Hiroshima Ranap Di Hadapan Matanya

Sumber: Berita Harian
             1988

 Oleh: K. Suthakar

Pada 1945 Encik Abdul Razak Hamid menerima berita kejayaannya melanjutkan pelajaran ke Hiroshima, Jepun dengan gembira. Tetapi kegembiraan itu cuma sementara. Dia adalah satu-satunya orang Melayu yang terselamat daripada ledakkan bom atom di bandar itu. K. SUTHAKAR mewawancara beliau untuk sama-sama kita tatapi pengalamannya.
 
Bagi Encik Abdul Razak Hamid, kejayaannya melanjutkan pelajaran ke Jepun adalah satu tuah. Pemergiannya ke Hiroshima untuk mempelajari bahasa Jepun dan mengikuti kursus pendidikan menjadi kebanggaan ibu bapa dan penduduk kampungnya. 

Tapi, kegembiraannya bertukar cemas kerana waktu itu - Ogos 1945, bahang Perang Dunia Kedua masih terasa. Sebutir bom atom memusnahkan sebahagian besar bumi Hiroshima hingga menjadi padang jarak padang terkukur. 

Abdul Razak dan dua rakannya, Nik Yusof dari Kelantan dan Syed Omar dari Johor tetap tabah menghadapi dugaan sambil berdoa supaya mereka selamat belajar dan dapat pulang untuk berbakti kepada tanahair tercinta. 

Pada 6 Ogos tahun itu, kira-kira jam 8.30 pagi, Abdul Razak sedang mengikuti kuliah matematik di Universiti Hiroshima. Rakannya ada di asrama ketika itu. "Sebaik saja guru saya Kiyoshi Toda memulakan kelas, saya melihat cahaya seperti kilat meluncur laju. Serentak itu, terdengar bunyi seperti halilintar membelah bumi." 

Pada saat itu, dia mendengar jeritan meminta tolong di sana sini. "Saya tidak tahu apa yang harus saya buat kerana tiba-tiba saya terperangkap di bawah timbunan bangunan yang diranap oleh gegaran letupan bom atom. 

"Kepala saya sakit dan pedih. Darah mengalir membasahi muka. Saya kuatkan semangat untuk melepaskan diri," katanya.

Terjun

"Saya terpaksa menyelam selama yang boleh. Sesekali mengambil nafas di permukaan air, saya melihat mayat manusia terdampar di tebing dan di permukaan air. Jika tidak silap, enam jam saya berendam dalam air dan tiada siapa yang datang menolong," katanya. 

Haji Abdul Razak, 63 adalah rakyat Malaysia tunggal yang terselamat daripada peristiwa letupan bom atom yang mengorbankan puluhan ribu jiwa. Beliau masih ingat detik-detik yang hampir meragut nyawanya walaupun peristiwa itu sudah 43 tahun berlalu. 

Beliau yang kini bertugas sebagai Penyelaras dan Guru Intensif Bahasa Jepun dalam program Dasar Pandang Ke Timur Jabatan Perkhidmatan Awam tidak terkejut apabila ibu bapanya di Kampung Baru, Kuala Lumpur menyangka beliau terkorban dalam kejadian itu hingga sudah mengadakan kenduri arwah. 

Beliau juga mengakui dua rakannya turut terkorban hingga pemerintah Jepun terpaksa mengebumikan mayat mereka tanpa secara Islam. 

"Saya sifatkan peristiwa itu sebagai mati hidup semula, lebih-lebih lagi ketika saya melihat mayat bergelimpangan di sana-sini," katanya 

Sebelum melanjutkan pelajaran ke Jepun, Haji Abdul Razak menjadi guru pelatih di Sekolah Menengah Hulu Klang. Tetapi apabila perang meletus dan tentera Jepun mula memasuki negara ini pada 1941, beliau terpaksa berhenti. 

Tentera Jepun mewajibkan semua guru mempelajari bahasa Jepun dengan harapan satu hari nanti bahasa perantaraan sekolah bertukar daripada Inggeris kepada Jepun. Beliau turut terpilih mengikuti kursus bahasa Jepun selama tiga bulan. 

Selepas kursus, beliau dilantik sebagai pegawai pelajaran Bahasa Jepun dan diminta menyusun sukatan pelajaran untuk sekolah-sekolah di sekitar Kuala Lumpur. 

Kerana kefasihannya berbahasa Jepun, beliau mengikuti kursus di beberapa tempat. Pada 1943, beliau berlepas ke Tokyo bersama tiga lelaki lain termasuk (Tan Sri) Eusoffe Abdool Kader dan Syed Omar dari Johor dengan kapal laut dari Singapura. 

gambar16

Haji Abdul Razak (kanan) bersama (Allahyarham Tan Sri) Eusoffe Abdool Cader (di sebelahnya) antara yang terpilih untuk kursus di Jepun.

