Penggunaan Nuklear Pada Masa Depan Harapan atau Kehancuran

By Mohd Zaidi Hj. Maaz
Source: Berita Minggu
              6 Ogos 1989 (4 Muharam, 1410)

Pada jam 8.15 pagi, 6 Ogos 1994, bom atom pertama di dunia meletup dengan sinaran cahaya yang paling hebat di atas bangunan Dewan Galakan Industri. Ledakan itu dengan serta-merta merubah bandar Hiroshima menjadi padang jarak padang tekukur. 

Kesan letupan bom itu secara mendatar, 550 meter di atas kubahnya tidak memusnahkan terus bangunan itu. Rangkanya kini menjadi saksi tunggal hingga ke hari ini terhadap malapetaka itu. 

KIRA-KIRA 137,000 orang dilaporkan terkorban di Jepun pagi tadi. Peristiwa yang berlaku lebih 40 tahun lalu di Hiroshima itu tidak mudah dilupakan begitu sahaja. Kejayaan penyelidikan tiga tahun The Manhattan Project di Los Alamos, Amerika Syarikat, meninggalkan catatan hitam yang memilukan.  

Bencana nuklear yang pertama di muka bumi ini pada jam 8.15 pagi hari ini, 44 tahun yang lalu, sukar untuk dilupakan. Kepada segolongan manusia, ledakan bom akibat tindak balas bahan utama satu kilogram uranium 235, adalah mimpi yang menakutkan dan tidak munasabah. Bagi yang lain, malapetaka daripada bom yang digelar Little Boy seberat 4,100 kilogram itu adalah suatu impian yang diharapkan. 

Tiga hari kemudian, bandar Nagasaki pula menjadi `padang jarak padang tekukur', dengan 78,000 orang dilaporkan terkorban akibat tindak balas bahan plutonium 239 yang dimuatkan dalam Fat Man.  

Daripada dua peristiwa ini, tidak boleh dinafikan bahawa kuasa nuklear adalah ancaman terbesar kepada kewujudan manusia di muka bumi serta mampu manjadi faktor yang menjejaskan keamanan dunia. Sebaliknya, teknologi ini penting dan mempunyai nilai yang tinggi, dengan faedah besar bagi ekonomi perusahaan. 

Dalam pada itu, pelbagai reaksi akan wujud apabila perkataan nuklear disebut. Walupun ia telah mengalami pelbagai peristiwa menarik sejak lebih 40 tahun lalu, agak menghairankan mengapa ramai yang masih takut dengan kematian yang disebabkan olehnya, sedangkan mekatian berlaku di mana-mana. Lombong arang batu pernah membunuh beratus-ratus pekerja manakala kemalangan jalanraya meragut beribu-ribu nyawa setiap tahun. 

Dapatkah kita mengetepikan sahaja kuasa nuklear sebagai sumber alternatif tenaga? Haruskah kita terus membakar bahan api daripada fosil seperti arang batu, gas dan minyak? Perlu disedari bahawa bekalan minyak di bumi ini tidak akan kekal selamanya. Bagi arang batu, ia menyebabkan pencemaran udara, memendekkan nyawa dan mewujudkan hujan asid. 

Walaupun wajar kita meragui nuklear adalah satu sumber tenaga yang amat merbahaya, tetapi perlu disedari bahawa bahaya itu wujud sebagai satu kemungkinan. Mungkin sebahagiannya kerana ketakutan mengenai perang nuklear. Secara tidak langsung, kegunaan nuklear secara aman ditafsirkan sebagai satu punca bahaya yang amat membimbangkan. 

Mengenai bantahan yang banyak dikemukakan, terutama daripada pertubuhan alam sekitar, ketakutan dan tunjuk perasaan yang diadakan nampaknya lebih tertumpu kepada stesen janaelektrik berkuasa nuklear dan bukannya kemusnahan menyeluruh yang disebabkan oleh nuklear. Harus disedari bahawa stesen janaelektrik tidak boleh meletup seperti sebutir bom. 

Yang perlu diragui ialah alat dan kelengkapan kuasa nuklear untuk tujuan pemusnahan dan dilonggokkan dengan banyaknya oleh kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan Soviet Union. Jika perang nuklear meletus, tiada stesen janaelektrik yang akan meletup, sebaliknya bumi ini! Jumlah penuh senjata yang telah dihasilkan kini beribu kali ganda daripada kekuatan bom atom yang meledak di Hiroshima dan Nagasaki. Buat sementara, kita masih boleh hidup dengan aman selagi negara yang saling mencurigai itu belum membuat kesilapan. 

Dalam pada itu, sikap pemimpin dunia mengenai senjata nuklear amat menyedihkan sejak kebelakangan ini. Selain pergeseran antara kuasa besar (walaupun beberapa persetujuan perlucutan senjata dicapai dan belum terlaksana), negara dunia ketiga sebaliknya tidak mahu ketinggalan untuk membuat senjata nuklear. Dalam masa mereka berusaha mencapai impian, sebahagian besar rakyat terpaksa menghadapi kemiskinan dan kelaparan. Contohnya ialah India dan Pakistan. 

Inikah layanan kerajaan dan pemimpin negara untuk rakyat yang memerlukan pembelaan? Walaupun menghadapi masalah kewangan, kedua-dua negara berlumba menghasilkan peluru berpandu buatan sendiri dengan keupayaan membawa bahan pemusnah berkuasa nuklear. Rakyat yang malang di kedua-dua negara itu makin terdedah kepada bahaya yang sengaja diwujudkan.  

