6 Ogos yang Jahanam

Sumber: Satria
            
Februari 1985, hal.12-13
 Oleh: Marzuki Ibrahim

Seluruh dunia menjadi gempar apabila bom atom terkuat ledakannya serta memberi kesan yang buruk pada mangsanya telah digugurkan di bandar Hiroshima mengakibatkan jutaan nyawa manusia terkorban. 

6hb. Ogos 1945 jam 8.15 pagi sejarah hitam ini betul-betul menghiris perasaan seorang anak Melayu yang terselamat dari kecelakaan. Haji Abdul Razak bin Abdul Hamid ketika itu tidak dapat membayangkan betapa suasana ketakutan menyelubungi dirinya bila melihat kawasan bandar Hiroshima menjadi padang jarak padang tekukur dan dalam waktu-waktu itu kedengaran suara-suara manusia menjerit kesakitan. 

Haji Abdul Razak adalah seorang guru yang dihantar oleh pihak Jepun belajar di sana sewaktu tentera tersebut memerintah Malaya. Semasa dalam kuliah, tiba-tiba saja kilat memancar melepasi cermin tingkat diikuti deruan guruh yang amat kuat. 

Dia tidak dapat membayangkan apakah yang telah terjadi. Bila dibuka matanya alangkah terkejut kerana dia berada di bawah timbunan kayu yang banyak. 

Diraba-raba kepalanya terasa sangat pedih di tangannya darah merah pekat. Dari timbunan kayu ini Haji Abdul Razak berkeupayaan bangun untuk mendapatkan temannya. 

"Saya bangun terus meraba-raba bahagian yang terasa sakit. Saya dapati bahagian kepala mengalami kecederaan, tapi tidaklah begitu parah," katanya. 

Seramai tiga orang anak Melayu, terdiri dari Nik Yusuf Ali, Syed Omar Al Saggof [SIC] dan Haji Abdul Razak sendiri masa itu masih berumur 19 tahun. Mereka telah dibawa ke Hiroshima dan menerima pelajaran bersama-sama dengan sepuluh orang dari rakyat Indonesia dan Brunei

Akibat dari perang yang kian merebak dan kapalterbang pihak berikat B29 kerap mengebom bandar Tokyo menyebabkan seramai tiga belas orang dipindahkan ke Universiti Hiroshima. 

Seorang daripada kawannya dari Brunei bernama Pangeran Yusuf, bersama-sama dengan Profesor Toda telah diarahkan oleh Profesor Toda supaya pergi mendapatkan kawan-kawan di asrama melihat akan keadaan mereka yang terkorban memberi laporan kepadanya. 

Haji Abdul Razak bersama dengan Pangeran Yusuf bangun dari celah-celah bangunan runtuh untuk mendapatkan kawan-kawan yang ada di asrama. Alangkah terkejut, kerana pandangan mereka ketika itu betul-betul sayu. Kawasan yang dilihat telah menjadi padang jarak padang terkukur tidak ada satu bangunan dan pokok-pokok yang tegak. 

"Saya berdua berlari ke asrama mendapatkan kawan-kawan. Dalam perjalanan kami telah sesat jalan kerana jalan ke asrama sudah ditutupi oleh runtuhan bangunan," katanya cemas sekali waktu itu. 

Mereka masih ingat asrama tempat menginap terletak dekat dengan sebatang sungai. Tiba saja dekat asrama tersebut dia telah memanggil dalam bahasa Jepun pada ibu yang menjaga asrama tempat penginapan mereka itu. 

"Obasan ...! Obasan ...! Beberapa kali saya panggil. Panggilan tersebut disambut dari bawah timbunan batu-bata. Saya dan Pangeran Yusuf cuba mengangkat batu-bata yang menimbus penjaga asrama". 

Malang sekali usaha mereka gagal untuk menolong dia. Di seberang sungai kelihatan api secara tidak disangka-sangka datang bergulung-gulung seperti puting beliung menjilat segala runtuhan kayu. 

Beberapa orang pekerja wanita Jepun membersihkan jalanraya berlari ke arah tebing sungai. Api kian hampir. Bahang kepanasan terasa. 

"Kemudian mereka terjun ke dalam sungai dan masuk dalam sebuah lubang paip besar. Bagi mereka yang tidak sempat, terpaksa berdiri di tebing dan terus disambar api yang menggila itu". 

"Ngeri rasanya hati saya bila melihat keadaan ini berlaku. Jeritan meminta pertolongan tidak dapat diberi. Muka dan keadaan mereka hitam lebam disambar api. Ada yang jatuh ke dalam sungai lalu dibawa arus," ceritanya lagi. 

Teman-teman sekuliahnya dari Brunei dan Indonesia berada dalam keadaan selamat. Salah seorang dari rakyat Indonesia mengalami kecederaan, rambutnya boleh dicabut seketul-seketul dari kepala. 

