Hari Tanpa Tembakau Sedunia 1997 berjaya

Prof. Dzulkifli  Abdul Razak
Utusan Malaysia, 28 Jun 1997

HARI TANPA TEMBAKAU SEDUNIA pada tahun ini yang bertemakan `Bersatu Untuk Dunia Bebas Tembakau' telah dijayakan pada 31 Mei 1997 baru-baru ini. Tema pada kali ini amat bermakna sekali memandangkan dunia sejagat sedang menghadapi satu ketika yang amat genting dalam menangani masalah yang berkaitan dengan merokok, khususnya masalah-masalah kesihatan yang teruk serta juga penagihan terhadap tembakau.

Walaupun sejak empat (4) dekad yang lalu gejala-gejala merokok sudah diketahui umum, namun ramai di antara ahli masyarakat masih samar-samar tentang hakikat tersebut. Ini sebahagian besarnya adalah hasil daripada aktiviti-aktiviti industri tembakau yang begitu pesat menonjol keghairahan merokok sebagai satu gaya hidup yang berjaya dan sekali gus dapat menarik banyak langganan di kalangan orang dewasa dan kebelakangan ini anak-anak remaja serta golongan wanita. Akhirnya tabiat merokok menjadi satu lumrah di dalam masyarakat kita sehinggalah hari ini.

Saintifik

Sungguhpun dalam jangkamasa yang sama, berbagai bukti saintifik telah dapat dikumpulkan tetapi ia tidak tersebar luas untuk mengubah budaya merokok di kalangan masyarakat. Malah para pengubal dasar sendiri tidak menampakkan kesungguhan untuk bertindak mengurangkan tabiat merokok berasaskan kepada bukti-bukti tersebut. Akibatnya pada pertengahan abad ke-20 di negara-negara maju sahaja, produk-produk tembakau telah membunuh lebih daripada 60 juta manusia. Lebih ramai lagi nyawa terkorban jika diambil kira negara membangun yang lain termasuklah Malaysia.

Kecenderungan ini diramalkan akan berterusan tanpa sebarang tindakan yang berkesan diambil. Adalah dianggarkan bahawa dalam masa tiga (3) dekad ini lebih kurang 10 juta manusia akan mati setiap tahun akibat produk-produk tembakau dan 70 peratus daripada kematian di negara-negara membangun. Mengikut Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr, H. Nakajima, kematian yang sia-sia ini bolehlah dianggap sebagai satu keadaan kecemasan pada peringkat global dan ia berkehendakkan kepada satu tindakan yang bukan sahaja berkesan tetapi pada kadar yang amat segera sekali.

Budaya merokok

Ini bermakna tidak seorang pun yang terkecuali dalam mengambil langkah untuk menghentikan budaya merokok ini di kalangan masyarakat. Gandingan bahu di antara aktiviti organisasi dan masyarakat umumnya amatlah diperlukan sekiranya hasrat untuk mencapai sebuah dunia yang bebas tembakau ingin dijayakan. Oleh yang demikian, tema Hari Tanpa Tembakau Sedunia pada kali ini amat bererti sekali kepada kita semua.

Sayugia dinyatakan bahawa menangani masalah tembakau bukannya satu perkara yang mudah. Ini memandangkan bahawa industri tembakau ini sendiri mempunyai wang ringgit dan pengaruh yang amat besar kepada banyak kerajaan dan penggubal- penggubal dasar, khususnya di negara-negara membangun. Mereka membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk menaja dan mengiklankan barang-barang jenama tembakau secara terang-terangan dan cuba mendapat satu imej positif daripada aktiviti-aktiviti tersebut. Keadaan ini mengelirukan lagi fahaman umum tentang bahaya merokok. Oleh itu tidak hairanlah misalnya aktiviti sukan di negara ini masih ditaja oleh syarikat-syarikat tembakau dengan hasrat membentuk satu pengaruh merokok itu sealiran dengan aktiviti-aktiviti bersukan. Sedangkan gabungan kedua-dua aktiviti ini sebenarnya amatlah bertentangan antara satu sama lain: merokok memusnahkan kesihatan, bersukan membina kesihatan. Perkara ini telah ditekankan dengan jelasnya pada "Hari Tanpa Tembakau Sedunia" tahun lalu yang bertemakan "Sukan dan kebudayaan Tanpa Tembakau", tetapi kesannya di Malaysia tidak ketara.

Telekempen

Dalam hal ini, Pusat Racun Negara mengambil pertimbangan yang agak berat dan sedia bergabung dengan mana-mana pihak untuk menjayakan matlamat Hari Tanpa Tembakau Sedunia. Ia memerlukan perkongsian tanggungjawap. Salah satu aktiviti utama yang telah dianjurkan oleh PRN adalah Telekempen anti-merokok yang telah dilaksanakan pada 31 Mei 1997. Tujuan telekempen ini adalah untuk membantu mereka yang merokok berhenti daripada tabiat yang sia-sia ini.

Selain daripada itu, kepada sesiapa yang berminat maklumat-maklumat lanjut tentang rokok disediakan melalui Laman Internet PRN http://prn.usm.my.


Poisoning Emergency/ Information

Article from FB

Our Location