum yang rendah dalam darah berupaya meningkatkan kecederasan akal di dalam beberapa kumpulan kanak-kanak.

Oleh kerana plumbum tidak mempunyai apa-apa nilai biologi, pendedahan terhadapnya mestilah dikawal sehingga ke tahap yang paling minimum. Di dalam kes ini, sifar adalah angka yang mempunyai nilai yang amat bermakna.

Usaha-usaha mestilah terus dijalankan untuk mengawal dan seterusnya mengurangkan kes keracunan plumbum di kalangan kanak-kanak.

Secara amnya, kita mestilah berusaha untuk mengenalpasti sumber-sumber plumbum yang berada di sekeliling kita dan menjauhkannya dari terus terdedah kepada kanak-kanak.

Sekiranya ia dapat dilakukan, sebahagian daripada masalah akan dapat diatasi. Bagaimanapun ia bukanlah suatu perkara yang mudah. Komitmen dari semua peringkat adalah perlu.


 


Poisoning Emergency/ Information

Article from FB

Our Location