Cikgu Razak berlakon filem Hiroshima Dalam Kenangan - Tayangan di seluruh Jepun pada 6 Ogos

Sumber: Mingguan Malaysia
28 Ogos 1988, hal. 9

 Oleh: Kamaludin Lela

Sempena memperingati peristiwa hitam pengguguran bom atom oleh pasukan pejuang tentera Amerika Syarikat ke atas Hiroshima pihak Perbadanan Penyiaran Jepun (NHK) telah menayangkan filem dokumentari kisah hidup Cikgu Haji Abdul Razak Hamid ke seluruh Jepun pada 6 Ogos lalu. 

Pengambaran filem tersebut berlangsung di Kuala Lumpur sekitar kediamannya di Gombak bersama dengan keluarganya. Juga di tempat beliau bertugas sekarang sebagai Ketua Penyelaras kursus intensif bahasa Jepun kelolaan Jabatan Perkhidmatan Awam di bawah program Dasar Pandang ke Timur kerajaan pimpinan Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad.  

Petugas seramai tiga orang dari Perbadanan Penyiaran Jepun itu juga telah dibawa ke Melaka untuk membuat penggambaran di tempat pada peringkat awal Cikgu Razak belajar bahasa Jepun selama enam bulan dan kemudiannya menjadi guru bahasa Jepun. 

Menurut beliau Maktab Perguruan Perempuan Melayu Melaka menjadi markas tentera Jepun dan di situlah beliau serta beberapa orang rakan termasuk Tan Sri Hakim Eusoffe Abdelcader,[SIC] Allahyarham Nik Yusof Nik Ali dan Allahyarham Syed Omar ditempatkan. Selain dari lokasi di maktab perguruan yang terletak di Durian Daun Melaka itu penggambaran juga dibuat di beberapa tempat lain dan antaranya di Bukit Cina. 

Cikgu Haji Abdul Razak adalah antara tiga orang anak Melayu dari negara ini yang dihantar ke Jepun oleh tentera Jepun yang berkuasa di negara ini pada tahun 1943 untuk belajar di Universiti Hiroshima. Pada pagi 6 Ogos 1945 ketika mereka sedang belajar matematik, bom atom telah digugurkan. 

Malang sekali rakannya Nik Yusof menjadi mangsa akibat dari radioaktif dan tidak dapat ditemui tetapi Syed Omar masih sempat bersama-sama dengan beliau melarikan diri ke Kyoto untuk mendapat rawatan tetapi akhirnya meninggal dunia setelah dua minggu peristiwa itu berlaku. 

Walaupun Cikgu Haji Abdul Razak terselamat dari kesan radioaktif tetapi beliau menjalani berbagai rawatan baik semasa di Jepun dan sekembalinya ke tanahair. 

 Ingatan

Keterlibatan beliau dalam pengajaran bahasa Jepun dan pernah beberapa kali menghadiri berbagai kursus di negara matahari terbit itu telah menarik perhatian pihak Perbadanan Penyiaran Jepun untuk menjadikan kisah hidupnya sebagai sebuah filem dokumentari. 

Katanya, beliau menerima tawaran dari Perbadanan Penyiaran Jepun pada awal Jun dan sejak itu boleh dikatakan setiap malam pihak berkenaan menelefonnya mahukan berbagai maklumat sekitar penggambaran yang bakal dijalankan. 

"Sejak itu saya mula mengingatkan kembali secara lebih terperinci segala peristiwa yang telah saya alami dari awal belajar bahasa Jepun di Melaka hinggalah dihantar ke Hiroshima dan peristiwa yang paling menyayat dan tidak mungkin hilang dari ingatan," ceritanya dalam pertemuan di pejabatnya di tingkat tiga Wisma Belia di Kuala Lumpur. 

Ketika menceritakan kembali peristiwa yang ditempuhinya itu beliau seringkali menyebut bahawa gambaran tragedi itu tidak mungkin dapat dibayangkan melalui kata - kata dan dalam apa bentuk sekalipun. 

Dan itulah yang perlu dilakukannya kembali untuk melengkapkan penggambaran filem dokumnetari sepanjang masa 45 minit itu. Penggambaran di negara ini telah berlangsung selama seminggu dan kemudian Cikgu Razak dengan di temani isterinya berlepas ke Tokyo pada 7 Julai selama tiga minggu. 

Setibanya di Tokyo beliau telah bertemu dengan rakan-rakannya yang sama-sama belajar di Universiti Hiroshima dari tahun 1943 hingga berlakunya peristiwa hitam itu ketika berusia 19 tahun yang turut menjayakan filem yang diberi judul Hiroshima Dalam Kenangan

 gambar19

Cikgu Abdul Razak bersama Profesor Ichiro Moritaki dalam penggambaran di sekitar kampus Universiti Hiroshima

Penggambaran di Jepun bermula di Hiroshima dengan kesan-kesan kemusnahan bom atom yang masih dibiarkan kekal di kawasan peringatan kediaman di mana di kawasan yang luas itu terdapat muzium, tugu-tugu peringatan dan juga sebuah bangunan A Dome of Bomb. Dari situ berpindah ke Universiti Hiroshima yang masih berada di tempat asal. 

