Nostalgia Pilu di Hiroshima

- Bacaria - Rabu, 3 Februari 1999, hal.22
   
 Oleh: Sharifah Salwa

Kepulangan Cikgu Razak membawa kenangan yang paling berharga dalam hidupnya. Dan hampir setiap tahun menjelang bulan Ogos, Cikgu Razak akan datang ke Hiroshima. Tetapi tawaran daripada Syarikat Penyiaran Jepun untuk membuat sebuah filem dokumentari mengenai tragedi Hiroshima benar-benar mengharukan dirinya. Malahan Cikgu Razak berpendapat, filem tersebut harus dibuat memandangkan rakyat Jepun terutama golongan muda kurang tahu mengenai peristiwa tersebut. Cikgu Razak juga dipilih memegang watak utama kerana hanya dia yang tahu apa yang telah berlaku dalam tragedi tersebut. - Pengarang

Jika diikutkan kemusnahan bandar Hiroshima, agak sukar untuk mereka membangun dengan begitu cepat. Tapi Hiroshima, seperti yang Cikgu Razak lihat amat berlainan. Pembangunan sana sini dan tidak langsung menunjukkan dia pernah dibom suatu ketika dulu.

Sampai di sana saya sendiri terkejut dan hairan. Tiada langsung gambaran seperti yang saya alami dulu. Ingin juga saya menjejak kembali tempat-tempat yang pernah kami lawati, tapi amat sukar untuk dikenali. Kiri kanan dipenuhi dengan bangunan yang mencakar langit.

"Resmi orang Jepun ni agak berlainan dari kita semua. Mereka kalau bekerja mesti bersungguh-sunguh dan tidak buat kerja sekerat jalan. Mungkin itu sebabnya mereka mampu bangun dari keruntuhan tersebut," katanya lagi.

Jelas Cikgu Razak lagi, dia dan krew juga dibawa ke asrama, tapi bukanlah ada bangunan yag didirikan cuma yang ada tanah lapang dan kesan-kesan bangunann dibom. Di situ Cikgu Razak menahan sebak. Dia masih ingat bagaimana bersusah payahnya dia, Pengiran Yusof dan arwah Syed Omar menyelamatkan mangsa. Dan kini hanya Cikgu Razak saja yang hadir kembali.

Keruntuhan

"Bangunan asrama langsung tidak kehilangan, seperti padang jarak padang tekukur. Untuk orang ramai yang datang melawat, kerajaan Jepun telah membuat papan tanda peta lakar, siap dengan penerangan dan juga lokasi universiti tersebut sebelum bom dijatuhkan,"ujur Cikgu Razak lagi, tanpa disedari hatinya menjadi sedih. Dia masih ingat peristiwa tersebut dan kini bila dia berada di tengah-tengah keruntuhan itu, imbasan itu mulai memenuhi fikirannya.

"Bukan senang untuk lupakan semua itu. Kalau orang tidak mengalami saya rasa mereka tidak akan faham penderitaan yang kami alami waktu itu. Semuanya di depan mata saya dan rakan-rakan. Apatah lagi kini hampir setiap tahun saya diundang ke sana untuk sama-sama memperingati kenangan itu,"ujurnya.

Kata Cikgu Razak, kesempatan melawat Jepun itu juga, mereka semua telah di bawa ke Kuito di mana Syed Omar disemadikan. Sebenarnya kerajaaan Jepun begitu prihatin dan setiap hari ada saja pelawat yang datang ke situ untuk bertafakul dan memperingati apa yang berlaku dalam tragedi tersebut.

"Kepada orang-orang Jepun, Syed Omar dan Nik Yusof adalah lambang perwira kerana sanggup berkorban untuk menyelamatkan bangsa mereka. Sebab itulah pusara Syed Omar dan juga Nik Yusof dijaga sedemikian rupa. Setiap yang datang ke Jepun akan dibawa melawat di kedua-dua kubur berkenaan.

