Kesan buruk akibat hisap rokok keretek

Noor Hasani Hashim
Utusan Malaysia, 5 Oktober 1996

SEJAK akhir-akhir ini kita sering mendengar berita bahagian Pencegahan Kastam dan Eksais Diraja berjaya merampas rokok keretek yang diseludup masuk bagi mengelakkan bayaran cukai jualan.

Dalam bulan September tahun ini sahaja tiga rampasan besar berjaya dilakukan, melibatkan jumlah rokok keretek bernilai lebih kurang RM2 juta manakala duti eksais pula bernilai hampir setengah juta ringgit.

Mungkin kerugian yang dialami (akibat rampasan) terlalu kecil jika dibandingkan dengan keuntungan yang didapati oleh penyeludup.

Lebih malang lagi, setiap kali rampasan dilakukan, tiada tangkapan dibuat atau penyeludup dapat melarikan diri.

Malah di bawah Seksyen 74(c) Akta Eksais 1976 memperuntukan jika disabit kesalahan boleh didenda RM10 ribu dan sekiranya kesalahan kali kedua tertuduh boleh dikenakan denda RM20 ribu jika dibandingkan dengan RM1 juta.

Kita kurang arif tentang kitaran keretek yang diseludup dan di mana akhirnya.

Walau apa pun asap daripada pembakarannya tetap berbahaya.

Faktor yang mengarah kepada penyeludupan ialah permintaan keretek yang bertambah. Selain daripada penduduk tempatan, kehadiran pekerja asing dari Indonesia hampir 1 juta yang majoritinya penagih keretek juga menyebabkan pertambahan permintaan keretek.

Memandangkan keretek dibawa masuk secara seludup maka ia dijual dengan harga yang murah dan mempunyai pelanggan khas.

Terdapat dua jenis keretek yang popular di kalangan penagih keretek iaitu bungkusan yang berwarna merah dan hitam.

Biasanya penagih akan menyebut "warna" sahaja kepada pembekal atau penjual bagi mendapatkan bekalan.

Keretek atau rokok kretek mengandungi campuran tembakau dan 30 hingga 40% bunga cengkih kering.

Telah dilapurkan bahawa kandungan tar, nikotina dan karbon monoksida daripada keretek lebih tinggi daripada rokok biasa.

Secara purata bagi setiap batang keretek menghasilkan 34 hingga 65 mg tar, 1.9 hingga 2.6 mg nikotina dan 18 hingga 28 mg karbon monoksida.

Analisis

Hasil analisis menggunakan gas kromatografi spektrometri massa ke atas asap keretek menunjukkan penemuan lima sebatian kimia yang tiada pada asap rokok biasa.

Sebatian kimia tersebut ialah eugenol, acetyl eugenol, B-caryophyllene, x-humulene dan caryophllene epoksida.

Bunga cengkih mengandungi 15% berat/isipadu minyak di mana 82-87% daripada kandungan minyak tersebut ialah eugenol (4-allyl-2-methoxyphenol atau 2-methoxy-4-(2-propenyl) phenol).

Kandungan ini setara dengan 120 - 130 mg eugenol bagi setiap 1 gram bunga cengkih kering.

Purata kandungan eugenol bagi sebatang keretek ialah 13 mg dan dianggarkan sebanyak 7 mg eugenol disedut ketika merokok.

Selain digunakan dalam keretek, eugenol digunakan dengan meluas dalam produk pergigian, bahan perisa dalam makanan dan ubat-ubatan.

Eugenol ialah sejenis minyak esential ruap, boleh menyebabkan kerosakan tisu secara langsung, dermatitis dan tindak balas alahan.

Walaupun ujian terhadap haiwan tidak menunjukkan kesan mutagenik akan tetapi sesetengah metabolit eugenol adalah mutagenik.

Telah dilapurkan juga penagih-penagih keretek mempunyai risiko yang paling tinggi mengalami pembengkakkan paru-paru.

Kajian menunjukkan eugenol dan terbitannya memberi kesan toksik kepada sistem saraf pusat.

