Dadah: Pandangan Islam

Prof. Dzulkifli Abdul Razak
Utusan Malaysia, 6 Mac 1998

BAHAYA dadah yang menular dalam masyarakat kita hari ini sebenarnya diberi perhatian serius oleh Islam. Dalam hal ini, sebuah fatwa telah pun diadakan untuk mengharamkan pengunaan dadah.

Daripada kitab suci Al-Quran, perkataan `dadah' dikaitkan dengan nyata di dalam maksud perkataan khamr. Namun begitu, ia tidak merujuk kepada fungsi kehidupan biologinya. Untuk memahami daripada menyedari kepentingan sepenuhnya, wajar kita mengkaji asal usul perkataan khamr itu.

Perkataan khamr berasal daripada perkataan yakhmur, maksudnya `menutup, menyembunyi atau melindungi.' Oleh itu khamr merujuk secara meluas kepada fungsi kehidupan atau biologi sesuatu bahan yang boleh menutup, menyembunyi atau menghilangkan fungsi yang biasa dialami oleh seseorang `biasa' dalam hal ini dikaitkan khusus dengan keadaan `fikiran' dan `akal.'

Sebuah hadis menyebut: "Arak adalah sesuatu yang menutup akal". Begitu juga halnya dengan dadah. Ini ialah kerana Islam menyedari pentingnya akal fikiran bagi diri seseorang. Al-Ghazali di dalam kitabnya Ihya' Ulumu al- Din menyebut;

Ketahuilah bahawa badan manusia itu seperti sebuah kota. Akal, yakni kekuatan mengetahui daripada manusia itu adalah sebagai raja yang menguruskan hal- ehwal kota itu. Alat-alat tanggapan terdiri daripada pancaindera lahir dan batin seperti tentera-tentera dan pegawai- pegawainya.
Seluruh anggota badannya itu seperti rakyatnya. Nafsu serta syahwatnya dan kemarahannya adalah sebagai musuh yang bertarung untuk menguasai kerajaannya itu dan untuk merosakkan rakyatnya."

Melalui akal fikiran seseorang menentukan haluan dan pertimbangan. Oleh itu, akal fikiran dalam erti kata sepenuhnya dapat membimbingkan seseorang ke arah jalan yang betul, jalan Islam. Dengan mengambil haluan tindakan ini, manusia dikatakan terbentuk `menjadi imej yang paling mulia' (At-Tin: 4) malahan menjadi kemuncak kemuliaan semua makhluk.

Dengan `nilai' ini, manusia diberi tanggungjawab supaya tidak menyalahgunakan atau mengabaikan penggunaan akal fikiran. Mereka yang tidak memenuhi tanggungjawab ini disebut di dalam al-Quran sebagai mereka yang tidak `memahami' atau yang tidak mahu 'berfikir' menggunakan akal yang telah diberikan oleh Allah. Penyalahgunaan atau kecuaian demikian akhirnya menurunkan taraf manusia menjadi `makhluk' yang paling hina' (At-Tin: 5). Dan Khmar ialah salah satu daripada aspek ini kerana ia memusnahkan bukan hanya daya usaha serta keupayaan seseorang bertindak secara membina, tetapi juga kesihatan tubuh badannya. Sambung Al-Ghazali dalam kita yang sama;

"Jadi, badannya itu seperti kubu dan tempat kawalannya dan dirinya sebagai penghalang yang mempunyai pengaralnya. Jika ia berjihad menentang musuhnya dan dapat mengalahkannya serta menguasainya seperti yang sepatutnya, kesannya adalah kebaikan yang layak menerima pujian. Sekiranya ia kehilangan tempat pertahanannya itu dan mengabaikan rakyatnya, maka kesannya ialah keburukan yang layak menerima balasan daripada Allah, sesuai dengan keburukan yang dilakukan itu."

Oleh itu, tidaklah keterlaluan jika ditekankan bahawa Islam sebagai satu agama yang rasional menuntut kewarasan akal fikiran, supaya manusia sentiasa sedar siapa dia dan apa yang dilakukannya. Al-Quran mengatakan `mereka akan memikul bebanan di belakang mereka' (Al-An'am: 31).

