Kesan dadah ke atas otak

Prof. Dzulkifli Abdul Razak
Utusan Malaysia, 26 Februari 1998

Secara umumnya, dadah dikelaskan kepada beberapa jenis. Nama-nama seperti morfin, heroin, kokain, ganja, amfetamin dan LSD, semua ini membayangkan jenis- jenis dadah yang boleh mendatangkan ketagihan.

Baru-baru ini, banyak lagi jenis dadah seperti "syabu" dan "Ecstasy" dikesan di negara ini. Semua ini akan mengelirukan kefahaman orang ramai tentang dadah, apatah lagi setiap satunya mempunyai nama `timangan' yang tersendiri di kalangan golongan penagih. Tambahan pula bahan-bahan seperti tembakau dan rokok yang juga dianggap sebagai dadah terdapat dengan begitu meluas penggunaanya di kalangan masyarakat kita.

Namun apa yang penting diketahui bukan sangat nama-nama dadah itu, tetapi kesannya ke atas pengguna. Kesan utama dadah berbanding dengan ubat-ubatan adalah tindakannya yang agak ketara ke atas otak dan minda manusia sehingga boleh berlaku pergantungan ataupun ketagihan.

Oleh yang demikian, ada baiknya kita mengenali jenis-jenis dadah ini dari segi kesannya secara umum kepada otak dan minda manusia. Berasaskan ini, dadah boleh diberikan kepada dua golongan utama, iaitu jenis dadah yang boleh meransang otak dan minda dan sejenis lagi adalah yang boleh menekan fungsi otak dan minda. Jenis ketiga yang agak utama adalah bahan-bahan yang dipanggil sebagai halusinogen.

(i) Dadah Perangsang

Seperti mana yang diketahui umum, kehidupan kita sehari-harian mempunyai kitaran naik-turunnya sendiri. Dengan kata lain, ada masa-masanya kita secara semulajadi merasa `seronok' dan ada pula masanya kita merasa agak `sugul'. Perasaan seronok ataupun gembira menunjukkan bahawa otak dan minda kita dalam keadaan dirangsang. Ini membawa kita kepada tingkah laku yang selalunya mengembirakan keriangan, kepetahan dan juga kadangkala gelak ketawa sebagai tanda keseronokan.

Dalam hal yang sama, rangsangan yang diakibatkan daripada pengunaan ubat-ubatan yang boleh juga merangsang otak/minda memberi kesan yang hampir-hampir sama. Oleh itu, sesiapa sahaja yang mengguna dadah seumpama ini akan menunjukkan gelagat keriangan yang agak `palsu'. Tingkah lakunya turut menjadi agak luar biasa daripada berbagai segi, termasuk kelincahan mahupun dari segi pertuturan.

Menggeletar

Dengan kata lain, kesan-kesan yang dapat diperhatikan akibat daripada penggunaan dadah jenis ini adalah rasa keseronokan yang hampir tidak ada batasan jika dibandingkan dengan keseronokan semula jadi. Justeru itu, mereka sering rasa resah-gelisah ataupun sentiasa dalam keadaan kebimbangan dan mudah rengsa. Pertuturan mereka menjadi begitu pantas hampir kadangkala sukar untuk memahami apa yang dimaksudkan. Tubuhnya mungkin menggeletar, tidak begitu berselera untuk makan ataupun minum. Ia seolah-olah asyik dengan keriangan sendiri tanpa menghiraukan sangat alam persekitarnnya, termasuk makanan dan minuman.

Jika keadaan ini berlanjutan, seseorang itu akan mula berasa keletihan sehingga dapat mencetuskan satu keadaan kecemasan dan keresahan yang tidak lagi dapat dikawal. Kesudahannya nyawa mereka akan terancam akibat daripada fungsi-fungsi penting lain di dalam badan seperti jantung, pernafasan dan juga ginjal turut menjadi tidak lagi terkawal. Akhirnya maut akan menyusul.

