Kesan merokok kepada ubat

Dr. Abu Bakar Abdul Majeed
Utusan Malaysia, 11 Januari 1997

Kita kerap dinasihatkan tentang cara-cara terbaik makan ubat. Sesetengah ubat ada pantang larang tersendiri di segi kaedah memakannya.

Contohnya ubat yang mengandungi ion kalsium tidak boleh dimakan bersama susu kerana saling tindakan di antara keduanya dan bahan boleh menyebabkan ion kalsium mendak sebagai kalsium laktat dan tidak aktif di dalam badan.

Demikian juga dengan pesakit yang makan ubat bagi rawatan diebetes. Ubat diebetes tidak boleh dimakan bersama alkohol kerana dapat meningkatkan kesan ubat tersebut.

Namun satu jenis pantang larang yang jarang atau belum pernah kita dengar ialah makan ubat dan kesannya kepada perokok.

Jejas keberkesanan

Oleh itu berbincang kita kali ini adalah tentang kesan merokok dengan sesetengah ubat.

Kira-kira 20% daripada warga Malaysia dewasa yang merokok. Jadi kita tidak nafikan ada pesakit yang merokok. Adakah perokok tahu bahawa asap rokok yang disedut boleh menjejas keberkesanan ubat yang dimakan untuk menyembuhkan penyakit?

Seperti yang telah dibincangkan pada beberapa minggu lalu, asap rokok yang disedut ke dalam paru-paru mengandungi kira-kira 4000 bahan kimia. Antaranya termasuklah nikotina, tar, karbon monoksida dan hidrogen sianida.

Jadi tidak hairanlah jika terdapat kesan tindakan buruk di antara asap rokok dan ubat-ubatan. Di antara contoh-contohnya adalah seperti berikut:

Merokok dan ubat antibiotik:

Antibiotik digunakan bagi merawat jangkitan kuman, namun demikian, ada kalanya antibiotik gagal memberi kesan yang diharapkan.

Contohnya gandingan antibiotik oksasilin dan omeprazole dalam rawatan ulser peptik berkaitan dengan jangkitan bakteria Helicobacter pylori.

Kajian mendapati bahawa sesetengah pesakit yang terus merokok ketika sedang menggunakan antibiotik ini, gagal dirawat sepenuhnya.

Merokok dan ubat antiparkinson:

Amantadin ialah ubat bagi merawat penyakit Parkinson (sejenis penyakit gangguan pergerakan dan pertuturan yang dihadapi oleh bekas Juara Tinju Dunia Muhammad Ali dan penyanyi pujaan tahun 1960-an. A. Ramlee) dan juga sebagai ejen antivirus.

Selepas dimakan, lebih banyak armantidin yang tersebar di dalam tubuh seorang pesakit yang merokok daripada pesakit yang tiada merokok.

Jadi, bagi dos yang sama kesan ubat berkenaan mungkin berlainan bagi seorang perokok daripada kesannya terhadap pesakit yang tidak merokok.

Merokok dan ubat antisawan:

Karbamazepin adalah sejenis ubat antisawan. Kajian menunjukkan bahawa pesakit yang merokok ketika menggunakan karbamazepin lebih cenderung mengalami keadaan kurang ion natrium (hiponatremia) di dalam darah.

Merokok dan ubat antimalaria.

Kuinin digunakan bagi merawat malaria dan merokok boleh mempercepatkan penyingkiran ubat kuinin dari tubuh.

Merokok dan ubat antilelah.

Ramai pesakit telah menggunakan teofilin bagi meredakan kesesakan nafas. Perokok didapati lebih cepat menyingkirkan teofilin daripada pesakit yang tidak merokok. Oleh itu, kesannya untuk merawat lelah akan berkurangan.

Merokok dan ubat antiulser.

Kesan beberapa ubat antiulser yang dimakan pada sebelah malam juga didapati berkurangan bagi perokok berbanding pesakit yang tidak merokok.

Merokok dan ubat pencegah hamil.

Terdapat bukti menunjukkan bahawa sesetengah hormon yang terdapat di dalam pil-pil pencegah hamil lebih mudah diungkai bina di dalam hati perokok. Ini boleh mengurangkan keberkesanan ubat tersebut.

Merokok dan benzodiazepina.

Benzodiazepina adalah sejenis ubat tidur yang kuat. Kesan ubat ini mungkin berkurangan kepada perokok.

Menanggung risiko

Daripada hasil kajian yang dirumuskan di atas, bolehlah kita membuat kesimpulan bahawa tabiat merokok ketika makan sesetengah jenis ubat boleh mengubah keberkesanan ubat-ubat tersebut.

Pesakit yang terus merokok ketika makan ubat boleh menanggung pelbagai risiko akibat saling tindakan yang tidak diingini.

Berhentilah merokok bagi terus memantapkan kesihatan. Sempena di bulan puasa ini, ambillah peluang sebagai langkah pertama anda berhenti merokok.


Poisoning Emergency/ Information

Article from FB

Our Location