Racun Siput Boleh Bawa Maut

Wan zainal Azman Wan Abdullah
Utusan Malaysia, 13 Julai 1996

SIPUT dan lintah bulan merupakan makhluk perosak sayur-sayuran, pokok bunga dan pucuk muda tumbuh-tumbuhan.

Kebiasaannya racun siput digunakan untuk mengawal dan membunuh binatang perosak tersebut.

Racun jenis ini banyak terdapat di pasaran mengandungi sejenis bahan kimia yang dikenali sebagai metaldehid yang berkesan mengawal dan membunuh siput.

Metaldehid merupakan satu polimer asetaldehid dan toksik kepada siput dan lintah bulan.

Metaldehid bertindak setelah dimakan oleh siput dengan mengeluarkan racun dalam perut haiwan-haiwan tersebut.

Ini menyebabkan siput tidak boleh bergerak dan mengeluarkan lendir.

Ia boleh digunakan untuk tanaman sayuran, pokok bunga, pokok buah-buahan dan sebagainya.

Racun siput jenis ini terdapat dalam pelbagai sediaan termasuklah dalam bentuk butir, cecair dan pepejal.

Sehingga ini terdapat kira-kira 12 jenama racun ini di pasaran. Bagaimanapun metaldehid sangat berbahaya jika dihidu atau dimakan tetapi kurang bahaya jika terdedah dan diserap melalui kulit.

Rengsa pada kulit dan mata boleh berlaku jika terdedah pada racun ini. Terhidu wap racun metaldehid boleh menyebabkan rengsa yang teruk pada lapisan membran mukus dalam mulut, kerongkong, rongga hidung dan paru-paru.

Termakan racun siput metaldehid boleh menyebabkan radang perut dan usus, di samping merosakkan hati dan buah pinggang.

Tanda-tanda keracunan berlaku selepas satu hingga tiga jam termakan racun metaldehid.

Antara tanda-tandanya ialah sakit perut, mual, muntah, cirit-birit, demam, sawan dan seterusnya boleh menyebabkan koma.

Tanda-tanda lain akibat terdedah kepada racun ini ialah denyutan jantung meningkat, nafas tersekat-sekat, serangan sakit lelah, mengantuk, tekanan darah tinggi, tidak berupaya mengawal pembuangan kencing dan najis, pergerakan otot tidak menentu, berpeluh dan keluar air liur dengan banyak, mata berair dan tidak sedarkan diri.

Racun ini juga boleh melemahkan daya mental dan hilang ingatan untuk beberapa tahun.

Racun siput dikelaskan dalam kumpulan IV iaitu kurang toksik, tetapi sekiranya termakan melebihi jumlah tertentu ia boleh memyebabkan maut.

Jika termakan sejumlah 100-150mg ia boleh menyebabkan sawan.

Manakala termakan lebih daripada 400mg/kg pula boleh membawa maut.

Dalam satu kes keracunan yang berlaku di Amerika Syarikat, seorang kanak-kanak meninggal dunia kerana termakan sebanyak 3g metaldehid.

Sekiranya berlaku pendedahan berulang kali dalam jangka masa panjang radang pada kulit akan terjadi.

Jika terkena mata boleh menyebabkan mata kemerahan atau konjunktivitis. Kesan sampingan lain akibat pendedahan berterusan barangkali boleh mengakibatkan gangguan pada sistem saraf pusat, radang pada saluran usus, kerosakan hati dan otak.

Dalam kes keracunan metaldehid yang terjadi pada seorang kanak-kanak lelaki berusia 2 1/2 tahun di Amerika Syarikat, bedah siasat menunjukkan kerosakan pada paru-paru, hati dan buah pinggang dan ini adalah antara punca kematian kanak-kanak tersebut.

Sekiranya tertelan, prosedur pemuntahan tidak digalakkan kerana risiko terjadi sawan adalah tinggi.

Sebaik-baiknya mangsa segera dihantar ke hospital untuk mendapat rawatan kecemasan.

Dalam kes terhidu metaldehid, mangsa hendaklah dibawa ke tempat lapang dan diberikan bantuan pernafasan. Kemudiannya mangsa dibawa ke hospital untuk mendapat rawatan selanjutnya.

Sekiranya terkena pada kulit, cuci dengan air yang banyak bersama dengan cucian sabun.

Jika kulit menjadi radang selepas dibersihkan, mangsa hendaklah berjumpa dengan doktor secepat mungkin.

Begitu juga dalam kes terkena pada mata, mata hendaklah dicuci dengan air bersih yang banyak selama 15 minit.

Jika terasa sakit, kabur penglihatan, berair dan sebagainya, pesakit juga dinasihatkan supaya berjumpa doktor dengan segera.


Poisoning Emergency/ Information

Article from FB

Our Location