Contoh-contoh dadah seumpama ini adalah amfetamin ataupun MDMA yang lebih dikenali sebagai Ecstasy. Sebab itulah dalam penggunaan Ecstasy didapati bahawa penggunanya dapat melakukan sesuatu pergerakan (seperti menari) berjam-jam lamanya tanpa berhenti.

(ii) Dadah Penekan

Berbanding dengan jenis dadah yang boleh merangsang otak, kesan akibat dadah penekan ini hampir berlawanan. Penggunanya tidak langsung aktif mahupun cergas tetapi sebaliknya dalam keadaan serba tertekan dan sugul. Ia akan merasakan begitu lesu serta malas untuk melakukan sesuatu pekerjaan. Keadaannya seolah- olah rasa mengantuk, pertuturannya lambat dan hampir meleret. Tumpuannya begitu rendah sekali sehinggakan ia tidak begitu memperdulikan persekitaranya.

Contoh-contoh kesan dadah yang bertindak sedemikian adalah jenis ubat-ubat tidur atau ubat pelali. Ubat-ubat tidur sebenarnya berfungsi dengan menekan aktiviti otak sehingga dapat menghasilkan rasa mengantuk dan tidur. Dan apabila otak terus tertekan, seseorang itu akan berada di dalam keadaan tidak sedarkan diri dan maut pula akan menyusul. Malah, ekoran daripada itu, berbagai tekanan fungsi badan seperti jantung, pernafasan mahupun buah pinggang turut terjejas.

Terbang

Contoh ubat-ubatan lain yang boleh menekan otak dan minda dan juga fungsi badan adalah daripada kumpulan-kumpulan candu ataupun madat terutama sekali morfin serta heroin. Kumpulan-kumpulan ini juga dikenali sebagai kumpulan narkotik. Bahan seperti kodein yang digunakan oleh sesetengah orang untuk merawat batuk juga terbitan daripada narkotik walaupun kesannya tidak sebegitu ketara berbanding morfin dan heroin.

(iii) Dadah Halusinogen

Selain daripada dua kumpulan utama di atas, satu lagi kumpulan yang sering diperkatakan adalah jenis halusinogen. Ini termasuk bahan-bahan seperti LSD, PCP dan berbagai jenis dadah rekaan (designer drug). Kesan utama bagi kumpulan ini adalah ciri-ciri yang dapat menukar persepsi di pengguna.

Dalam banyak hal, persepsi-persepsi ini seolah-olah tidak berpijak di alam nyata. Misalnya seorang pengguna dadah jenis halusinogen mungkin merasakan dirinya boleh terbang dan apabila cuba melakukan sedemikian, ianya akan mendapat kecederaan dan mungkin maut. Ada juga ketikanya mereka-mereka yang menggunakan ubat-ubatan LSD misalnya mendakwa dapat berjumpa dengan Tuhan. Kesemuanya ini adalah khayalan yang mirip kepada fenomena halusinasi iaitu istilah yang digunakan untuk mencirikan dadah-dadah daripada kelas ini.

Oleh yang demikian, sering kali pengguna dadah halusinogen ini akan mengalami perubahan tingkah laku luar jangkaan ataupun perubahan "mood" (mood swing) yang luar biasa. Emosi mereka menjadi tidak stabil dan kerap juga dihantui oleh pengalaman-pengalaman buruk yang pernah dialami mereka. Ada masa-masanya keadaan mereka seolah-olah orang yang tidak waras sepertimana kumpulan ubat-ubatan halusinasi dan penekan. Dadah halusinasi bertindak terus kepada otak dan minda untuk mencetuskan kesan-kesan berkenaan sepertimana yang disebutkan di atas.

Berasaskan kepada kumpulan-kumpulan utama ini, seseorang itu dapat mengenali banyak jenis dadah lain, baru dan lama. Misalnya, arak digolong sebagai dadah penekan kerana berupaya menekan fungsi otak dan minda. Sebab itulah apabila seseorang itu dalam keadaan mabuk, ia lebih cenderung untuk tidur ataupun rasa mengantuk. Pergerakannya pula terhuyung-hayang. Begitu juga misalnya dengan rokok ataupun tembakau, khususnya bahan nikotin yang terdapat di dalam bahan- bahan tersebut. Tembakau ataupun nikotin juga boleh menekan fungsi otak, tetapi ini selalunya tidak dirasakan sangat oleh perokok kerana kesan awalan daripada merokok adalah merangsang otak dan minda.

