Saya Dipaksa Belajar Bahasa Jepun

Sumber: Bacaria, 1 Januari 1999
  
Oleh:Sharifah Salwa

Tragedi pengeboman yang dilakukan oleh Inggeris ke atas Hiroshima dan Nagasaki, di Jepun, sekitar tahun 1945 benar-benar meninggalkan kesan yang mendalam terhadap rakyat negara tersebut. Malahan tidak keterlaluan jika dikatakan, seluruh dunia menangisi nasib yang menimpa negara Jepun itu. Seluruh bandar Hiroshima dan Nagasaki musnah, bagaikan padang jarak padang tekukur. Sana-sini mayat bergelimpangan dan keseluruhan bangunan di tempat tersebut musnah sama sekali. Hanya yang mengalami peristiwa tersebut, tahu betapa seksa penderitaan yang ditanggung. Itulah yang dapat digambarkan oleh Haji Abdul Razak Abdul Hamid, dari Taman Kamariah Gombak, Kuala Lumpur, satu-satunya pelajar Malaysia yang terselamat ketika pengeboman dilakukan. Wartawan Bacaria menemui beliau untuk mengetahui kejadian sebenar dan bagaimana beliau terselamat dari petaka tersebut. Kini beliau sudah berusia 73 tahun dan bermakna sudah 53 tahun kejadian tragis itu berlaku. - Pengarang

Inilah buktinya...
Lelaki ini masih tegap, masih mampu bercerita mengenai kisah-kisah silam yang pernah beliau lalui, setiap kata-kata yang terluah dari bibirnya tetap bersemangat dan setiap fakta yang diberikan disertai dengan bukti kukuh. Haji Abdul Razak baru saja bersara dari jawatan Pensyarah Institut Teknologi Mara, Shah Alam yang disandang pada tahun 1978 dan menjadi Ketua Program dan Pensyarah Program Dasar Pandang Ke Timur Kursus Intensif Bahasa Jepun JPA/ITM.

Apabila bercerita mengenai pengalaman silamnya ketika belajar di negara matahari terbit itu, Haji Abdul Razak ataupun lebih mesra dengan panggilan Cikgu Razak tidak lepas-lepas menyatakan rasa syukurnya kerana terselamat daripada menjadi mangsa pengeboman Hiroshima dan Nagasaki pada tahun 1945. Katanya seramai empat pelajar yang belajar ke sana, hanya dirinya sahaja yang terselamat dan dia mengibaratkan dirinya mati hidup kembali.

"Jika di ingatkan kembali, saya rasa bagaikan mimpi. Dalam suasana aman dan tenang, tiba-tiba bencana melanda. Dahsyat dan saya sendiri tidak tahu bagaimana nak gambarkan keadaan waktu itu. Tapi jika anda sendiri berada di tempat itu dulu, tentu anda faham bagaimana kejamnya manusia-manusia tersebut.

"Namun saya amat bersyukur kerana Allah masih memanjangkan usia saya sehingga boleh pulang dan hidup berumahtangga hingga kini.

Mungkin ajal saya belum sampai seperti tiga rakan saya yang lain," katanya masih lagi tidak dapat melupakan kejadian dulu dan Cikgu Razak tidak pernah melupakan nasib yang menimpa ketiga-tiga sahabatnya yang telah tiada. Sehingga kini, jika berpeluang dia akan ke Jepun untuk melawat pusara rakan-rakan itu.

"Seperti 50 tahun memperingati kematian dan pengeboman Hiroshima, saya telah dijemput oleh kerajaan Jepun untuk sama-sama meraikan tragedi itu. Dan saya mengambil kesempatan tersebut untuk melawat pusara rakan-rakan," katanya.

Menyingkap sejarah hidupnya, Cikgu Razak menjelaskan beliau berasal dari Pulau Pinang, tetapi dibesarkan di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Selepas kematian ayahnya, beliau dan ibunya mengambil keputusan berhijrah ke Kuala Lumpur mengikut abangnya, Hashim, seorang peniaga kecil-kecilan. Dan beliau menyambung pelajaran di sekolah Melayu dalam tahun 1932 sehingga tahun 1940.

"Ketika itu usia saya baru 11 tahun. Selepas tamat saja sekolah Melayu dalam tahun 1940, saya mula mengajar di Sekolah Rendah Ulu Kelang selama dua tahun. Ketika itu usia saya baru saja 15 tahun.

"Baru dua tahun saya mengajar, pendudukan Jepun ke Tanah Melayu bermula. Kami guru-guru dan juga kakitangan kerajaan waktu itu dipaksa belajar Bahasa Jepun kerana beranggapan hanya kami yang dapat menyalurkan segala maklumat mengenai perjuangan Jepun kepada penduduk di Tanah Melayu.

"Mungkin disebabkan paksaan itulah, saya dengan mudah dapat menguasai bahasa tersebut. Kalau tidak, pelempang akan hinggap di muka. Mahu tidak mahu, suka atau tidak kami terpaksa belajar. Agaknya kerana terlalu takut saya belajar bersungguh-sungguh sehingga mampu menguasai bahasa itu dengan baik. Malah tanpa disangka-sangka saya boleh bertutur dan membaca dengan lancar dalam tempoh tiga bulan sahaja," ujurnya ketawa mengenang masa silam itu.

Kata beliau lagi, selepas fasih berbahasa Jepun, beliau telah bekerja di Jabatan Pelajaran Jepun selama tiga bulan. Selepas itu beliau telah dihantar ke Melaka, Marei Koa Kunrensho (Institut Pendidikan Jepun). Di sana beliau tinggal selama enam bulan sebelum menyambung enam bulan lagi. "Sebenarnya tempoh saya di sana hanyalah enam bulan saja, tapi disebabkan keputusan peperiksaan saya keputusan cemerlang, mereka menyuruh saya tinggal di sana selama enam bulan lagi.

"Mahu tidak mahu, saya terpaksa mengikut. Mungkin mereka lihat hanya saya yang dapat membantu mereka. Lagipun mereka kekurangan tenaga pengajar dan saya telah diminta menjadi pembantu kepada guru berbangsa Jepun. Guru tersebut adalah seorang tentera," jelasnya.


  >  Penafian   
  >  Dasar Privasi
  >  Piagam Pelanggan    
  >  Dasar Keselamatan
  >  Peta Laman
  >  Galeri
  >  Hakmilik   
  > 
iconadminblack icfb ictwit icrss icyoutube



s utube s fb