Cara mencegah keracunan plumbum

Razak Hj. Lajis
Utusan Malaysia, 6 April 1996

Sejak ruangan ini membincangkan mengenai plumbum beberapa minggu lalu, Pusat Racun Negara menerima pelbagai pertanyaan mengenainya.

Pertanyaan bukan sahaja datang daripada masyarakat umum, tetapi juga daripada pelajar dan beberapa buah kilang perusahaan.

Kebanyakan soalan bertanyakan tentang sumber utama plumbum dan bagaimanakah cara untuk mengelakkan dari terus terdedah kepada orang ramai.

Ini merupakan suatu petanda baik. Masyarakat mula memberi perhatian terhadap kesan pendedahan plumbum dan bahayanya terhadap alam persekitaran dan manusia.

Sebagaimana yang diketahui, proses alam semulajadi turut menyebarkan plumbum ke persekitaran.

Bagaimanapun jumlahnya adalah kecil berbanding jumlah plumbum yang tersebar akibat dari kegiatan atau aktiviti yang dikendalikan oleh manusia sendiri.

Salah satu aktiviti paling tinggi kandungan plumbum di dalam udara ialah melalui penggunaan petrol berplumbum.

Kajian yang dilakukan di Amerika Syarikat melaporkan penggunaan petrol berplumbum berupaya meningkatkan kandungan plumbum di dalam darah terutamanya di kalangan kanak-kanak.

Kajian yang dijalankan terhadap kanak-kanak prasekolah mendapati di dalam sesetengah kes paras plumbum tersebut mencapai hingga lebih 35 mikrogram/100 mililiter.

Ini merupakan suatu paras yang membimbangkan. Kesan toksik plumbum walaupun tidak dapat dilhat dengan jelas pada paras ini, tetapi kajian menunjukkan pada paras ini ia mengganggu keupayaan mental dan tahap pembelajaran kanak-kanak.

Oleh itu kempen 'gunakan petrol tanpa plumbum' yang disarankan oleh kerajaan patutlah mendapat kerjasama sepenuhnya daripada semua pihak.

Selain daripada itu, kes-kes keracunan plumbum juga turut dikaitkan dengan penduduk-penduduk yang tinggal terlalu hampir dengan kawasan perindustrian serta penggunaan cat berplumbum di rumah-rumah.

Secara ringkas terdapat dua jenis plumbum yang lazim digunakan dalam formulasi cat ialah plumbum karbonat dan plumbum oksida.

Plumbum dicampurkan ke dalam cat bertujuan mempercepatkan cat tersebut kering dan berkilat.

Kini penggunaan cat berplumbum telah banyak berkurangan terutama untuk kegunaan di rumah-rumah.

Peringatan

Namun begitu, sebagai peringatan mungkin elok kita bincangkan sedikit bahaya daripada cat berplumbum ini.

Bahaya dari cat berplumbum ini timbul apabila seseoranga itu termakan akan serpihan yang mengandungi plumbum terutama semasa proses mengecat-semula, pembaik-pulihan ataupun pembersihan.

Debu-debu daripada kerja-kerja pemberisihan ini mungkin melekat di perabot rumah, lantai dan tikar mahupun pada barang permainan kanak-kanak.

Sekiranya tidak dibersihkan dengan sempurna, kemungkinan kanak-kanak terdedah kepada debu-debu tersebut adalah tinggi.

Ini ditambah pula tabiat semula jadi kanak-kanak yang suka memasukkan sesuatu ke mulut mereka.

Pembakaran secara terbuka merupakan satu lagi kegiatan yang menyebabkan kandungan plumbum di persekitaran meningkat.

Bahan-bahan yang mengandungi plumbum seperti perabot-perabot lama yang dicat dengan cat berplumbum, kertas surat khabar berwarna dan tidak berwarna, bekas-bekas bateri dan sebagainya apabila dibakar akan membebaskan plumbum.

Oleh itu kawasan pelupusan dan pembakaran yang sesuai perlu diadakan untuk mengawal kegiatan seperti ini daripada berlaku.

Keracunan plumbum boleh berlaku tanpa disangka-sangka. Di Mexico, seorang bayi telah dimasukkan ke hospital dengan tanda-tanda seperti kesukaran bernafas, kembung perut, keradangan hidung dan pucat.

Ia juga mengalami cirit-birit berlendir hampir satu bulan sebelum dimasukkan ke hospital.

Apabila diperiksa bayi tersebut didapati makan sejenis ubat serbuk berwarna oren yang diperolehi daripada seorang pengamal perubatan tempatan.

Serbuk ini kemudiannya dianalisis dan didapati mengandungi sebatian plumbum yang dikenakan sebagai plumbum tetraoksida di dalam kepekatan yang tinggi iaitu hampir 97 peratus.

Dalam satu kejadian lain di Kanada, seorang bayi berumur 10 minggu dimasukkan ke hospital disebabkan sawan yang berlaku dengan tiba-tiba.

Selain tanda tersebut, bayi itu kelihatan sihat dan normal.

Bayi itu kemudiannya disahkan mengalami kandungan plumbum tinggi dalam darahnya.

Perkara ini membimbangkan para doktor kerana bayi tersebut hanya menerima susu badan dan makanan bayi sahaja.

Kajian selanjutnya mendapati air yang digunakan untuk menyediakan makanan bayi tersebut telah terlebih dahulu dimasak di dalam sebuah bekas khas yang dipateri dengan bahan pateri berplumbum.

Apabila dipanaskan plumbum itu meresap keluar dan berkumpul di bahagian bawah bekas berkenaan seterusnya masuk ke dalam air. Air tersebut digunakan untuk membancuh makanan bayi tersebut.

Perkara ini menarik para pengkaji unutk membuat penyelidikan terhadap bahaya bekas-bekas yang dipateri dan dikelim yang menggunakan plumbum sebagai bahan utamanya.

Penyimpanan makanan berasid dan panas di dalam bekas yang sedemikian boleh menyebabkan plumbum meresap keluar dengan mudah.

Beberapa kes keracunan yang berpunca dari plumbum yang terkandung di dalam ubat-ubatan tradisional juga pernah dilaporkan.

Apabila ubat-ubatan tersebut dihantar untuk dianalisis, ia didapati mengandungi kandungan plumbum yang tinggi.

Merosakkan

Antara jenis-jenis plumbum yang ditemui ialah plumbum oksida, plumbum sulfat dan plumbum nitrat.

Beberapa kejadian lain turut membabitkan kandungan plumbum iaitu dalam kosmetik dan seramik.

Selain membahayakan diri plumbum juga boleh merosakkan perkembangan janin kerana plumbum boleh melepasi rintangan plasenta.

Masalah pendedahan plumbum terhadap kanak-kanak ini memerlukan suatu cara yang berkesan untuk mengurangkan risiko yang dihadapi.

Salah satu langkah yang berkesan untuk menangani masalah ini dengan menjauhkan dari sumber-sumber yang telah dikenalpasti kandungan plumbumnya.


 


Poisoning Emergency/ Information

Article from FB

Our Location