Mencabar

Berhubung rapat dengan akal fikiran ialah nilai kerohanian menusia sendiri, al-Quran ada menyebut berbagai-bagai peringkat pertumbuhan nilai kerohanian manusia. Dalam hal ini, perlu disentuh `roh yang mencari diri sendiri; (Al- Qiyamah: 2), diri yang lebih halus yang memberi pancaran kepada fikiran.

Di dalam petikan ayat tadi, al-Quran bersumpah `demi roh yang mencari diri sendiri' diikuti dengan satu doalan mencabar supaya manusia `berfikir'. Semua ini selaras dengan `imej yang paling mulia' yang telah dikurniakan pada manusia.

Pendek kata, daripada kacamata Islam yang menyeluruh, istilah khamr mempunyai implikasi yang sungguh luas. Mengikut ulama, sesuatu yang boleh menyebabkan seseorang `lupa pada diri sendiri' dan `terlepas' dari alam nyata juga dapat dirangkum di dalam pengertian khamr.

Demi untuk mengkaji lebih jauh pendirian Islam tentang masalah khamr secara umum dan masalah dadah secara khusus, kita harus kembali kepada kalimah syahadah; "Tiada Tuhan Yang Disembah Melainkan Allah". "Tuhan" yang dimaksudkan di dalam kalimah syahadah iaitu bukan hanya tuhan kepada "Tuhan" dalam erti kata biasanya tetapi sesuatu yang mengasyikkan hingga ke peringkat dipuja, iaitu disembah sebagai `Tuhan'. Sesuatu tindakan seperti ini bolehlah dianggap sebagai menyekutukan Allah, Tuhan yang Esa dan ini merupakan suatu perbuatan syirik.

Dalam Islam, Tuhan adalah satu, tiada lain daripada-Nya. Tiada lain yang patut disembah melainkan-Nya. Dengan demikian seseorang yang berserah diri kepada Allah yang Esa tidak menyembah Tuhan yang lain. Tiada lain tempat seseorang berserah melainkan pada yang Esa. Seseorang itu dikehendaki berbuat demikian bukan semata-mata kerana kehendaknya mahupun kerana paksaan; sebaliknya dengan menggunakan akal fikiran yang waras, yakni dia diberi pilihan.

Ini jelas dinyatakan oleh al-Quran: "Allah tidak menukar nasib seseorang kecuali mereka menukar nasib mereka sendiri (dengan hari mereka sendiri, Al-Ra'd: 11)" "hati" atau "al-qalbu sebagai tempat datangnya akal fikiran seseorang. Di dalam satu lagi ayat; "Jika dikehendaki oleh Tuhan kamu, semua manusia di muka bumi ini akan mempercayai-Nya; (Yunus: 99). Apa yang jelas, kita diberi keupayaan memilih berasaskan lunas-lunas Islam.

Dalam satu ayat lain; "Kami telah memberikan mereka penglihatan dan pendengaran dan sama ada dia bersyukur atau tidak terhadap rahmat kami, kami telah menunjukkan kepadanya jalan yang benar" (al-Insan: 2-3). Jalan yang demikian ialah cara hidup Islam. Ditambah dengan konsep ibadah di dalam Islam, ia jelas bertujuan supaya manusia dapat mencapai `imej paling mulia' sebagai seorang Islam.

Oleh itu adalah wajar bagi Islam memandang serius terhadap penggunaan khamr dan melarang keras penggunaanya demi mengekalkan maruah dan kemuliaan manusia dan juga masyarakatnya.

Memetik riwayat daripada Khalifah ketiga, Saidina Uthman: "Seorang lelaki telah dibawa dan ditanya mana yang paling mudah dilakukan, sama ada mengoyakkan kitab suci al-Quran atau membunuh seorang kanak-kanak atau tunduk menyembah patung atau meminum arak atau berbaring dengan seorang wanita.

Lelaki itu mendapati bahawa perkara paling mudah dilakukannya ialah meminum arak dan dia telah meminumnya. Dia kemudian berbaring bersama wanita itu, membunuh kanak-kanak tersebut, mengoyakkan al-Quran dan tunduk menyembah patung tersebut.

Contoh tunggal ini sudah memadai untuk menunjukkan kenapa Islam berpendirian begitu tegas terhadap khamr seperti yang dibincangkan di atas.



Poisoning Emergency/ Information

Article from FB

Our Location

Last Modified: Friday 13 December 2024.