Beliau dan rakan - rakannya mengambil lokasi dalam bilik kuliah mengenang kembali semasa mereka sama - sama belajar matematik dari Profesor Toda yang turut sama dalam penggambaran tersebut, kini berusia 82 tahun. 

Dalam usia yang sudah lanjut Profesor Toda masih cergas dan kini menjadi pelawat profesor di Universiti Kyoto dan sentiasa kelihatan gembira kerana dapat bertemu kembali dengan bekas anak muridnya setelah lebih 40 tahun berpisah. 

Filem dokumentari "Hiroshima Dalam Kenangan" yang ditayangkan di seluruh Jepun menerusi rangkaian NHK pada 6 Ogos lalu dari jam 9.15 hingga 10 malam selama 45 minit benar - benar menyayat perasaan rakyat Jepun, terutamanya mereka yang kehilangan orang - orang yang disayangi akibat kesan radioaktif dan mati dalam keadaan yang mengerikan.

Beliau menerima tawaran dari Perbadanan Penyiaran Jepun pada awal Jun dan sejak itu boleh dikatakan setiap malam pihak berkenaan menelefonnya mahukan berbagai maklumat sekitar penggambaran yang bakal dijalankan

Selain dari sekitar Hiroshima yang menjadi tapak asas penggambaran, ia juga berlangsung di Kyoto selama dua hari di mana beliau serta Allahyarham Syed Omar diberikan rawatan. Kemudiannya penggambaran berpindah pula ke Tokyo selama sehari suntuk. 

Menurut Cikgu Razak yang terpilih sebagai Tokoh Guru 1984, pihak Perbadanan Penyiaran Jepun akan menyerahkan filem dokumentari "Hiroshima Dalam Kenangan" kebahagian antarabangsa di perbadanan tersebut untuk tayangan ke negara masing - masing yang mana dialihbahasa ke dalam beberapa bahasa asing. 

Katanya, beliau telah dihubungi bagi mengusahakan alihbahasa ke dalam bahasa Malaysia untuk tontonan di negara ini dan juga ke negara berbahasa Melayu lainnya di Nusantara. 

Apabila prosesnya siap nanti rakyat di negara ini juga akan berpeluang menontonnya, terutama keluarga Allahyarham Syed Omar iaitu adik ipar kepada Profesor Diraja Ungku Aziz dan juga keluarga Allahyarham Nik Yusof yang berasal dari Kota Baharu, Kelantan, kerana penggambarannya turut berlangsung di perkuburan Allahyarham Nik Yusof di Hiroshima dan Allahyarham Syed Omar di Kyoto. 

 

gambar18

Pusara Nik Yusof Nik Ali di Hiroshima di mana bulan bintang melambangkan Islam

Terharu

Ekoran dari tayangan ke seluruh Jepun pada ulangtahun ke-43 tragedi hitam itu pada 6 Ogos lalu Cikgu Razak banyak menerima surat dari rakyat Jepun yang telah menontonnya dan menyatakan rasa terharu mengenangkan apa yang terjadi dan ada antaranya yang menangis ketika menontonnya. 

Surat-surat yang diterima dari generasi muda pula mendoakan semoga peristiwa yang sangat menyayat itu tidak akan berulang lagi dan menjadi tanggungjawap mereka berikrar untuk menjaga keamanan negara supaya dapat hidup sentosa dan aman. 

Dalam pertemuan itu Cikgu Haji Abdul Razak yang telah menerima anugerah Order of the Rising Sun dari Maharaja Jepun yang disampaikan sendiri oleh bekas Perdana Menteri Yashuhiro Naksone ketika berkunjung ke negara ini pada tahun 1983, juga menyebut tentangperkuburan Allahyarham Syed Omar dan Allahyarham Nik Yusof

"Saya sangat terharu bila Profesor Toda memberitahu bahawa pada setiap tahun sekumpulan orang-orang Jepun datang membersihkan kedua-dua kubur itu. Di samping usaha dari orang Jepun saya sedih kenapa ianya tidak diambilalih umpamanya oleh kumpulan pelajar dari negara ini yang berada di Hiroshima dan juga Kyoto," katanya dengan sayu. 

 gambar20

Sekumpulan masyarakat Jepun diketuai oleh Profesor Ichiro Moritaki setiap tahun datang membersihkan kubur Syed Omar Syed Mohammad Alsagoff [SIC] bergambar di pusara Allahyarham.

"Ternyata, kedua - dua kubur itu sangat mendapat perhatian dari masyarakat Jepun terutamanya menjelang menyambut ualngtahun berlakunya peristiwa sedih itu. Eloklah inisiatif itu umpanyanya diberi perhatian oleh pihak Kedutaan Malaysia di Jepun. Sekurang-kurangnya ada orang Islam menziarahinya sambil bersedekah al-Fatihah dan membaca yasin dan sebagainya sesuai dengan kehendak Islam." 

Beliau juga ingin menarik perhatian pihak JICA (Japan International Cooperation Agency) yang menganjurkan program persahabatan abad ke-21 di bawah kerajaan Jepun dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia agar dapat memberi peluang kepada peserta beragama Islam melawat ke salah satu kubur tersebut, kalau tidak dapat kedua-duanya sekali.


Poisoning Emergency/ Information

Article from FB

Our Location