Kesan plumbum pada manusia

Razak Hj. Lajis
Utusan Malaysia, 9 Mac 1996

Masyarakat mungkin kurang faham apa itu plumbum dan mengapakah mesti ada satu kajian di buat ke atasnya. Ramai pula tidak pasti apakah bahaya yang mungkin dihadapi jika seseorang itu terdedah kepada plumbum pada kepekatan yang tinggi dan berterusan.

Plumbum adalah satu keluaran hasil bahan semula jadi yang banyak terdapat di dalam kerak bumi. Ia boleh didapati di dalam air, tanah dan tumbuh-tumbuhan.

Sumber plumbum yang paling mudah ditemui ialah yang tersebar di dalam tanah dan air. Disebabkan sifatnya dan kegunaannya yang pelbagai, sama ada untuk keperluan industri atau kegunaan seharian. Kebanyakan kegunaannya tidaklah ditakrifkan sebagai berbahaya sekiranya ia digunakan dengan betul dan tidak disalahgunakan.

Ini boleh berlaku semasa pembakaran bekas-bekas bateri atau bekas cat-cat lama yang mengandungi plumbum. Plumbum dalam persekitaran boleh meningkat dengan banyaknya akibat daripada hasil pembakaran minyak petrol berplumbum.

Selaras dengan itu, kempen "gunakan minyak tanpa plumbum" merupakan satu langkah bijak mengurangkan kandungan plumbum di persekitaran.

Satu kajian yang telah dijalankan di Amerika menunjukkan bahawa kandungan plumbum di udara dapat dikurangkan lebih berkesan dengan penggunaan minyak tanpa plumbum.

Dari segi biologi, plumbum sebenarnya tidak mempunyai apa-apa nilai dalam tubuh walaupun di dalam kepekatan yang paling kecil. Ia memindahkan atau mengganti logam-logam lain daripada tapak ikatan di sel-sel yang berkenaan dan menyebabkan berbagai kesan biokimia. Oleh itu kepekatan yang paling sesuai bagi kandungan plumbum dalam darah ialah sifar.

Kepekatan
Setakat ini, kepekatan sehingga 30 pikogram/100ml darah adalah dianggap selamat dan boleh diterima. Bagaimanapun beberapa gangguan di dalam fungsi biokimia telah dilaporkan berlaku pada kepekatan yang lebih rendah.

Di dalam salah satu kajian yang pernah dilaporkan, kepekatan di antara 10 hingga 15 pikogram/100ml dan selebihnya boleh mengganggu dan melemahkan perkembangan psikomotor bagi kanak-kanak.

Masyarakat mungkin ingin mengetahui mengapakah kanak-kanak lebih terdedah kepada bahaya dan keracunan plumbum. Salah satu sebabnya ialah plumbum mudah diserap oleh tubuh yang sedang berkembang. Pengumpulannya di dalam badan yang sedang membesar akan mengganggu pertumbuhan semula jadi sel-sel di dalam tubuh.

Seorang wanita hamil yang telah terdedah kepada plumbum akan mempunyai simpanan kandungan plumbum yang tinggi di dalam tulangnya. Perubahan metabolik yang berlaku di dalam tubuh semasa mengandung boleh menyebabkan simpanan plumbum tadi dibebaskan ke dalam darah dan juga janin. Ini akan menyebabkan janin terdedah kepada kandungan plumbum yang tinggi. Pada tahap perkembangan janin yang kritikal ini, sistem yang mungkin teruk terjejas ialah sistem saraf.

Kanak-kanak yang memang dikenali dengan tabiat semula jadi mereka yang aktif dan sifat ingin tahu amat mudah terdedah kepada kandungan plumbum tinggi. Terutama kerana kanak-kanak gemar memasukkan apa juga barangan ke dalam mulut mereka.

Kanak-kanak juga berupaya menyerap peratus plumbum yang lebih tinggi iaitu 50 peratus berbanding orang dewasa. Oleh itu seseorang kanak-kanak yang terdedah kepada plumbum pada sukatan yang sama saperti orang dewasa akan mengalami kesan yang lebih teruk berbanding orang dewasa. Kadar penyerapan ini meningkat sekiranya seseorang kanak-kanak itu mengalami kekurangan zat makanan.

Secara umum kita terdedah kepada plumbum yang lazimnya boleh didapati dari sumber-sumber alam semula jadi di sekeliling kita.

Kandungan
Plumbum banyak tersebar di dalam udara, air dan tanah-tanih. Kandungan plumbum di dalam tanah dan udara di bandar-bandar dan kawasan perusahaan selalunya lebih tinggi daripada kawasan luar bandar.

Pendedahan yang berterusan terhadap plumbum walaupun di dalam jumlah yang kecil boleh mengakibatkan kerosakan yang dapat kita lihat ketika mereka belajar. Pendedahan kepada kepekatan yang tinggi akan menyebabkan keadaan lebih teruk lagi.

Di mana plumbum ditemui?

Secara ringkas sumber plumbum yang terdapat di persekitaran boleh diperolehi daripada:

  • Tanah yang tercemar dan serpihan-serpihan cat
  • Debu yang mengandungi plumbum di dalam air, udara dan makanan.
  • Air yang dimasak atau disimpan di dalam bekas yang mengandungi plumbum.
  • Menyimpan makanan, buah-buahan terutama yang berasid di dalam bekas berplumbum.
  • Asap dari kenderaan yang menggunakan petrol berplumbum.
  • Sesetengah barangan kosmetik.
  • Ubat yang tercemar kebanyakannya terdiri daripada keluaran bahan-bahan radisional.
  • Relau pemprosesan logam dan kemudahan kitar-semula plumbum.
  • Pembakaran surat khabar, bekas bateri dan kayu serta perabot kayu yang dicat dengan cat yang mengandungi plumbum.
  • Pensil warna dan warna air apabila dimakan.

Kira-kira 5 miligram plumbum boleh didapati bagi setiap satu kilogram kertas surat khabar yang dibakar. Plumbum ini datangnya daripada dakwat hitam yang digunakan. Maka dengan sebab itulah penggunaan kertas surat khabar sebagai bahan pembungkus tidak lagi digalakkan.

Debu pembakaran kertas yang menggunakan dakwat berwarna mencatatkan jumlah plumbum yang lebih tinggi iaitu sebanyak lebih kurang 58mg/kg.

Senarai ini mungkin merupakan sebahagian daripada barangan yang mengandungi plumbum yang terdapat di sekeliling kita.

Di dalam ruangan yang akan datang kita akan membincangkan lebih banyak lagi kesan toksik plumbum ini terhadap kanak-kanak serta hubungannya dengan kepintaran dan kecerdasan mental mereka.


 


Poisoning Emergency/ Information

Article from FB

Our Location

Last Modified: Friday 13 December 2024.