Musuh utama negara

Prof. Dzulkifli Abdul Razak
Utusan Malaysia, 18 Februari 1998

Dadah adalah satu-satunya masalah kesihatan dan sosial paling rumit yang sedang dihadapi oleh negara. Masalah ini mula diperkatakan sejak tahun 70-an, tetapi sehingga kini masih tidak menampakkan perubahan positif hinggakan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad terpaksa membuat teguran.

Mengikut penilaian United Nations International Drug Control Programme, dalam tahun 1993 sebanyak 24,023 orang penagih dadah telah dikenal pasti di Malaysia. Daripada bilangan ini, 59.3 peratus adalah penagih yang menagih semula, manakala sebanyak 10,216 orang telah ditangkap kerana kesalahan bersabit dengan dadah. Pada tahun lalu, tahap masalah dilaporkan melampaui tahap pada tahun 1998.

Masalah dadah sebenarnya adalah masalah sejagat. Laporan menunjukkan aktiviti penghasilan pelbagai jenis bahan dadah sentiasa meningkat. Ini disokong pula oleh permintaan yang tinggi. Berakhirnya perang dingin antara kuasa-kuasa besar dunia telah membawa kesan negatif dalam usaha membanteras dadah. Ini kerana dunia kini dianggap tidak mempunyai sempadan lagi dan semua orang bebas keluar masuk ke sesebuah negara tanpa banyak sekatan.

Tambahan pula, sistem komunikasi dan pengangkutan masa kini yang semakin canggih membantu melicinkan pergerakan penyeludupan dadah. Bagi mereka yang terlibat dengan kegiatan dadah, perkembangan seumpama ini sememangnya dinantikan kerana operasi mereka menjadi lebih lincah dan meluas.

Sebagai sebuah rantau yang dikatakan banyak menerima perubahan serta pembangunan, Asia Pasifik termasuk Malaysia turut mengalami pelbagai gejala sosial. Penggunaan dadah terutamanya di kalangan remaja amat membimbangkan dan masih belum dapat diselesaikan. Apa yang lebih membimbangkan ialah penggunaan dadah berkait rapat dengan bermacam penyakit sosial seperti pelacuran, lepak dan perjudian selain daripada berbagai-bagai ancaman kesihatan.

Menggugat

Perkara inilah yang banyak menggugat dan memudaratkan keadaan sesebuah negara sama ada dalam bidang ekonomi, sosiobudaya, politik maupun keselamtan. Dengan perkataan lain, kemajuan serta pembangunan yang kita capai dan kecapi selama ini tidak akan berkekalan sekiranya masalah dadah tidak dapat diatasi segera.

Dadah merupakan satu istilah khas kepada sejenis bahan yang mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan seseorang daripada segi jasmani (fizikal), rohani (mental dan emosi) serta tingkah-laku apabila digunakan. Akibat daripada kesan ini, seseorang yang memggunakan dadah akan bergantung hidup kepada dadah tersebut dan menyebabkan ketagihan. Seseorang penagih sanggup menggadai maruah serta memperhambakan diri kepada sesiapa atau apa sahaja walau dalam apa jua keadaan asalkan bekalan dadahnya terjamin. Akibatnya ramai yang sanggup mengemis, melakukan jenayah dan melacurkan diri. Dengan perkataan lain, dadah membawa risiko yang amat tinggi sehingga boleh mengakibatkan maut.

Walaupun dadah yang dikenali umum terdiri daripada heroin, morfin, dan ganja, pada hakikatnya ia merangkumi juga semua bahan yang boleh memberi kesan seperti yang dinyatakan di atas. Ini termasuk tembakau dan arak. Malah sesetengah ubat- ubatan jika tidak digunakan mengikut peraturan dan sukatan yang betul, boleh memberi kesan negatif yang sama seperti dadah. Contohnya, morfin dan sebatian terbitan daripadanya yang banyak digunakan sebagai ubat menahan kesakitan semasa merawat kecederaan yang serius.

Ubat dan dadah mempunyai perbezaan yang agak ketara:
Pertama - ubat memberi manfaat seperti menyembuh dan merawat penyakit, manakala dadah tidak bersifat sedemikian.

Kedua - ubat memberikan kesan yang tidak diingini atau kesan sampingan yang minimum seperti pening kepala, panas badan, dan mengantuk. Kesan ini akan reda atau hilang apabila pengambilan ubat tersebut dihentikan. Sebaliknya, dadah akan memberikan kesan berbahaya yang berkekalan sebagai satu tabiat ketagihan walaupun telah berhenti menggunakannya.

Ketiga - ubat, tidak semuanya berupaya mempengaruhi otak dan minda si pengguna, tetapi semua jenis dadah memberi kesan mendalam terhadap otak dan minda manusia. Oleh itu dadah dikenali sebagai bahan psikoaktif dan penggunaanya tertakluk kepada Akta Dadah Berbahaya 1952, pindaan 1982.

Keempat - ubat, umumnya tidak meninggalkan kesan ketagihan seperti dadah. Penggunaannya tanpa banyak sekatan undang-undang (melainkan dalam hal tertentu sahaja) sedangkan dadah diharamkan penggunaannya (walaupun tidak bagi arak dan tembakau) sehingga membawa hukuman mati.

Mental

Semua jenis dadah yang telah disebutkan pada dasarnya menunjukkan kesan ketagihan dalam bentuk pergantungan fizikal, mental dan emosi yang sama.

