Bahaya racun parakuat pada kesihatan

Dr. Mohd Isa & Wan Zainal Azman
Utusan Malaysia, 25 November 1995

MINGGU ini kita akan membincangkan tentang bahaya racun rumpai parakuat. Racun ini telah ditemui akhir tahun 1950-an dan pertama kali dijual pada tahun 1962. Ia merupakan salah satu racun rumpai yang digunakan dengan meluas seluruh dunia dan dijual di lebih 100 buah negara.

Di Malaysia parakuat digunakan dengan meluas di ladang dan di kebun-kebun kecil memandangkan keberkesanannya mengawal rumpai.

Statistik kes keracunan yang melibatkan parakuat merupakan yang tertinggi di Malaysia berbanding racun makhluk perosak lain. Dari laporan didapati sebanyak 310 kes keracunan parakuat berlaku sepanjang tahun 1977 hingga 1981. Dari jumlah ini seramai 246 mangsa mati.

Jumlah kes keracunan parakuat juga didapati semakin meningkat dengan bertambahnya permintaan dan penggunaan racun tersebut. Sepanjang tahun 1989 hingga 1991 sahaja, peningkatan kepada 482 kes keracunan telah dilaporkan.

Parakuat amat berkesan untuk mengawal pertumbuhan rumpai. Ia boleh menyebabkan rumpai layu dengan cepat. Ini adalah disebabkan oleh tindakannya merencat sistem fotosintesis rumpai. Namun begitu, selepas disemburkan kepada tanah atau rumpai, parakuat akan terikat dengan cepat dan kuat kepada butir-butir tanah untuk menghasilkan bentuk tidak aktif, terutamanya pada tanah liat. Ini bermakna racun parakuat tidak lagi merbahaya kepada tanaman ataupun mamalia setelah ia terdedah pada tanah.

Parakuat ialah sebatian bipiridil kuatenar yang disediakan dalam bentuk larutan. Sediaan racun rumpai parakuat di pasaran biasanya mengandungi kepekatan parakuat dalam julat 18 - 26 peratus berat/berat dalam bentuk garam diklorida.

Sebagai langkah mengurangkan kejadian keracunan sama ada disengajakan atau tidak, terdapat sediaan dagangan yang diformulasikan dengan agen muntah bersama dengan agen bau busuk.

Kini terdapat pelbagai jenama racun jenis parakuat di pasaran Malaysia. Kebanyakannya dalam sediaan cecair, seperti Weedaway 253, Ridweed, Anuron, Double Action, Ken-Para 990, Ken-Quat, Hentam, Terquat, O-Quat 96, Buah Emas Haracol, Pro-Col, Goldquat DCL 276 X'tra, Clean Up 13%, Clean Up 19%, P-Kill, SK Hi-Kill, Par Kill, Uniquat Technical, Kalex Paraquat 19, Kenmoxone, Gramoxone dan lain-lain lagi.

Risiko

Risiko keracunan termasuk faktor yang mempengaruhi morbiditi dan mortaliti keracunan:
Pendedahan pada kulit atau hidu dan ingesi (makan/minum) kepada parakuat boleh mengakibatkan ketoksikan yang serius.
Maut dalam masa 24 jam mungkin tidak dapat dielakkan jika terdapat kerosakan tisu paru-paru, hati, jantung, ginjal dan kelenjar adrenal.

Kajian mendapati 25 hingga 75 peratus pesakit yang minum parakuat akan mati. Justeru itu, setiap kes keracunan parakuat dianggap sebagai kes serius dan rawatan perubatan harus disegerakan.

Tiada terdapat sebarang penawar (antidot) yang boleh digunakan dalam kes keracunan parakuat tetapi langkah bantuan awal yang dilakukan di tapak keracunan dapat membantu menyelamatkan mangsa keracunan.

Antara langkah yang disyorkan sebagai rawatan untuk mangsa keracunan parakuat termasuklah prosedur muntah, penggunaan arang teraktif dan bentonit atau Fuller's Earth.

Muntahn oleh mangsa kes keracunan parakuat kerana kebaikan yang akan diperolehi oleh mangsa dipercayai adalah lebih banyak berbanding risiko iritasi yang berlaku pada kerongkong. Dalam kebanyakan hal rawatan tidak dilakukan segera kerana mangsa lambat dibawa ke hospital.

Dalam kes sentuhan parakuat ke atas pakaian, pakaian harus ditanggalkan segera. Badan yang terkena parakuat hendaklah dibasuh dengan air dan dicuci dengan sabun. Parakuat boleh diserap melalui luka pada kulit dan maut telah dilaporkan berlaku melalui penyerapan kulit. Jika terkena mata, iritasi teruk akan berlaku.

Pengairan ke atas mata harus dilakukan dengan air bersih selama lebih 15 minit. Iritasi ke atas mata akan berterusan selama 24 jam selepas pendedahan dan pemulihan mata boleh mengambil masa yang lama.

Ciri-ciri Utama Keracunan:
Perincian maklumat berikut adalah mengikut sistem organ dalam badan. Manifestasi yang dialami dalam situasi keracunan mendadak parakuat secara ingesi ialah:

  • Ingesi sediaan dagangan 20 peratus b/v larutan parakuat akan mengakibatkan kesakitan, bengkak dan ulser pada bahagian mulut dan tekak.
  • Rasa loya, muntah-muntah dan kesakitan pada bahagian badan (abdomen) sering kali berlaku.
  • Kegagalan buah pinggang berlaku dalam tempoh 3-5 hari.
  • Paru-paru merupakan tapak ketoksikan keracunan yang utama. Di paru-paru, ion parakuat akan diturunkan menjadi radikal bebas untuk menghasilkan radikal superoksida dari oksigen yang disedut masuk ke dalam paru-paru.

Tindak balas radikal superoksida dengan lipid pada sel akan mengakibatkan pengoksidaan lelemak dan seterusnya kematian sel paru-paru. Ini menyebabkan paru-paru berparut secara berterusan selama 10-15 hari. Pesakit akan mati disebabkan oleh pertukaran gas yang semakin menurun di paru-paru.


 


Poisoning Emergency/ Information

Article from FB

Our Location

Last Modified: Friday 13 December 2024.