Sumber: Wawancara, 1 Oktober 1998
Oleh:Aziz Muda
Meniti kehidupan dari keruntuhan Hiroshima
Tidak ada kata-kata lebih tepat yang boleh digambarkan tentang perjalanan hidup Haji Abdul Razak Abdul Hamid, 74, melainkan seperti sudah mati hidup kembali. Pengalaman ngeri yang dialaminya ketika sedang menuntut di Universiti Hiroshima, Jepun pada 1945 lalu masih lagi segar dalam ingatannya hingga kini.
"Saya masih ingat betapa rumitnya saya nak meneruskan hidup ketika itu. Segalanya bermula tepat pada jam 8.15 pagi, 6 Ogos, 1945. Waktu itu, saya sedang mengikuti kuliah Matematik bersama seorang kawan dari Brunei, Pangeran Yusuf dibawah bimbingan Profesor Toda.
"Ketika kami sedang tekun mengikuti kuliah berkenaan, secara tiba-tiba kelihatan cahaya melepasi cermin tingkap dan diikuti bunyi seperti guruh yang amat kuat. Bangunan universiti tempat saya belajar tiba-tiba musnah.
"Saya seperti bermimpi di saat itu kerana saya sendiri tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku. Setelah berjaya mengeluarkan diri dari timbunan keruntuhan bangunan itu, saya dapati seluruh pakaian saya sudah dipenuhi darah saya sendiri, manakala bandar Hiroshima pula menjadi padang jarak padang tekukur.
"Dalam keadaan serba tidak menentu dan ditokok pula dengan rasa terkejut yang amat sangat itulah, saya mencari-cari Pangeran Yusuf dan Profesor Toda. Sejurus kemudian, saya lihat Pangeran Yusuf berjaya mengeluarkan diri timbunan keruntuhan itu dan diikuti oleh Profesor Toda.
"Alhamdulillah, keduanya selamat, bisik hati kecil saya. Tetapi mereka juga mengalami nasib yang sama seperti saya. Seluruh pakaian mereka dipenuhi darah mereka sendiri.
"Kami bertanya sesama sendiri apakah sebenarnya yang berlaku, kami hanya mampu mengagak sahaja; bandar Hiroshima mungkin telah dibom.
"Oleh itu, Profesor Toda segera mengarahkan saya dan Pangeran Yusuf ke asrama untuk melihat rakan-rakan kami dan kemudian melaporkan segera kepada beliau atau pihak universiti tentang keadaan mereka.
"Saya dan Pangeran Yusuf mengalami kerumitan yang amat sangat untuk ke asrama, kerana jalan menuju ke tempat tinggal kami itu sudah tidak dapat dikenal pasti. Segalanya kelihatan rata sahaja kerana tertutup oleh keruntuhan bangunan- bangunan, rumah-rumah dan pokok-pokok yang tumbang disekitarnya.
"Begitupun, kami terpaksa meneruskan juga perjalanan mencari-cari jalan ke asrama itu. Saya dan Pangeran Yusuf menjadi bertambah pilu apabila di sekeliling kami kelihatan mayat yang bergelimpangan. Jeritan meminta tolong daripada mereka yang masih hidup menambahkan lagi kesayuan hati kami.
Dalam masa yang sama, api kebakaran kelihatan di merata-rata. Walaupun dalam keadaan kepayahan dan kesakitan akibat luka-luka, kami sempat juga memberikan bantuan yang termampu kepada mangsa-mangsa yang amat memerlukan pertolongan.
"Ketika itulah juga saya menemui sahabat baik saya dari Kelantan, Nik Yusof Nik Ali. Dia kelihatan 'panik' dan terburu-buru menuju ke sesuatu destinasi yang tidak tentuan untuk menyelamatkan diri.
"Kami sempat bercakap sepatah dua dengannya. Dia meminta kami segera ke asrama untuk melihat kawan-kawan, manakala tentang dirinya sendiri janganlah dibimbangkan kerana katanya, dia sihat.
"Setibanya di asrama, kami lihat asrama kami juga sudah musnah sama sekali. Tetapi alhamdulillah, kesemua kawan-kawan kami selamat. Cuma adalah yang mengalami luka-luka kecil.
"Setelah semuanya ditemui, kami terus mengambil kelengkapan pelajaran kami. Tetapi sebaik sahaja kami mengambil apa yang patut, api dari kebakaran asrama, bangunan-bangunan dan rumah-rumah di sekitarnya menjadi bertambah marak ditiup angin.