Seperti kuasa dan bahan api yang lain, kuasa nuklear juga mempunyai bahaya dan risiko. Bagaimanapun, semuanya telah sengaja diperbesarkan sehingga menenggelamkan kemampuan dan manafaatnya.

Keselamatan 

Sisa daripada nuklear masih perlu dibuang dengan sempurna. Hingga kini, masih belum ada penemuan baru dalam teknologi pembuangan sisa untuk menjadikannya lebih selamat. Sebaliknya dari segi lain, pelbagai kemajuan telah dicapai hingga penjanaan elektrik menggunakan kuasa nuklear semakin selamat dewasa ini. Dalam pada itu, kemalangan yang dilaporkan berlaku di beberapa stesen janaelektrik di dunia sukar untuk diterima sebagai controh menperjelaskan bahawa kuasa nuklear tidak selamat. 

Nahas yang belaku di stesen janaelektrik Chernobyl di Soviet Union pada April 1987 meninggalkan kesan buruk ke atas hidupan serta tanaman di kawasan sekitarnya dan di tempat lain pula dihujani oleh bahan radioaktif dariapda loji berkenaan. Harus disedari bahawa kemalangan itu berpunca daripada kecuaian manusia dan penggunaan teknologi serta kelengkapan yang lama. 

Daripada maklumat yang dikutip oleh pihak berkuasa nuklear Amerika Syarikat, sebanyak 33,475 kemalangan dilaporkan dalam tempoh 10 tahun lalu. Kemalangan yang dilaporkan di negara itu sejak kejadian buruk di stesen janaelektrik Pulau Three Mile (TMI) di Pensylvania disebabkan oleh punca yang paling kecil seperti skru kelengkapan tertanggal hingga ke kebocoran radioaktif. 

Memang diakui kemalangan yang berlaku semakin meningkat sejak selepas kejadian di TMI, iaitu 2,310 kes di 67 stesen berlesen pada 1979 (purata 34 kes bagi setiap stesen) menjadi lebih 5,000 kes di 82 stesen pada 1983 (purata 61 kes bagi setiap stesen). 

Bagaimanapun, stesen janakuasa nuklear dikatakan lebih selamat sekarang daripada keadaannya 10 tahun lalu. Kadar kemalangan yang dilaporkan semakin menurun, ekoran kemajuan teknoloji bidang berkenaan. Tahun lalu, hanya 2,296 kemalangan, kebanyakkannya kes-kes kecil, dilaporkan di 108 stesen berlesen. Ini menjadi purata 21 lapiran untuk setiap stesen, berbanding 34 kes pada 10 tahun lalu. 

Salah seorang pemenang Hadian Nobel berkata, negara di dunia ini mungkin terpaksa beralih daripada penggunaan bahan api fosil pada beberapa dekad akan datang. Carlo Rubia dari Itali, yang berkongsi Hadiah Nobel dalam bidang Fizik pada tahun 1984 menggesa supaya dibangunkan segera pusat perlakuran (fusion) nuklear. Beliau yang kini mengetuai Pusat Penyelidikan Nuklear Eropah dan berpangkalan di Geneva, menegaskan bahawa pilihan nyata dan tunggal kini ialah kuasa nuklear. 

Dewasa ini, tenaga nuklear menjadi pilihan akhir sebagai sumber selepas kuasa hidro, gas, minyak dan arang batu. Tetapi dari segi ekonomi penghasilan elektrik dengan tenaga nuklear lebih murah berbanding kos penjanaan dengan menggunakan arang batu. 

Dalam pada itu, sebahagian besar negara di dunia mula menilai semula kuasa nuklear berikutan suhu bumi yang semakin meningkat. Ini antara lain disebabkan oleh pembakaran bahan api fosil, terutama di stesen jalanelektrik. Bukan sahaja proses pembakaran itu meningkatkan suhu dunia ini, malah ia turut mengeluarkan karbon dioksida dan gas lain yang mencemarkan udara. 

Kejadian tumpahan minyak dari kapal tangki Exxon Valdez di barat baru- baru menwujudkan kerosakan keapda ekosistem alam sekitar di bandar Valdez. Persekitaran yang rosak itu dijangka mengambil masa berpuluh tahun untuk pulih semula. Begitu juga dengan kerosakan akibat nahas nuklear yang akan pulih seperti sediakala selepas beberapa dekad. Ringkasnya, nuklear tidak seburuk seperti yang telah sengaja diperbesarkan.  

Penyelidikan mengenai perlakuran nuklear cara baru masih lagi dalam peringkat pembangunan. Walaupun masih ada keraguan ke atas dakwaan beberapa pihak bahawa kuasa boleh dihasilkan melalui perlakuran sejuk (cold fusion), tetapi adalah diharapkan semua itu akan menjadi kenyataan satu hari nanti kelak. Ini kerana proses dan teknologi perlakuran sejuk lebih mudah disediakan daripada kaedah yang ada sekarang dan ia tidak menghasilkan sisa radioaktif. 

Banyak pihak akan mendapat menafaat daripada kuasa nuklear jika ia digunakan dengan sebaiknya. Begitu juga sebaliknya, ramai yang akan menjadi korban jika nuklear disalahgunakan oleh negara yang saling mencurigai antara satu dan lain. Adalah diharapkan supaya kesilapan di Hiroshima dan Nagasaki tidak akan berulang lagi.


Poisoning Emergency/ Information

Article from FB

Our Location