Kesan fizikal dapat dilihat daripada beberapa aspek. Ini termasuklah pengaruhnya terhadap sistem penting pada tubuh manusia seperti sistem pernafasan, saraf, jantung, metabolisme, dan otot-otot. Dengan perkataan lain, keadaan diri mereka tidak terurus, proses kehidupan akan terjejas dan menjadi tidak normal. Kesan ini menjadi lebih ketara apabila dadah digunakan dengan berlebihan. Kadar pernafasannya menjadi lebih pendek dan perlahan, kadar degupan jantung berkurangan, tubuh menggigil akibat penurunan kadar metabolisme badan. Mata menjadi merah dan kuyu serta berat badan terjejas. Penagih juga mungkin mengalami sawan dan gangguan fungsi otak. Ini sukar dipulihkan jika berlaku secara berterusan dan berulang-ulang.

Kesan fizikal pengambilan dadah terhadap manusia terbahagi kepada dua iaitu kesan secara suntikan dan melalui mulut.

Kesan pengambilan dadah secara suntikan:

  • Meningitis - penyakit jangkitan otak
  • Tetanus atau penyakit kancing gigi
  • Endokarditis - penyakit jangkitan jantung
  • AIDS, Hepatitis B, C dan D
  • Bisul, kudis, kurap dan pelbagai penyakit kulit lain, khususnya di tapak suntikan

Kesan pengambilan dadah melalui mulut

  • Kerosakan paru-paru dan hati
  • Kerosakan sistem penghadaman (zat makanan tidak mencukupi)
  • Kerosakan buah pinggang
  • Otot-otot badan mengecut (badan lesu dan tidak bermaya)
  • Berat badan menurun dan berkemungkinan lumpuh

Kesan mental dan emosi lazimnya dipanggil kesan psikologi, iaitu kesan akibat pengaruh dadah pada otak dan minda. Ini termasuklah rasa seronok dan khayal (eforia). Mereka seakan-akan tidak berpijak di alam nyata. Pada masa yang sama, seseorang itu hilang kawalan diri dan pemikiran. Perwatakannya mungkin bertukar. Mereka tidak segansilu melakukan perkara yang aib serta tidak mempunyai rasa tanggungjawap.

Perasaan ini akan berterusan selagi dadah masih terdapat dalam tubuh pesakit, malah semakin lama seseorang itu menggunakan dadah lebih banyak pula jumlah dadah diperlukan untuk mendapatkan euforia. Fenomena ini disebut toleran ataupun keadaan lali di mana kesan euforia daripada dadah berkurangan apabila ia digunakan berulangkali. Inilah yang membuatkan seseorang itu tidak putus-putus mencari dan meningkatkan penggunaan dadah.

Sekiranya bekalan dadah tidak diperoleh, mereka akan berasa keluh-kesah, tak dapat memberi tumpuan, dan amat menderita. Matanya akan berair, hidung berhingus, perut berasa sakit dan perit kadangkala muntah dan cirit-birit. Mereka boleh bertindak ganas dan hilang kawalan emosi. Semua ini menggambarkan apa yang dipanggil `gian'. Bahkan ia boleh melakukan sesuatu yang tidak masuk akal, yang berlawan dengan tatasusila dan peradaban masyarakat. Tubuh tidak lagi berfungsi dengan sempurna dan amat sukar untuk dipulihkan seperti sediakala. Kerana takutkan rasa `gian' penagih meneruskan tabiatnya.

Selain daripada itu, penagih juga akan mengalami masalah tidur dan susah hendak nyenyak. Mereka sering mengigau, fikiran menjadi kacau dan tidak berupaya memberi tumpuan. Emosinya turut menjadi tidak stabil - mudah marah atau menangis. Ia juga cenderung untuk membunuh diri atau mencederakan dirinya sendiri.

Kemarahan

Antara kesan sosial ialah kebanyakan penagih akan hilang minat dan tidak memperdulikan tanggungjawap terhadap pekerjaan, keluarga serta masyarakat sekeliling. Prestasi dan disiplin kerja merosot, tingkahlaku dan sikap berubah daripada apa yang biasa diamalkan atau diperhatikan sebelumnya. Mereka juga tidak menghiraukan kesihatan dan kebajikan dirinya. Perpecahan, penderaan serta keganasan terhadap ahli keluarga boleh berlaku. Ini selalunya menimbulkan kemarahan dan perasaan jijik orang ramai terhadap mereka.

Banyak daripada penagih tidak tinggal bersama keluaga. Mereka hidup di tempat- tempat lengang yang tersorok atau terpencil untuk memudahkan mereka menggunakan dadah. Dunia mereka hanya akan dapat dipuaskan dengan dadah saja. Kesudahannya mereka akan tersisih sama sekali dan semakin jauh daripada apa juga bentuk bantuan yang membolehkan mereka kembali semula ke pangkuan masyarakat. Mereka akan terus menderita selagi ajal belum tiba. Keadaan mereka diibaratkan "hidup segan mati tak mahu". Ada yang menggelarkan mereka sebagai " bangkai bernyawa". Hakikatnya sesiapa yang terjerumus dalam perangkap dadah, amat sukar untuk melepaskan diri.

Oleh yang demikian, wajarlah kita semua menjauhkan diri daripada apa juga jenis najis dadah. Adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk berusaha membantu mereka yang terperangkap di samping memahami keadaan yang sedang mereka hadapi.


Poisoning Emergency/ Information

Article from FB

Our Location

Last Modified: Friday 13 December 2024.