Selamatkan Mangsa Runtuhan

Sumber: Bacaria, 13 Januari 1999
  
Oleh:Sharifah Salwa

Sepanjang berada dalam runtuhan bangunan itu, Cikgu Razak hampir berputus asa, dia merasakan ajalnya sudah sampai. Waktu itu juga dia teringat ibu dan sanak saudara di kampung. Sudah tentulah berita kemalangan ini sudah tersebar di Malaya. Di saat-saat dia semakin berputus asa itu, rahmat Allah datang kepadanya. Dengan bantuan cahaya yang samar-samar masuk ke dalam serpihan bangunan itu, Cikgu Razak merangkak keluar. Waktu itu dia diibaratkan mati hidup kembali. Dia amat bersyukur kerana Allah masih lagi memanjangkan usianya dan tidak mati di bumi asing. Akibat pengeboman itu, seluruh bandar Hiroshima dan Nagasaki musnah serta merta. Bangunan yang dulunya tegak berdiri kini semuanya menyembah bumi. Cikgu Razak, Pengiran Yusof dan Syed Omar diarahkan pulang ke asrama untuk membantu mangsa-mangsa yang lain. Di pertengahan jalan, mereka berjumpa Nik Yusof, tapi mereka tidak menyangka itulah pertemuan terakhir buat mereka. - Pengarang

 

Dalam usaha mencari anak gadis ibu asrama itu, Cikgu Razak melihat api sedang marak dan mengganas di sebelah sana (tempat runtuhan bangunan syarikat). Api yang marak itu berpunca dari mereka yang sedang memasak untuk makan pagi ketika pengeboman itu dilakukan.

"Semuanya berlaku bagaikan tiba-tiba. Saya sendiri gugup melihat situasi begitu. Bila mendengar jeritan ibu asrama ayng menyuruh saya mencari anak gadisnya, saya jadi sedih. Di mana kami hendak cari dalam keadaan begini? Dia suruh kami mencari anaknya sedangkan dirinya sendiri belum tentu selamat.

"Kami bekerja keras untuk menelamatkan mangsa-mangsa. Waktu itu saya langsung tidak terfikir apa-apa, melainkan untuk menyelamatkan seberapa ramai mangsa.

"Dalam serba kepayahan itu, saya cuba mencari jalan mengeluarkan mangsa-mangsa dari timbunan dan suara jeritan di sana sini membuatkan hati saya semakin hiba. Jika diikutkan hati, saya ingin menyelamatkan semua orang, tapi tenaga yang kami ada tidak mampu untuk berbuat demikian. Lagipun api sedang marak di bahagian sana.

Bila-bila masa api tersebut akan merebak ke tempat kami," katanya dengan sebak.

Seperti yang diduga, ketika sibuk menyelamat mangsa tragedi, api yang marak di sebelah sana bagaikan tidak mengenal erti puas. Setelah di tempat sana rentung, kini tiba bahagian mereka pula. Api yang marak itu sedikit demi sedikit mara melalui jambatan kau dan meniti sehingga sampai di tempat mereka.

"Saya panik bila melihat api berputar-putar di depan matanya dan bila-bila masa akan sampai ke tempat kami. Tidak pernah saya melihat api yang sebegitu. Ramai mangsa-mangsa cuba menyelamatkan diri dengan menerjun ke dalam sungai. Saya dan Pengiran Yusof dan Syed Omar juga terfikir untuk berbuat demikian, tapi memikirkan masih ramai mangsa yang perlu diselamatkan, saya terpaksa akur," ujur Cikgu Razak lagi.

Dalam kekalutan itu, tiba-tiba Cikgu Razak ternampak sebuah rakit yang terikat di tepi jambatan. Mungkin itu anugerah Allah di saat mereka dalam kecemasan. Harapan yang makin pudar kembali menyala dengan penemuan rakit yang tidak semena-mena itu.

"Saya terpaksa mengangkat seorang demi seorang mangsa yang cedera ke atas rakit. Itulah pertolongan yang masih mampu kami bertiga lakukan waktu itu. Jika diikutkan memanglah kami penat dan letih, sepanjang hari kami menyelamatkan mangsa dan tiada sedikitpun ruang untuk kami berehat.

"Setelah selesai mengangkat mangsa, saya sendiri melangkah ke dalam rakit, entah macam mana, saya teringat ibu asrama yang masih berada dalam runtuhan, saya terus ke sana. Saya mencuba untuk menarik batu batan yang menimbusinya. Tapi gagal. Apa lagi daya saya untuk menyelamatkannya. Jadi saya mengambil keputusan nekad utnk menyelamatkan diri." ujurnya lagi walaupun hatinya enggan untuk berbuat demikian namun demikian keselamatan diri sendiri, dia terpaksa juga. Malah sebelum dia pergi, sempat dia mengambil berberapa dokuman dan gambar-gambar yang terselamat ketika pengeboman.

"Saya fikir gambar dan dokuman tersebut boleh dijadikan kenangan. Saya tidak sangka pula, yang api terus mengejar kami dan sempat naik ke sampan dan menyambar kertas yang saya bawa.

"Apa lagi, api terus marak dan kami terpaksa terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan diri sendiri. Saya hampa, jika saya tahu, sudah tentu saya tidak akan membawa kertas dan album bersama kami. Kini satu-satu dahan tempat kami berpaut sudah tiada," katanya lagi dia dan rakan-rakan terpaksa memegang bucu rakit dan menyelam untuk beberapa minit sebelum muncul dan menghirup udara. Selepas itu mereka terpaksa menyelam kembali untuk mengelak dari bahang panas.

"Seorang daripada kami naik ke atas rakit dan membuang kertas yang terbakar itu. Alhamdulillah tidak lama selepas itu, api semakin malap dan terus terpadam. Jadi kami ramai-ramai naik kembali ke atas rakit dan menghampiri jambatan.

"Di sana kami bertiga terpaksa mengangkat kembali mangsa-mangsa dan mereka semua kami tempatkan di atas jambatan. Di tempat itu juga kami jadikan markas sementara menunggu bantuan seterusnya.


  >  Penafian   
  >  Dasar Privasi
  >  Piagam Pelanggan    
  >  Dasar Keselamatan
  >  Peta Laman
  >  Galeri
  >  Hakmilik   
  > 
iconadminblack icfb ictwit icrss icyoutube



s utube s fb