Kesan Mudarat ... ubat analgesia pada ibu hamil

Dr. Mohamed Izham Mohamed Ibrahim
Utusan Malaysia, 21 November 1997

Ubat boleh memberi kesan mudarat pada janin sepanjang kehamilan. Masalah kecacatan pada janin mudah berlaku dalam tempoh tiga bulan pertama (trimester pertama) semasa mengandung terutamanya pada hari ke-18 hingga ke-60 jangka masa hamil.

Salah satu berlakunya kecacatan adalah akibat penggunaan ubat yang tidak menentu oleh ibu yang hamil. Di antara faktor kesihatan yang sering menyebabkan seseorang ibu mengambil ubat semasa hamil ialah kerana keadaan takut yang timbul seperti rasa sakit pada bahagian bawah abdomen, sakit pada bahagian tulang belakang, lenguh dan demam.

Sakit adalah salah satu tanda dan alasan yang sering menyebabkan orang ramai mendapatkan rawatan kesihatan. Oleh sebab itu, ubat analgesia adalah di antara yang paling kerap digunakan.

Kesemua ubat analgesia yang kerap digunakan: kumpulan asid salisilik, terbitan pirazolon dan fenasetin ditemui pada abad yang ke 19. Jadual 1 di bawah menunjukkan jenis-jenis ubat analgesia (mengurangkan rasa sakit) yang boleh didapati di hospital, klinik atau kedai farmasi.

Banyak di antaranya memerlukan nasihat sebelum ia digunakan.

Jadual 1: Contoh ubat-ubat analgesia
Ubat analgesia bukan narkotik
Asprin
Parasetamol (asetaminofen)
Fenasetin
Ubat analgesia narkotik
Morfin
Kodein
Pentazosin
Tramadol
Meperidin
Petidin
Ubat anti-infalamasi (NSAIDS)
Ibuprofen
Indometasin
Diklofenak
Ketoprpfen
Ketirolak
Naproksen
Piroksikam
Sulindak

Ubat analgesia bukan narkotik

Bagi ibu yang sedang hamil dan memerlukan ubat analgesia patut diambil dalam dos yang rendah untuk jangkamasa yang singkat.

Ubat yang menjadi pilihan dan selamat digunakan: parasetamol atau asetaminofen (salah satu jenama yang paling popular ialah panadol).

Bagaimanapun, ia boleh menyebabkan keracunan jika diambil berlebihan. Ibu-ibu disaran menghubungi doktor atau ahli farmasi untuk mendapatkan nasihat.

Kebanyakan pakar perubatan sependapat bahawa aspirin merupakan ubat pilihan utama untuk sakit gigi, sakit kepala dan sakit tulang belakang.

Di Amerika Syarikat dianggarkan sebanyak 10 hingga 45 peratus wanita hamil menggunakan ubat aspirin dalam tempoh tiga bulan pertama waktu hamil.

Walaupun aspirin kepada janin tidak jelas tetapi penggunaannya di akhir tempoh hamil boleh mengganggu pengecutan rahim dan penyebabkan komplikasi semasa melahirkan bayi yang dikandung.

Tambahan lagi, aspirin boleh menyebabkan pendarahan pada bayi dan ibu. Secara umum, penggunaan aspirin patut dielakkan semasa hamil.

Penggunaan ubat untuk penyakit migrain seperti ergotamin adalah dilarang. Ergotamin mempunyai kesan pada rahim. Ini akan menghalang aliran darah ke dalam plasenta dan menyebabkan janin kekurangan oksigen dan mati.

Ubat analgesia narkotik

Ubat analgesia narkotik pula boleh memberi kesan mudarat pada bahagian otak dan pernafasan bayi terutama apabila diberi untuk menghilangkan rasa sakit semasa melahirkan bayi tersebut.

Ubat analgesia yang ideal semasa proses bersalin seharusnya tidak merbahayakan keadaan ibu atau janin. Ubat-ubat tersebut harus mudah digunakan dan memberi kesan yang tetap dan boleh dijangkakan.

Ubat petidin kerap digunakan semasa proses bersalin.

Ia merupakan ubat sintetik dan kurang mudarat terhadap sistem pernafasan bayi yang baru lahir.

Ubat NSAIDs

Ubat-ubat di dalam kelas anti-infalamasi (Non-Stroidal anti inflammatory drugs) bertindak dengan menghalang rasa sakit dan mengurangkan infalamasi (radang).

Ubat-ubat di dalam kumpulan ini dipreskripsikan untuk sakit pada bahagian tulang belakang, sakit kepala, gout dan sakit otot.

Ubat anti-infalamasi ini boleh merencat proses pengecutan rahim dan mengganggu proses kelahiran bayi.

Penggunaan ubat-ubat di dalam kelas ini seperti indometasin, ibuprofen dan naproksin harus dielakkan terutamanya untuk tiga bulan terakhir semasa hamil.

Jadual di bawah menunjukkan senarai ubat analgesia yang patut dielakkan semasa mengandung serta kesannya sama ada kepada bayi ataupun ibu.

Jadual 2: Kesan-kesan buruk ubat analgesia
Nama UbatKesan-kesan buruk
Aspirin Pendarahan
Memperlambat proses kelahiran
Hipertensi pulmonari mungkin berlaku pada bayi selepas lahir kenit terus pada bayi yang mengalami jaundis
NSAIDS

Kesan toksik dalam kajian terhadap haiwan:

Penutupan duktus arteriosus janin
Hipertensi pulmonari pada bayi
Melambatkan jangka masa bersalin
Analgesia Opiod
Menganggu sistem pernafasan bayi

Kesan withdrawal pada bayi bagi ibu yang ketagihan, bergantungan Gastricstasis pada ibu. Risiko inhalasi pnenumonia pada ibu semasa proses bersalin.

Apa anda perlu buat?

Isu penggunaan ubat semasa hamil adalah kontroversial dan masalah risiko atau manfaatnya masih samar.

Terdapat ubat analgesia yang selamat digunakan di awal waktu hamil seperti parasetamol.

Janin mudah terdedah kepada semua jenis ubat yang diambil oleh ibu. Jika penggunaan ubat itu adalah sangat diperlukan, ibu-ibu yang hamil haruslah memaklumkan kepada doktor yang mereka sedang hamil.

Para doktor pula harus mempreskripsikan ubat-ubat analgesia yang telah terbukti keselamatannya berbanding dengan ubat-ubat baru.

Di bawah ini disenaraikan soalan-soalan yang perlu ditanya oleh pesakit semasa menerima ubat analgesia atau anti-infalamasi:

  • Adakah saya memerlukan ubat ini?
  • Apakah tujuan ubat ini diberikan/dipreskripsikan kepada saya?
  • Adakah ia selamat untuk janin yang dikandung?
  • Jika perlu dan selamat, bolehkah saya mengambilnya dalam jumlah yang kecil?
  • Adakah ia selamat untuk diambil dalam jumlah yang besar? Berapa lama harus saya mengambilnya?
  • Adakah ubat ini akan saling bertindak dengan makanan? Jangan gunakan ubat selagi anda tidak yakin ia adalah selamat dan berkesan.
  • Apakah kesan sampingan ubat ini? Adakah terdapat ubat yang lebih selamat untuk dimakan? Adakah terdapat kaedah tanpa ubat yang boleh mengurang masalah sakit yang saya hadapi?
  • Jika saya tidak selesa dengan kesan sampingan ubat tersebut, bolehkah saya berhenti mengambil ubat tersebut?

Poisoning Emergency/ Information

Article from FB

Our Location