Sungguhpun kesan utama dadah adalah ke atas otak dan minda, tetapi kesan ini hanya dapat diperhatikan melalui gejala-gejala luaran yang mempunyai kaitan rapat dengan aktiviti otak dan minda. Ini termasuklah sistem-sistem yang berkaitan dengan tubuh badah seperti sistem jantung, pernafasan, gastro-usus, ginjal dan sebagainya.

Sepertimana yang telah dinyatakan, umumnya dadah perangsang boleh menguji aktiviti-aktiviti ini. Denyutan jantung meningkat, tekanan darah meningkat, pernafasan meningkat begitu juga dengan pengeluaran gastrousus. Kesan luaran yang paling ketara adalah pembesaran anak mata hitam berbanding dengan keadaan normal. Sebaliknya penggunaan dadah yang menekan sistem otak dan saraf memberi kesan pengurangan, baik bagi sistem jantung, pernafasan mahupun gastro-usus, kesannya ke atas anak mata hitam boleh mengakibatkannya mengecil berbanding dengan keadaan normal. Selain daripada itu, sifat-sifat serta perwatakan pengguna itu sendiri boleh mendatangkan beberapa gejala bagi mensyaki penggunaan dadah berkenaan.

Bagaimanapun, dalam semua hal ini, pengguna-pengguna dadah akan merasai "keinginan" mengambil dadah secara berterusan sebagai satu tanda yang ianya bergantung secara psikologi kepada bahan-bahan tersebut. Kesan pergantungan ini memberi akibat yang mendalam kepada perlakuan serta juga sikap si pengguna. Sepuluh gejala-gejala yang sering dikatakan sebagai petanda luaran penggunaan dadah adalah seperti berikut:

  • Perubahan sikap ataupun mood yang agak mendadah tanpa sebarang sebab yang nyata.
  • Perubahan dari segi perwatakan dan juga penampilan peribadi berbanding dengan apa yang lazim bagi seseorang itu. Ini termasuklah cara berpakaian dan gelagat sehariannya.
  • Prestasi dan juga kehadiran di tempat kerja mahupun di sekolah mula menunjukkan perubahan yang agak mendadak. Ini selalunya lebih kepada kemerosotan prestasi ataupun sering ponteng.
Kesihatan
  • Berat badan semakin berkurangan akibat daripada tidak berselera untuk makan ataupun kurang keprihatinan terhadap aspek kesihatan.
  • Mata sering berair dan kelihatan merah. Saiz anak mata berbeza, sama ada lebih kecil ataupun lebih besar daripada keadaan normal. Pengguna dadah sering berkaca mata hitam untuk tidak dikenal pasti.
  • Kecenderungan untuk memencilkan diri terutama sekali daripada rakan- rakan sebaya (yang tidak melibatkan diri dengan dadah) ataupun aktiviti -aktiviti rekreasi yang lain.
  • Sering kelihatan di tempat-tempat sumbang seperti bilik stor ataupun kamar-kamar lain yang jarang dikunjungi dan digunakan oleh orang lain.
  • Terdapat tanda-tanda suntikan jarum di lengan ataupun parut-parut bekas suntikan di bahagian-bahagian badan lain. Dalam hal ini, si pengguna sering cuba menyorokkan tanda-tanda ini dengan memakai kemeja lengan panjang dan sebagainya.
  • Kurang memberi tumpuan kepada tugas-tugas penting bukan sahaja berkaitan dengan kerja, tetapi juga berhubung pengurusan peribadi dan keluarga.


Poisoning Emergency/ Information

Article from FB

Our Location

Last Modified: Friday 13 December 2024.