Di Jepun, beliau berkenalan dengan Pangeran Yusof dari Brunei. Mereka selalu melihat kapal perang pengebom B29 Amerika Syarikat menghujani bandar itu di Jepun. 

Pada satu hari, sebuah pesawat Amerika berlegar-legar di angkasa bandar Hiroshima sambil menggugurkan risalah yang bermaksud "Jepun akan hancur lebur jika tidak segera menyerah". 

Hancur

Kerana risalah itu, perasaan khuatir, cemas dan tegang mula terbayang di wajah setiap penduduk Hiroshima hinggalah pada hari yang mencemaskan iaitu 6 Ogos 1945 apabila sebutir bom dengan kepanasan mencapai 300,000 darjah Celcius meranapkan sebahagian besar bumi Hiroshima. 

"Saya dapati mangsa-mangsa bom yang terkena radioaktif, kulit badan mereka mengelupas seperti udang dibakar. Muka mereka bengkak dan rambut dan pakaian mereka terbakar. Jika ada yang tinggal hanya tali pinggang daripada kulit dan jam tangan sahaja," katanya. 

Gambaran itu dilihatnya dengan mata sendiri dan ketika itu barulah beliau sedar betapa besar Kuasa Allah hingga tanpa diduga beliau terselamat daripada malapetaka itu. 

Selepas Jepun menyerah, Haji Razak melihat sendiri majlis penyerahan Jepun kepada Amerika. Ramai juga rakyat Jepun membantah dan sesetengahnya sanggup berperang lagi. 

Selepas peristiwa itu, beliau dan rakan-rakannya dari negara lain dibenarkan terus belajar di Jepun tetapi tanpa biasiswa. Kerana perbelanjaan tinggi dan tidak mampu, beliau terpaksa pulang ke tanahair melalui Manila dan Singapura. 

Pada tahun 1984, Haji Razak sekali lagi diberi peluang mengunjungi Jepun. Kali ini dikendalikan oleh kerajaan yang sedang melaksanakan satu Dasar Pandang Ke Timur. Beliau mengikuti kursus lanjutan bahasa Jepun di Universiti Waseda dan tempat lamanya iaitu Universiti Hiroshima

Kesan

"Sebaik sahaja tiba di Tokyo, saya diberi sambutan seperti orang kenamaan. Media masa Jepun mahu mewawancara saya mengenai peristiwa silam pada tahun 1945," katanya. 

Sewaktu ditemuduga secara langsung oleh sebuah syarikat televisyen Jepun, dua kakak seorang wanita yang ditolongnya pada 1945 tiba-tiba meluru masuk dan meratapi kematian adik mereka. 

"Saya masih ingat wanita yang saya tolong itu bernama Sumida tetapi dia meninggal dunia sebulan kemudian kerana kesan radioaktif dalam badannya," kata Haji Razak lagi. 

Beliau juga terkejut melihat sebuah batu peringatan yang dibina sempena kematian rakannya Nik Yusof. Tanda peringatan itu dibina oleh Prof Toda, kini berusia 82 tahun. 

Jenazah Nik Yusof tidak dapat dikesan tetapi menurut Prof Toda, dia menjumpai tiga bungkusan tulang yang dilonggokkan di tepi jalan. Satu daripadanya ditulis Nik Yusof. 

Prof Toda meminta maaf kerana tidak dapat menyempurnakan jenazah itu mengikut cara Islam tetapi beliau berterima kasih kerana usahanya.

 

Di celah-celah runtuhan bangunan, Razak ternampak cahaya penunjuk jalan. Dia menguatkan tenaga untuk merangkak keluar

 

Di celah-celah runtuhan bangunan itu, Razak ternampak cahaya sebagai penunjuk jalan keluar. Dia menguatkan tenaga untuk merangkak keluar. Pemandangan di luar sungguh memeranjat dan mengerikan seperti negeri di langgar geroda. 

"Saya lihat mayat bergelimpangan di sana-sini. Kulit badan mereka mengelupas seperti udang dibakar kerana terkena bahan radioaktif. Muka mereka bengkak, lebam dan hangus hingga sukar menentukan jantinanya. Sungguh mengerikan," katanya. 

Waktu itu Razak kepanasan dan dia terdengar bisikan suara supaya terjun ke dalam sungai berhampiran. "Saya terus merangkak cepat ke tebing sungai. Angin kuat dan minyak di permukaan air menjadikan sungai itu turut terbakar. 

 


Poisoning Emergency/ Information

Article from FB

Our Location