Menurut Haji Razak lagi, mayat manusia tidak terbilang banyaknya. Ada muka membengkak tidak menyerupai muka-muka sebenar kulit badan mereka terselinap bergantungan, kelihatan isi putih yang mengerikan ditambah dengan darah mengalir. 

Untuk menyelamatkan penjaga asrama tidak berhasil. Api macam puting beliung berpusing-pusing di seberang sungai, tiba-tiba melalui sebuah jambatan membakar di tempat mereka berada pula. 

"Saya dan kawan-kawan yang lain menjadi panik. Berkat pertolongan Tuhan, saya telah menguatkan semangat. Jalan untuk berlari tidak ada. Dengan tidak terduga kelihatan sebuah rakit di tebing sungai. Saya tidak membuang masa lagi terus memikul beberapa orang Jepun yang cedera diletakkan di atas rakit dan penjaga asrama dibiarkan begitu saja."

 

Api macam puting beliong berpusing-pusing di seberang sungai, tiba-tiba melalui sebuah jambatan membakar di tempat mereka berada pula

 

Api kian hampir, beliau sempat mengambil beberapa kelengkapan penting supaya tidak dijilat api. Kelambu beserta alat-alat keperluan di sekolah dibawa bersama diletakkan atas rakit. 

Api yang besar terus saja meratah timbunan kayu dan mana yang masih ada nyawa ikan turut terkorban. 

Semasa bersama-sama tiga belas orang di atas rakit, bahang kepanasan api kian menghampiri menyimbah apa saja yang berhampiran dengan asrama. 

"Dengan tidak terduga api tersebut merebak hingga menghampiri rakit saya. Semua yang ada atas rakit terjun ke dalam sungai, bergayut di tepi dalam keadaan hawa yang panas. 

Beberapa orang Jepun yang mengalami kecederaan turut sama terjun ke dalam sungai, Mereka cuma sempat bergayut sebentar saja, tidak terdaya terus dibawa arus sungai yang deras. 

"Saya terpaksa tenggelam timbul dalam air untuk menghilangkan rasa kepanasan. Saya terkejut bila melihat kelambu yang dibawa terbakar di atas rakit. Suasana menjadi semakin cemas. Takut jika rakit tempat bergantung turut juga terbakar, sedangkan saya tidak tahu berenang," katanya seperti bimbang. 

Dahlah api besar dan ganas membakar kelambu, di atas kepala pula ada bola api yang membesar kemerahan seolah-olah akan jatuh. Saya menjerit memberitahu kawan-kawan kerana dalam ingatan habislah riwayat hidup kami". 

Nasib mereka sungguh baik kerana kawannya Pangeran Yusuf telah naik ke atas rakit memadam api yang membakar kelambu tadi. Setelah pukul lima barulah reda hanya tinggal bara-bara api saja yang kelihatan masih menyala membaham sisa-sisa runtuhan. 

Setelah reda mereka berkumpul beramai-ramai di atas sebuah jambatan yang telah dibersihkan dan berkhemah di situ. Beberapa orang Jepun yang selamat menjerit-jerit meminta air. 

Haji Abdul Razak berserta kawan-kawannya terus mendapatkan air dari sungai yang berhampiran dan memberi mereka minum. Mereka yang sakit ini, menurut beliau mati dengan tiba-tiba. 

"Begitu juga orang pertama, kedua dan beberapa orang lagi. Saya katakan pada Pangeran Yusuf kita sudah menjadi pembunuh kedua". 

Akhirnya mereka mencari jalan lain dengan memasak air sungai yang diambil kerana dalam ingatan masing-masing kemungkinan air yang diminum itu beracun. Tapi sama juga. Apabila diberi, mangsa tadi mati dan kami mengambil keputusan tidak memberi air lagi. 

Dalam kesibukkan Haji Abdul Razak cuba mencari teman yang datang dari Kelantan iaitu Nik Yusuf. Puas dicari tidak juga terjumpa. Di klinik kelihatan mayat-mayat bergelimpangan, bertindih-tindih antara satu sama lain, yang mengerunkan. 

"Puas kami balik-balikkan mayat itu kiranya terjumpa Nik Yusuf. Usaha kami gagal dan kami pulang saja mendapatkan teman-teman di tempat perkhemahan." 

Tidak berapa jam hari pun malam, bantuan dari pasukan pertolongan cemas tiba. Mereka telah diberi bantuan rawatan. Selama seminggu berada di situ barulah berpindah ke sebuah rumah lain jaraknya dari tempat kejadian kira-kira satu setengah kilometer. 

Dari sinilah mereka yang cedera parah dibawa ke Tokyo untuk diberi rawatan seterusnya.

 


Poisoning Emergency/ Information

Article from FB

Our Location