Perokok penagih nikotin

Dzulkifli Abdul Razak
Utusan Malaysia, 27 Januari 1996

Pendapat sesetengah para ulama tentang amalan merokok baru-baru ini telah menimbulkan banyak pertanyaan di kalangan pelbagai lapisan masyarakat.

Apa yang jelas ialah ramai yang masih menganggap bahawa amalan merokok itu sebagai sesuatu yang biasa dan oleh itu sebarang fatwa yang cuba menghadkan penggunaannya agak keterlaluan.

Ini tidak memeranjatkan kerana selama ini rokok boleh di dapati di mana-mana dan dijual bebas tanpa sekatan undang-undang umumnya ataupun amalan sosio-budaya.

Walaupun banyak sudah bahaya serta ancaman kesihatan akibat merokok diketahui ramai, tetapi sebilangan besar masih terus merokok.

Mengikut sesetengah perokok makanan sekalipun jika tidak di awasi boleh mendatangkan pelbagai jenis penyakit. Jadi apa bezanya rokok atau tembakau.

Sebenarnya apa yang perlu diketahui umum ialah hakikat bahawa rokok itu adalah sejenis dadah yang boleh menyebabkan penagihan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendefinisikan dengan jelas bahawa merokok merupakan satu tabiat ketagihan, iaitu: Suatu keperluan pengambilan dadah (nikotin) pada kadar yang berterusan dalam usaha untuk menikmati kesannya atau untuk menghindar dari sebarang rasa tidak selesa di atas ketiadaannya (seperti rasa cemas, menggeletar (tremor) hilang tumpuan dan kerengsaan).

Inilah yang membezakan rokok dengan bahan makanan lain. Ini jugalah yang membuat seseorang itu amat bergantung kepada tabiat merokok. Satu hal yang selama ini ditolak ke tepi saja.

Dengan kata lain, merokok itu merupakan satu perlakuan yang tidak mudah difahami. Ia agak kompleks, tidak banyak bezanya dengan perlakuan menggunakan dadah.

Ini sama juga keadaannya dengan dadah heroin yang pada satu ketika dahulu digunakan sebagai ubat batuk. Tetapi dengan terdapatnya penyelidikan baru dan maklumat saintifik yang lebih terperinci, heroin tidak lagi dikenali sebagai ubat, malah ditakrifkan sebagai dadah merbahaya lantas diharamkan.

Di negara kita menjual heroin boleh dihukum mati. Masanya sudah sampai bagi kita membuat penilaian semula memandangkan pelbagai penyelidikan baru dan juga maklumat terkini ditemui yang menunjukkan bahawa tembakau tidak mendatangkan apa-apa faedah kepada kesihatan manusia, malah boleh meracuni dan memudaratkan lagi.

Fakta-fakta jelas mengatakan bahawa rokok boleh meracuni dan memudaratkan. Fakta jelas mengatakan bahawa rokok itu boleh menyebabkan ketagihan seperti mana dadah lain yang diharamkan.

Dari kajian yang dijalankan oleh agensi kerajaan seperti Pasukan Petugas Antidadah misalnya, yang menunjukkan lebih 90 peratus penagih dadah yang sedang menjalani pemulihan terdiri daripada perokok.

Ini tidak memeranjatkan jika diambil kira fakta ketagihan rokok seperti yang dibincangkan di atas. Seseorang itu sebenarnya merokok dengan tujuan (secara tidak sedar) untuk mendapatkan bekalan dadah nikotin melalui rokok tadi, sehingga ia menjadi tabiat.

Keadaannya tidak berbeza dengan si penagih yang memasukkan dadah ganja ke dalam rokok lalu dihisapnya untuk tujuan yang sama (walaupun disengajakan).

Jika perbuatan menghisap apa jua dadah melalui rokok haram hukumnya, sukar hendak dihujahkan sebaliknya bagi dadah nikotin yang sememangnya sebahagian daripada rokok kerana sudah jelas nikotin merupakan sejenis dadah yang boleh mendatangkan ketagihan.

Dalam daun tembakau umumnya terdapat, 1-3 peratus dadah nikotin. Langsungan dari hujah ini ialah jika penanaman pokok ganja itu haram, mengapa pula tembakau dibenarkan?

Oleh itu penilaian semula tentang kedudukan rokok dan tembakau tidak dapat tidak mesti dilakukan.

Langkah untuk menilai semula ini mungkin memeranjatkan atau keterlaluan bagi sesetengah pihak kerana selama ini kita telah dibiasakan untuk mempercayai bahawa 'dadah' itu tidak merangkumi tembakau, baik dalam apa bentuk sekalipun, termasuk rokok.

Kenyataan seperti ini tidak dapat diterima. Walaupun tembakau dalam bentuk rokok bebas digunakan baik di sisi undang-undang sekalipun, namun kita tidak dapat lari daripada fakta bahawa ia mengandungi dadah.

Dalam banyak segi, amalan merokok atau penggunaan tembakau menepati beberapa ciri pergantungan dadah. Ciri-ciri yang utama meliputi

a. Penggunaan kompulsif, semacam 'paksaan'b. Kesan-kesan psikoaktif, yakni keatas otak, danc. Tabiat yang diperkukuhkan oleh dadah tersebut.

Disamping itu, terdapat juga ciri-ciri seperti kesan toleran, pergantungan fizikal dan kesan khayal (euforia).

Satu kajian perbandingan menunjukkan bahawa banyak daripada ciri-ciri ini juga dapat diperhatikan pada penagih dadah lain seperti heroin, alkohol(arak) dan kokain.

Misalnya penggunaan rokok meningkat tahun demi tahun - satu pola yang diperhatikan bagi heroin. Dengan kata lain, dadah nikotin turut mempengaruhi perilaku seseorang itu sehinggalah ia dapat dianggap sebagai merosakkan individu serta masyarakat, baik dari segi kesihatan, ekonomi dan sebagainya.

Kesan-kesan gian seperti ini umumnya akan mengambil masa 2 hingga 4 minggu untuk reda, melainkan rasa kemaruk tembakau (kesan pergantungan mental).

Biasanya seseorang itu akan kembali merokok dalam minggu pertama setelah berhenti merokok, walaupun ada yang mengulangi tabiat ini selepas setahun.

Dalam hal ini berpuasa merupakan satu latihan yang amat baik. Di sinilah sebenarnya terletak peranan niat. Semasa bulan Ramadan masing-masing sudah berniat untuk tidak melakukan perkara yang boleh membatalkan puasa, termasuk merokok.

Maksudnya rasa gian atau pergantungan mental tadi dapat diatasi sekiranya kita bersedia melawannya secara sedar dan berusaha terhadapnya.


 


Poisoning Emergency/ Information

Article from FB

Our Location

Last Modified: Friday 13 December 2024.