Razak Nyaris Maut di Hiroshima

Sumber: Utusan Malaysia - Jumaat 26, Mei 1995, hal.5
  
Oleh:Marzuki Yusoff

Muda-mudi - Zaman Remajaku:

WALAUPUN beliau bukannya warganegara Jepun tetapi hati kecilnya begitu mudah tersentuh dan hiba setiap kali rakyat negara itu menyambut upacara mengingati mangsa-mangsa yang terkorban dalam peristiwa ledakan bom atom yang memusnahkan bandaraya Hiroshima pada 6 Ogos 1945.

Peristiwa hitam yang meragut hampir setengah juta nyawa itu walaupun sudah lama berlalu tetapi wajah-wajah ngeri mangsa-mangsa bom itu masih menghantui dirinya yang pada ketika kejadian itu berlaku sedang mengikuti kursus pendidikan bahasa Jepun di Universiti Hiroshima.

"Pengalaman pahit di Hiroshima dan bagaimana kuatnya semangat orang Jepun menghadapi malapetaka itu banyak mengajar saya kepada erti kehidupan," kata Ketua dan Pensyarah Program Pandang Ke Timur, Abdul Razak Abdul Hamid.

Semasa itu beliau adalah salah seorang daripada tiga rakyat Malaysia yang dipilih melanjutnya di negara matahari terbit itu dan pada zaman penjajahan Jepun dulu.

Menurut Abdul Razak, kenangan zaman silam di zaman remajanya masih segar di ingatan terutama apabila mengenangkan rakan karibya, Nik Yusof, yang sama- sama belajar di universiti itu turut terkorban dalam tragedi berdarah tersebut.

Dalam tragedi itu, beliau nyaris maut kerana bangunan tempatnya belajar tiba- tiba runtuh dan hampir menghempapnya.

"Selama beberapa ketika selepas mendengar letupan itu, saya menjadi bingung dan mengambil masa yang lama untuk sedar kembali sebelum merangkak keluar perlahan- lahan dari runtuhan bangunan itu," katanya yang turut cedera dalam kejadian itu.

Katanya, beliau sendiri tidak percaya dirinya boleh terselamat dalam peristiwa itu selepas menyaksikan hampir sebilangan besar penduduk bandaraya itu termasuk pelajar-pelajar universiti itu terbunuh dengan mayat bergelimpangan di sana-sini dalam keadaan amat menyedihkan.

Dan bagi kerajaan Jepun, mereka masih tidak melupakan Abdul Razak dan setiap kali upacara mengingati mangsa-mangsa bom atom itu diadakan termasuk pada 6 Ogos ini, beliau akan dijemput sebagai tetamu kehormat di upacara ini.

Zaman remaja yang penuh ranjau

SEBAGAI anak yang kematian bapa sewaktu usianya baru 11 tahun, Abdul Razak sudah tentu mengalami situasi sukar dalam menempuh hari-hari mendatang walaupun bapanya meninggalkan kedai runcit kecil untuk meneruskan kehidupan.

Menjalani kehidupan bersama ibu dan seorang abang tanpa bapa tersayang, membuatkan Abdul Razak yang dilahirkan di Pulau Pinang pada 7 Julai 1925, menjadi remaja yang cepat matang dan mampu berdikari. Pada usia yang begitu muda iaitu 15 tahun, beliau telah menabur bakti sebagai guru pelatih di Sekolah Melayu Ulu Klang iaitu pada tahun 1940.

Bagaimanapun, pekerjaannya terganggu selama hampir enam bulan apabila perang dunia kedua meletus dan tentera Jepun menawan seluruh Semenanjung Tanah Melayu. Abdul Razak yang kehilangan pekerjaan akhirnya mengambil keputusan untuk berniaga kecil-kecilan dengan menjual jagung dan sayur-sayuran untuk menampung pendapatan keluarganya.

Pada ketika itu, kehidupan rakyat amat menyedihkan. Barangan keperluan harian amat sukar diperolehi dan semua itu mengajar Abdul Razak erti kehidupan sebenar.

Bagaimanapun, keadaan itu hanya dilalui oleh Abdul Razak untuk beberapa bulan saja sehingga pada satu hari, pemerintah Jepun di Kuala Lumpur menawarkannya jawatan guru dan menurut Abdul Razak, semua guru dan pegawai-pegawai kerajaan pada ketika itu dipaksa belajar bahasa Jepun.

Berkat ketekunannya, Abdul Razak menunjukkan kecemerlangannya dalam kursus tersebut sehingga membuatkan Pengarah Pelajaran Selangor, Fushimi memberi tanggungjawab kepada beliau untuk menyusun sukatan pelajaran bahasa Jepun untuk sekolah-sekolah di Kuala Lumpur.

