Zat besi boleh sebabkan keracunan

Prof.Madya Mohd. Isa Abdul Majid
Utusan Malaysia, 7 September 1996

ZAT besi merupakan satu unsur yang amat diperlukan oleh manusia terutama sekali bagi membolehkan pembentukan sel darah merah yang normal.

Ia dimakan oleh pelbagai golongan manusia, termasuklah kanak-kanak dan orang dewasa.

Kaum wanita khasnya yang sedang hamil memerlukan lebih banyak zat besi. Ia digunakan tidaklah terhad kepada sediaan pil zat besi fumarat, sulfat atau glukonat sahaja, tetapi juga boleh didapati sebagai salah satu unsur dalam pil multivitamin.

Memandangkan ia mudah diperolehi di rumah-rumah, tidaklah menghairankan keracunan zat besi sering berlaku, terutamanya yang membabitkan kanak-kanak.

Ia mungkin berlaku kerana kanak-kanak tidak dapat membezakan pil-pil ini daripada coklat disebabkan rupa bentuk dan warnanya yang benar-benar menyerupai coklat atau gula-gula.

Apabila berlaku kejadian seperti ini, faedah yang sepatutnya diperolehi daripada zat besi ini boleh bertukar menjadi bahaya yang boleh memudaratkan. Malahan, dalam kes keracunan yang serius, zat besi boleh meragut nyawa mangsanya.

Zat besi sebenarnya bersifat kakis. Ia boleh mencederakan lapisan perut dan usus kecil sehingga berlaku pendarahan dan pembentukan kuping.

Jika ia dimakan berlebihan kesemuanya akan diserap ke dalam saluran darah.

Kehadirannya secara berlebihan di dalam darah boleh merosakkan organ-oragan termasuklah jantung, hati dan otak.

Kesan sebenar bergantung kepada jenis (kekuatan) dan jumlah pil yang ditelan.

Dalam kes keracunan yang berat, kesannya boleh dibahagikan kepada beberapa tahap iaitu:

  • Pada tahap pertama, mangsa keracunan akan mengalami rasa mual, muntah-muntah, cirit-birit (pada kebiasaannya disertai dengan darah), sakit dan senak perut.

Gejala ini boleh dialami dalam masa 30 minit sehingga 6 jam pertama selepas ditelan.

  • Pada tahap kedua, tanda-tanda pesakit mula pulih mungkin diperhatikan dan pesakit kelihatan stabil. Ini berlaku dalam masa 3 atau 4 jam setelah zat besi ditelan.

Namun begitu, keadaan ini hanyalah sementara dan mungkin akan berterusan untuk 48 jam sahaja sebelum keadaan pesakit menjadi lebih teruk.

Oleh yang demikian, pemerhatian rapi perlu dilakukan memandangkan ini boleh mengelirukan.

  • Pada tahap ketiga, pendarahan usus akan berterusan. Mangsa keracunan akan kelihatan sangat lesu dan seterusnya mangsa mungkin tidak sedarkan diri atau berada dalam keadaan terkejut.

Kulit dan mata mangsa bertukar menjadi kekuningan, menandakan berlakunya, jaundis. Kesemua ini boleh terjadi antara 12 hingga 48 jam selepas zat besi ditelan.

  • Pada tahap keempat, kecederaan hati boleh berlaku (selepas 48 jam zat besi dimakan). Sekiranya ini tidak berlaku, kemungkinan besar mangsa akan pulih sendiri.

Memandangkan betapa seriusnya kesan yang boleh dialami oleh seseorang jika termakan zat besi berlebihan, pesakit haruslah dibawa ke hospital segera untuk pemeriksaan doktor.

Rawatan yang sesuai hanya dapat diberikan di hospital sahaja. Bagi sesetengah kes, mungkin tiada langsung tanda keracunan yang dapat diperhatikan pada 6 jam pertama.

Pencegahan Keracunan Zat Besi

Pil-pil yang mengandungi zat besi mudah diperolehi di farmasi dan biasanya di dapati dalam bentuk dan warna yang menarik dan kadang kala sukar dibezakan antara gula-gula dan coklat. Oleh itu pastikan:

  • Ia disimpan di tempat yang tidak boleh dicapai oleh kanak-kanak.
  • Menggunakan bekas asal yang berlabel dan sebolehnya yang tidak boleh dibuka oleh kanak-kanak.
  • Pil-pil lama yang tidak digunakan lagi dibuangkan dalam tandas.

Poisoning Emergency/ Information

Article from FB

Our Location