Kesan bahan kimia dalam mercun

Dr. Mohamed Izham  Mohamed Ibrahim
Utusan Malaysia, 24 Februari 1996

Bahan letupan sering digunakan dalam peperangan. Seni pembuatan bahan letupan dan mercun yang dikenali sebagai piroteknik dipelopori oleh China semenjak abad ke-13.

Kemudiannnya, ia tersebar ke negara-negara lain seperti Amerika Syarikat, Eropah, Rusia dan Jepun. Permainan mercun menjadi tradisi bagi sesetengah negara. Amerika Syarikat, contohnya, meraikan Hari Kemerdekaan dengan permainan mercun secara besar-besaran. Jerman pula hanya membenarkan permainan mercun mercun semasa sambutan tahun baru.

Budaya ini kemudian menular ke Malaysia terutama di kalangan masyarakat Melayu dan Cina yang dimainkan antaranya semasa Tahun Baru Cina, malam tujuh likur, Hari Raya dan acara perkahwinan.

Perlu diingat, dalam bersuka ria, mercun juga sering membawa bencana akibat kecuaian. Kes-kes tersebut selalu terjadi kepada kanak-kanak serta remaja.

Kejadian paling buruk di negara ini ialah letupan di kilang mercun di Sungai Buloh, Selangor yang mengorbankan banyak nyawa.

Pengendalian bahan letupan mempunyai risiko yang tinggi. Ramai tidak memahami cara pembuatan mercun serta bahan-bahan kimia yang terkandung di dalamnya. Membuat mercun sendiri pastinya lebih berbahaya. Percampuran bahan-bahan kimia dengan alat-alat yang direka sendiri (seperti batang paip) boleh mengakibatkan letupan.

Orang ramai, khasnya ibubapa harus prihatin dalam masalah ini kerana bahan kimia yang digunakan dalam pembuatan mercun boleh mengakibatkan keracunan jika termakan atau terhidu.

Kalium nitrat, strontium nitrat, kuprum oksida, karbon perklorat, barium klorat, potasium perklorat, sulfur, serbuk aluminium dan arsenik adalah antara bahan kimia dalam mercun yang boleh menjejaskan kesihatan.

Tujuan penggunaan pelbagai bahan ini adalah untuk memberi fungsi yang berlainan seperti membekalkan oksigen dan karbon, kesan bunyi dan warna. Tindakan kimia dalam mercun akan menghasilkan banyak asap hasil daripada bahan kimia beracun dan boleh membahayakan kesihatan.

Bahan campuran klorat dan perklorat berbahaya kerana mudah terbakar. Klorat adalah ejen pengoksidan yang kuat dan boleh menjadi toksik jika terhidu atau termakan. Pendedahan kepadanya boleh menyebabkan hemolisis iaitu pemusnahan sel darah merah dengan pembentukan metemoglobin. Ia juga membahayakan buah pinggang. Terdedah kepadanya boleh menyebabkan muntah dan kesakitan pada perut.

Sebatian barium menyebabkan keracunan dengan menunjukkan tanda-tanda seperti muntah, sakit pada bahagian perut, cirit-birit berdarah, kesesakan nafas, sawan, koma atau mati akibat kegagalan jantung atau pernafasan.

Jika tersedut, ia boleh menyebabkan penyakit paru-paru, lumpuh otot-otot, darah tinggi dan kekurangan zat kalium dalam tubuh.

Sebatian nitrat pula menyebabkan hakisan pada tisu-tisu kulit serta pelbagai penyakit-paru-paru. Bahan nitrat mudah memasuki tubuh melalui kulit terutamanya jika kulit mengalami kecederaan akibat terbakar.

Pendedahan kronik (lama) melebihi 5mg/kg/hari perlu dielakkan. Kajian menunjukkan mereka yang mengalami luka akibat kebakaran boleh menghadapi masalah gangguan darah yang teruk selepas terdedah kepada semburan kimia yang mengandungi nitrat.

Keracunan nitrat berkaitan dengan pengsan, pening, keletihan, sesak nafas, mual, muntah, tekanan darah rendah dan sakit kepala.

Sulfur boleh memasuki tubuh melalui pernafasan. Keracunan sulfur boleh menyebabkan rengsa kulit, mata, paru-paru dan saluran perut. Kesan-kesan lain ialah sesak nafas, batuk, rasa terbakar dan sakit dada. Bahaya bahan kimia yang lain dalam mercun ditunjukkan dalam Jadual 1.

Jadual 1. Lain-lain Bahan Kimia dalam Mercun dan Bahayanya kepada Kesihatan
Bahan KimiaPendedahanTanda-tanda dan Simptom
Campuran karbon hidu dan penyerapan melalui kulit rengsa kulit, kerosakan hati dan buah pinggang, sistem jantung dan darah
Kuprum oksida hidu rengsa saluran pernafasan, demam `asap logam', selesema, rengsa kulit
Asid pikrik hidu dan penyerapan melalui kulit gatal kulit, kerosakan hati dan buah pinggang
Strontium termakan muntah, sakit perut, najis berdarah, gangguan darah

Orang ramai harus sedar kos mengubati mereka yang cedera dan keracunan akibat mercun boleh menelan belanja hingga beribu ringgit.

Biasanya mangsa akan mengalami kecederaan yang teruk seperti buta, kehilangan jari, kebakaran pada tubuh dan mungkin mengalami gangguan jangka panjang akibat pendedahan kepada bahan kimia beracun tanpa disedari.

Bencana mercun tidak boleh dipandang ringan dan jauhilah mercun.


 


Poisoning Emergency/ Information

Article from FB

Our Location

Last Modified: Friday 13 December 2024.