Penagih keretek di kalangan remaja dilapurkan mendapat kesan khayal ringan apabila menghisap keretek.

Menyedut asap keretek "dalam-dalam' akan meningkatkan kepekatan asap dan ini bersesuaian dengan hubungan kepekatan tinggi eugenol yang diserap akan memberikan kesan tersebut.

Paras kepekatan nikotina yang tinggi juga memberi kesan khayal.

Selain dari mendapat bahaya keracunan akibat daripada pembakaran bunga cengkih, penagih keretek juga akan mendapat risiko akibat pembakaran tembakau.

Kemusnahan sel-sel pada paru-paru akan mengurangkan keupayaan paru-paru membawa masuk oksigen dan mengeluarkan karbon dioksida.

Saluran pernafasan menjadi sempit dan radang.

Pembentukan kahak dan lendir meningkat.

Sel-sel pernafasan tersumbat oleh tar dan bahan racun lain dan akhirnya mendapat barah paru-paru.

Kerosakan yang dialami bukan pada paru-paru sahaja malah keseluruhan organ-organ badan yang lain antaranya mulut, kerongkong, pundi-pundi kencing, buah pinggang, pankreas, jantung sistem pernafasan, sistem pembiakan, kerencatan pembesaran dan kurang berat sewaktu lahir.

Adalah agak malang bagi penagih rokok dan keretek kerana tidak mahu membuang tabiat yang buruk ini.

Pergantungan

Memandangkan kesan buruk akibat menjadin penagih nikotina timbul dalam jangka masa yang panjang dan berlaku secara perlahan-lahan, penagih rokok masih tidak mahu mengakui bahawa kesan buruk yang dialami akibat menghisap rokok bukanlah berpunca dari tabiat merokok.

Tiada satu kebaikan pun diperolehi daripada merokok.

Kita sering mendengar penagih nikotina mengalami batuk dan sakit tekak serta demam selesema.

Penagih tahu akan punca penyakit tersebut dan terus berhenti dari merokok.

Setelah beberapa hari penyakitnya pulih ia akan kembali menjadi nikotin dan merokok semula.

Puncanya ialah pergantungan kepada nikotina.

Mereka ini sudah menjadi penagih yang kronik, malah pergantungan secara fizikal ini mat sukar untuk dihentikan.

Hanya semangat dan keazaman yang cekal sahaja dapat menyelamatkan penagih-penagih tersebut.

Harga rokok yang mempunyai berbagai racun itu mencecah RM40 bagi setiap 20 kotak.

Penagih nikotin kronik akan menghisap paling kurang 40 batang rokok sehari, malah tinjauan terhadap sekumpulan nelayan menunjukkan mereka menghisap rokok melebihi 3 kotak sehari.

Bayangkan dengan purata lebih kurang RM10 dibelanjakan setiap hari, RM300 sebulan dan RM3,600 setahun dan RM72,000 bagi tempoh 20 tahun.

Sekiranya satu keluarge nelayan tersebut mempunyai lebih daripada seorang penagih rokok maka perbelanjaan untuk meracunkan keluarga pasti bertambah.

Amat malang sekali apabila kajian menunjukkan 71% remaja dan ini tidak termasuk orang-orang dewasa dan warga tua yang menjadi penagih rokok.

Selain daripada asap kenderaan dan kilang-kilang, asap yang paling menghampiri manusia ialah asap daripada penagih rokok.

Sekiranya 71% menjadi penagih rokok yang tinggal hanya 29% lagi.

Mereka ini tidak akan selamat walaupun tidak menjadi penagih, asap dari penagih 71% rakan mereka akan menenggelami mereka dan akhirnya tidak seorang pun yang selamat.

Tidak ada apa yang menguntungkan dan tidak ada kebaikan apabila menjadi penagih rokok.

Walau bagaimanapun, masih belum terlambat untuk membuang tabiat buruk ini dan kehidupan akan menjadi lebih selesa tanpa rokok.


Poisoning Emergency/ Information

Article from FB

Our Location