Ancaman dadah rekaan

Prof. Dzulkifli Abdul Razak
Utusan Malaysia, 29 Jun 1996

BARU-BARU ini timbul lagi satu ancaman dadah di kalangan remaja kita. Berbeza dengan dadah-dadah lain, kumpulan terbaru ini sengaja dicipta untuk menghasilkan kesan-kesan tertentu.

Umumnya kumpulan ini dipanggil designer drug.

Terdapat dua kelas utama dadah designer ini yang telah dicipta dan digunakan secara meluas.

Iaitu ia terdiri daripada kumpulan feniletilamina dan kumpulan opiod sintetik.

Perkembangan ini merupakan satu gejala baru yang perlu dipandang serius dan dibendung. Sebenarnya banyak perkara lain yang belum diketahui tentang kesemua kesan dadah-dadah ini.

Malah ketulenan dan keseragaman kekuatan dadah yang dihasilkan biasanya tidak menentu.

Penghasilan secara haram oleh ahli kimia yang tidak bertauliah, makmal yang tidak lengkap serta kawalan mutu yang rendah sering menjadikan dadah tersebut lebih berbahaya.

Kesan Penggunaan Fenitilamina

Dadah kumpulan feniletilamina dapat memberikan kesan euforia, peningkatan mood, empati dan perubahan visual.

Keadaan sebenar yang akan dialami oleh seseorang penagih bergantung kepada dos yang digunakan. Pada dos yang rendah, otak akan kurang dirangsang dan penagih akan mengalami peningkatan keamatan warna dan tekstur serta merasakan seolah-olah berada dalam alam fantasi.

Pada dos yang besar atau lebih tinggi, ia menghampiri paras toksik, penagih akan mengalami halusinasi (rasa khayal).

Apabila digunakan pertama kali atau jika dicemari dengan hasil sampingan toksik, pengguna biasanya akan mengalami keadaan depresi (sugul), rasa bersalah dan pemikiran yang tidak menentu.

Kesan fisiologi yang dapat dikesan ialah peningkatan sel darah putih, peningkatan paras gula dalam darah, kemusnahan otot-otot dan peningkatan suhu badan.

Kesan jangka panjang feniletilamina pula biasanya diperhatikan pada penagih yang mempunyai kecenderungan mendapat penyakit psikosis (keadaan tidak siuman) dan mungkin memerlukan rawatan jangka panjang.

Pesakit akan kelihatan mengalami gangguan pemikiran, halusinasi visual dan auditori serta ilusi yang menakutkan.

Kajian pada haiwan menunjukkan kerosakan sel saraf akibat penggunaan jangka panjang.

Terbitan feniletilamina dikenali dengan berbagai nama gelaran seperti yang berikut :-

ICE

ICE atau nama sebenarnya metamfetamina adalah antara dadah designer terbitan feniletilamina yang pertama dicipta.

Terdapat beberapa nama lain yang digunakan untuk metamfetamina oleh penagih dadah.

Antaranya termasuklah Speed, Crack dan Meth.

Metamfetamina hanya perlu dihisap untuk mendapatkan kesannya.

Kaedah ini amat digemari oleh penagih dadah terutamanya setelah menyedari bahawa penggunaan jarum meningkatkan risiko jangkitan AIDS.

Ia mempunyai kesan tindakan yang cepat dan kurang ransangan jantung berbanding Amfetamina.

Apabila dihisap, kesannya terus dirasakan dalam masa yang agak panjang iaitu di antara lapan hingga dua puluh empat jam.

Penagih dadah ICE biasanya mengalami PARANOIA (rasa ketakutan), rasa terdesak dan sanggup mengambil risiko besar melakukan sesuatu yang membahayakan.

Seringkali hasil penbikinannya tercemar dengan kehadiran plumbum dan pembentukan hasil sampingan yang toksik.

Love Drug

Love Drug iaitu MDA (3,4-metilindioksiamfetamina) mula diperkenalkan pada tahun 1967, ia boleh membuat seseorang mengalami euforia serta empati tanpa memberikan kesan halusinasi yang tidak diingini.

Penggunaannya yang meluas telah menyebabkan beberapa kematian yang berkaitan dengan hasil sampingan toksik iaitu HMDA (3,4-metilindioksifenil-3-aminobutane) yang terbentuk dalam proses pembikinan tersebut.

Ecstasy

Dadah jenis ini adalah dari kumpulan feniletilamina yang paling kontroversial sekali. Ia terdiri daripada gabungan MDMA dan MDEA.

KeupayaanMDMA (3,4- metilindioksimefamfetamina) sebenarnya bukanlah dadah designer dan pernah digunakan untuk merawat gangguan psikiatrik pesakit untuk mengenali diri sendiri dengan lebih baik serta meningkatkan keupayaan berkomunikasi.

Di kalangan penagih dadah, ia dikenali dengan nama ecstasy, xtc, dan adam.

Ia bertindak pada saraf-saraf tertentu di dalam otak untuk memberikan kesan yang menyerupai lsd tanpa ciri-ciri halusinogen.

MDEA (3,4- metilindiosietamfetamina) pula adalah terbitan baru feniletilamina yang mempunyai kesan berbeza berbanding dadah jenis halusinogen dan perangsang.

Pada dos yang rendah MDMA dan MDEA berupaya memberikan kesan euforia.

Keinginan untuk memulakan hubungan seks menurun dan pengguna akan mengalami sedikit halusinasi visual.

Selain kesan ini, pengguna juga kehilangan selera makan, tekanan darah yang tinggi, denyutan jantung cepat berpeluh seluruh anggota dan pergerakan yang tidak menentu.

Kesan sampingan MDMA yang dialami oleh penagih terdiri daripada tekanan darah tinggi, denyutan jantung pada kadar yang cepat dan tidak menentu, serangan panik, resah, tidur yang terganggu, gian, rasa ketakutan dan serangan depresi.

Dua masalah yang ketara berikutan penggunaan Ecstasy adalah suhu badan menjadi terlalu tinggi (hipertermia) dan badan kekurangan air serta bahan galian (dehidrasi) oleh badan, banyak berpeluh sehingga menjadi kering.

Apabila ini berlaku suhu badan akan meningkat - ditambah pula dengan pening kepala, keletihan, pengsan gelugat dan muntah-muntah.

Sekiranya suhu badan meningkat 40 degree C, darah mula membuka di saluran darah dan boleh menyebabkan pendarahan yang tidak terkawal di bahagian lain.

Akhirnya boleh menyebabkan maut.

Akibat daripada ini ramai yang cuba meminum air dengan banyaknya, ada hingga 20 liter dalam beberapa jam saja.

Cair

Tetapi ini boleh turut membahayakan kerana bahan-bahan galian yang telah hilang tidak turut digantikan malah boleh menyebabkan darah menjadi cair dan sel-sel (termasuk sel-sel di otak) menjadi kembang dan kemudiannya rosak. Maut akan menyusul.

Pada jangka panjangnya Ecstasy boleh menjahanamkan fungsi otak dengan membunuh sel-sel di dalamnya serta mengganggu perjalanan bahan kimia semulajadi otak.

Selepas menggunakan Ecstasy seseorang itu akan merasa sugul serta merasai semula pengalaman pahit yang silam. Di samping itu ia memberikan beberapa kesan lain seperti tidak siuman dan seakan-akan gila.


Poisoning Emergency/ Information

Article from FB

Our Location

Last Modified: Friday 13 December 2024.