Rokok ancam janin

Dr. Mohamed Izham Mohamed Ibrahim
Utusan Malaysia, 7 Jun 1997

MASALAH merokok di kalangan wanita di negara ini adalah tidak ketara jika dibandingkan dengan peratusan wanita yang merokok di negara-negara maju.

Bagaimanapun tahap permasalahan ini di Malaysia perlu dikenal pasti terutamanya di kalangan wanita yang hamil kerana ia boleh membahayakan bukan sahaja kepada ibu malah boleh memburukkan keadaan janin dalam kandungannya.

Fakta-fakta jelas mengatakan bahawa rokok boleh meracuni dan memudaratkan janin atau bayi yang akan dilahirkan. Tahap kesihatan persekitaran dalam rahim (intrautein) adalahamat penting kepada kesejahteraan bayi dalam kandungan.

Kepentingan gaya hidup ibu-ibu yang hamil (seperti merokok) tidak boleh dipandang remeh. Wanita hamil yang merokok lebih banyak melahirkan bayi yang mati bila dibandingkan dengan wanita hamil yang bukan perokok.

Seandainya bayi itu lahir normal, maka bayi wanita perokok lebih sering meninggal pada bulan-bulan pertama kehidupannya.

Dalam daun tembakau umumnya terdapat 1-3 peratus dadah nikotin. Nikotin sememangnya bahan racun dan digunakan sebagai agen pembasmi makhluk perosak.

Bayangkanlah apa yang mampu dilakukan oleh nikotin terhadap janin. Asap dari setiap batang rokok mengandungi tar asap yang apabila termeluap mengandungi pelbagai bahan kimia, termasuk sesetengah yang menyebabkan barah, nikotin akan menyebabkan ketagihan, dan karbon monoksida sejenis gas yang mampu membunuh dengan mengurangkan keupayaan darah membawa oksigen.

Tambahan lagi, nikotin juga boleh berpindah kepada bayi secara langsung melalui susu badan. Di antara akibat kesan toksik merokok terhadap janin yang telah dibuktikan oleh kajian-kajian ditunjukkan di dalam jadual di bawah.

Jadual 1 : Kesan bahaya rokok terhadap janin

  • Perencatan pertumbuhan janin disebabkan oleh penurunan aliran darah ke dalam plasenta.
  • Peningkatan kadar kamatian janin (perinatal).
  • Kecacatan kepada bayi seperti kecacatan kepada bibir dan palate (`cleft lip dan palate')
  • Peningkatan risiko untuk mengalami sawan.
  • Kelahiran sebelum tempoh matang (atau tidak cukup bulan)
  • Keguguran
  • Penurunan berat badan bayi sebanyak 150-200 gm
  • Perkembangan sistem saraf yang tidak normal (contoh: strabismus)
  • Berisiko tinggi untuk mendapat lelah/asma
  • Sindrom kematian bayi mengejut

Semua kesan di atas lebih besar kemungkinan berlaku ke atas wanita atau ibu yang merokok berbanding dengan yang tidak merokok.

Alangkah tidak adilnya jika wanita yang merokok yang memilih untuk menderita juga `mendera' kandungannya. Jika bayi ini terus hidup, tempoh penderitaan bayi tersebut mungkin berpanjangan.

Rancangan kaedah pencegahan harus ditumpukan kepada kanak-kanak dan remaja. Proses ini memerlukan kombinasi penyelidikan yang terperinci mengenai masalah merokok di kalangan ibu-ibu yang mengandung dan kesannya kepada janin serta bayi yang dilahirkan, dan pendidikan yang berkesan kepada masyarakat tentang bahaya merokok.

Program penerangan mengenai bahaya merokok perlu dijalankan di awal lawatan prenatal. Setiap wanita yang hamil harus berhenti merokok terutamanya semasa hamil dan dalam tempoh tahun pertama selepas bayi dilahirkan.

Bahaya rokok bukan sahaja memudaratkan si ibu malah turut membahayakan anaknya. Setiap individu dan agensi seperti Kementerian Kesihatan, organisasi bukan kerajaan, dan penduduk tempatan mesti bertanggungjawab serta menggembeling tenaga serta kepakaran untuk mengenal pasti punca masalah dan mengambil tindakan yang sewajarnya untuk menangani masalah ini. Jika anda mengandung dan masih merokok, berhentilah sekarang!


Poisoning Emergency/ Information

Article from FB

Our Location

Last Modified: Friday 13 December 2024.