Belajar Bahasa Jepun

MENYEDAR potensi yang ada pada anak muda itu, Fushimi telah menghantar Abdul Razak untuk menimba ilmu lebih luas mengenai bahasa Jepun. Kali ini dia dihantar mengikuti pengajian di Marei Koa Kurensyo di Melaka.

Apa yang membanggakan, Abdul Razak yang begitu kental semangatnya telah memperolehi keputusan memuaskan dalam kursus yang diambilnya sehingga dia bersama tiga pelajar lain dipilih untuk mengikuti pelajaran di Institut Pelajar Antarabangsa Tokyo dan Universiti Hiroshima di Jepun.

"Ibu dan keluarga saya di Kampung Baru turut menyangka saya turut terkorban dalam tragedi memilukan itu dan syukurlah saya selamat," katanya.

Sekembalinya ke negara ini pada tahun 1946 iaitu selepas tentera Jepun menyerah kalah kepada tentera bersekutu, Abdul Razak meneruskan kariernya sebagai pensyarah di Maktab Perguruan Sultan Idris dari tahun 1955 hingga 1960 dan pensyarah di Maktab Perguruan Bahasa, Lembah Pantai, Kuala Lumpur (1960-1965).

Walaupun sibuk dengan pekerjaannya, Abdul Razak sanggup berulang-alik ke Kedutaan Jepun di Jalan Ampang, sehingga bertahun-tahun lamanya sejak tahun 1960 hanya semata-mata untuk mengajar Bahasa Malaysia kepada kakitangan Kedutaan Jepun dan ahli Keluarga mereka dan tugas itu diberikan secara percuma.

"Sampai sekarang, hubungan saya dengan Kedutaan Jepun masih rapat dan bagi saya selain mengajar Bahasa Malaysia kepada kakitangan kedutaan itu, saya juga dapat memastikan saya terus dapat menguasai bahasa Jepun," katanya yang sejak 13 tahun lalu menyandang jawatan sebagai Ketua dan Pensyarah Program Dasar Pandang Ke Timur.

Usia bukannya penghalang

BAGI Abdul Razak, usia bukannya penghalang kepada seseorang itu untuk terus menaburkan bakti kepada rakyat dan negara.

Berpegang kepada prinsip itulah, beliau menyambut cabaran kerajaan untuk terus mengendalikan Program Dasar Pandang Ke Timur itu walaupun umurnya yang menjangkau 70 tahun itu sepatutnya memerlukan banyak waktu rehat.

"Saya sepatutnya bersara tahun ini tetapi khidmat saya masih diperlukan oleh kerajaan dan saya tidak akan menghampakannya selagi diperlukan," tegasnya sambil memberitahu bahawa sehingga kini lebih 3,000 rakyat negara ini telah mengikuti Program Dasar Pandang Ke Timur itu, yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad.

Menurut Abdul Razak, rakyat Jepun banyak mengamalkan apa yang dituntut oleh agama dan nilai-nilai murni dalam kehidupan.

Budaya dan bahasa mereka begitu sentimental. Tetapi semangat kerja mereka begitu dikagumi. orang Jepun begitu cemburu dengan masa sehingga setiap waktu terluang akan digunakan secara sebaiknya.

Orang Jepun juga begitu dikenali sebagai satu bangsa yang cukup menepati janji dan menghormati orang tua.

Saya masih ingat selepas hampir semua bandar besar Jepun musnah akibat perang, seorang pegawai tentera Jepun sambil menangis telah bersumpah di hadapan saya bahawa Jepun akan bangkit kembali dalam tempoh 20 tahun lagi dan buktinya tidak sampai 10 tahun saja, rakyat Jepun berjaya membangunkan ekonomi negara mereka," katanya yang mempunyai tiga orang anak.

Anak keduanya, Dzulkifli 42, menjawat jawatan sebagai Pengarah Pusat Racun Negara manakala, yang bongsu, Zul Jastri 36, mengetuai Unit Perbankan Kwong Yik Bank, dan anak perempuan sulung, Zuraidah, 45, bertugas sebagai guru.

Pesanan Kepada Remaja

ILMU adalah segala-galanya sama ada untuk bekalan di dunia mahupun di akhirat. Dalam usia tua begini dan mencapai menghabiskan masa menimba ilmu, Abdul Razak masih menyesali dirinya kerana merasakan ilmunya masih terlalu kecil.

"Hanya dengan ilmu saja yang dapat meningkatkan martabat diri seseorang itu dan sebab itulah saya cukup sedih apabila melihat anak-anak muda sekarang terlalu banyak membazirkan masa remaja mereka dengan perkara tidak berfaedah," katanya.


Poisoning Emergency/ Information

Article from FB

Our Location

Last Modified: Thursday 10 October 2024.