"Kebanyakan yang datang adalah pelajar sekolah dan juga mahasiswa univesiti, sama ada sekadar ingin melawat ataupun ingin menyudahkan tesis mereka. Saya juga pernah menyarankan kepada Prof. Diraja Engku Aziz (isterinya Azah Aziz adalah abang kepada Syed Omar) jika datang ke Jepun bolehlah berkunjung ke pusara Syed Omar sedekahkan ALfatihah. Bukan itu saja, saya juga sering memberi cadangan kepada pelajar-pelajar saya di (ITM) yang akan melanjutkan pelajaran ke Jepun supaya berkunjung ke pusara Syed Omar dan juga Nik Yusof,"katanya lagi dia mahu rakyat Malaysia, khusus pelajar-pelajarnya mengetahui kewujudan dua pusara rakyat Malaysia yang terkoban di Hiroshima.

Banyak anugerah yang telah dicapai olehnya sejak dia kembali ke Malaya. Antaranya dia pernah mendapat penganugerahan Kerjasama Antarabangsa dari Jepun Internasional Co-Operation Agency (JICA), 1995, Penganugerahan Istimewa Antarabangsa dari Yayasan Jepun, 1995.

Terkilan

"Selain itu, pengalaman kisah tersebut juga pernah dibukukan, buku `Debu Hiroshima' (tahun 1987) dan buku `Waga Kokoro No Hiroshima' (Hiroshima Dalam Kenanganku) diterjemah dan buku `Debu Hiroshima' yang dicetak dan pasarkan di Jepun.

"Saya agak terkilan sedikit dengan penerbit buku Debu Hiroshima kerana tidak bersungguh-sungguh untuk mempromosikan buku tersebut. Jika diikutkan, bukanlah saya teringin sangat royalti tapi saya mahu generasi Malaysia hari ini mengetahui sejarah pengeboman tersebut,"katanya lagi, setiap kali dia memberi ceramah, Cikgu Razak akan menyatakan jika mahu gambaran yang tepat, mereka bolehlah mendapatkan buku tersebut di syarikat penerbitan.

"Saya sendiri tidak tahu sama ada buku Debu Hiroshima ada dijual di pasaran terbuka. Yang saya tahu di tempat atau galerinya saja. Kalau boleh, saya mahu semua generasi muda membacanya,"kata Cikgu Razak.

Ujur Cikgu Razak lagi, media elektronik juga pernah membuat rancangan `Memo' di TV3 bertajuk `Sinar Kemerdekaan' pada tahun 1991.

Selain itu Cikgu Razak mendapat penganugerahan tertinggi buat seorang guru yang telah bertungkus lumus mendidik anak bangsa sejak di zaman Jepun lagi. Anugerah Tokok Guru peringkat Negeri Selangor 1982, diikuti Tokoh Guru Peringkat Kebangsaan 1984, Tokoh Guru, peringkat Daerah Gombak 1981 dan juga Tokoh Pensyarah (baktimu dalam kenangan) Maktab Perguruan Lembah Pantai, Kuala Lumpur 1984, itu benar-benar mengundang nostalgia buat saya.

"Kini saya baru saja bersara sebagai Ketua Program Dan Pensyarah Program Dasar Pandang Ke Timur Kursus Intensif Bahasa Jepun JPA/ITM. Saya dah penat sebenarnya, lagipun isteri saya, tidak sihat dan memerlukan penjagaan yang agak rapi daripada saya. Tapi sebagai orang lama, mana mungkin saya boleh duduk diam saja. Insya Allah jika mereka memerlukan khidmat nasihat saya akan saya salurkan.

"Sejak empat tahun lalu isteri saya langsung tidak boleh berjalan. Hanya menggunakan kerusi roda saja. Pada mulanya isteri menjalani pembedahan di lutut, selepas itu langsung tidak mampu bergerak,"katanya memandang wajah isteri yang turut di sampingnya.


  >  Penafian   
  >  Dasar Privasi
  >  Piagam Pelanggan    
  >  Dasar Keselamatan
  >  Peta Laman
  >  Galeri
  >  Hakmilik   
  > 
iconadminblack icfb ictwit icrss icyoutube



s utube s fb