"Kami cuba menyelamatkan diri di sebatang sungai yang satu-satunya terdapat di kawasan itu dengan menggunakan sebuah rakit yang kebetulan berada di tepinya, tetapi seluruh sungai itu pula dipenuhi api kemudiannya.
"Jadi, tidak ada ingatan lain lagi di hati kami di saat itu melainkan hanyalah kematian," jelas Abdul Razak ketika diminta menyingkap kembali pengalaman ngerinya apabila bom atom terkuat ledakannya telah digugurkan di bandar Hiroshima oleh Amerika Syarikat pada jam 8.15 pagi, 6 Ogos, 1945.
Pengguguran bom tersebut telah menggemparkan seluruh dunia dan mengakibatkan jutaan nyawa manusia terkorban.
Abdul Razak merupakan salah seorang anak melayu yang terselamat dari kecelakaan itu. Beliau adalah seorang guru yang dihantar oleh pihak Jepun belajar di sana sewaktu pendudukan Jepun di Malaya dahulu.
Sebelum dihantar ke Jepun Abdul Razak merupakan guru pelatih sekolah Melayu di Ulu Klang, Selangor dan selepas itu bertugas sebagai guru dan penyelaras Bahasa Jepun bagi sekolah-sekolah di Kuala Lumpur.
Selepas itu, beliau diberikan peluang oleh pemerintah Jepun di Malaya untuk melanjutkan pelajaran di Institut Pendidikan Jepun (Marei Koa Kunrensho, Melaka), ke Institut Pelajar Antarabangsa Tokyo (Kokusai Gakuyukai, Tokyo) dan kemudiannya ke Universiti Hiroshima, Jepun (Hiroshima Bunri Daigaku, Japan).
Bilangan mereka yang terpilih meneruskan pelajaran ke universiti tersebut hanya seramai 10 orang sahaja, tiga daripada mereka terdiri dariapda rakyat Malaya (Malaysia), manakala selebihnya dari Indonesia dan Brunei.
Tiga dari Malaya yang terpilih itu termasuklah Abdul Razak, Nik Yusof Nik Ali dari Kelantan dan Syed Omar Syed Mohammad Alsagoff dari Selangor.
"Daripada jumlah itu, yang mengambil jurusan pendidikan dan dimestikan mengikuti matematik hanyalah saya dan Pangeran Yusuf sahaja. Kawan-kawan saya yang lain mengambil jurusan yang lain. Itulah sebabnya mereka tidak mengikuti kuliah Matematik dan hanya diam di asrama sahaja ketika itu," katanya.
Menurut Abdul Razak, setelah berjuang menyelamatkan diri dari sambaran api yang bergulung-gulung di sungai, mereka terpaksa bermalam di atas jambatan pada malam itu.
"Meskipun dalam kepayahan dan kesakitan, kami bersyukur kerana kami masih hidup. Lebih jauh dari itu, kami juga mampu memberikan pertolongan sekadar terdaya kepada mangsa-mangsa lain yang berada dalam keadaan nyawa-nyawa ikan, walaupun dalam masa yang sama, kami juga amat memerlukan pertolongan.
"Kami bersyukur kepada Allah kerana pada malam itu juga, pasukan pertolongan cemas Jepun datang memberikan pertolongan dan makanan kepada kami. Dengan bantuan ubat-ubatan yang dibawanya, dapatlah kami meredakan kesakitan atau mengubati luka-luka di badan.
"Begitupun, pada masa yang sama, kami menjadi cemas. Sepatutnya kami bersepuluhan di atas jambatan itu. Tetapi, kami kehilangan seorang kawan baik saya, Nik Yusof. Kami tidak tahu di mana beliau. Setelah bertembung dengannya dalam perjalanan puland ke asrama pagi itu, kami sudah tidak menemuinya lagi.
"Kami terpaksa mencari Nik Yusof di merata-rata. Malangnya, beliau tetap juga tidak kami temui. Pagi keesokkan harinya, kami ke universiti untuk melaporkan segala yang berlaku ke atas kami tanpa Nik Yusof.
"Oleh itu, kami menyifatkan Nik Yusof telah meninggal dunia. Justeru itu, kami ingin mendapatkan mayatnya. Tetapi mayatnya tetap juga tidak kami temui, walaupun puas kami mencarinya dicelahan mayat-mayat yang bergelimpangan," katanya.
Disebabkan kemusnahan asrama, Abdul Razak dan rakan-rakannya terpaksa berkhemah di universiti sebagai tempat tinggal mereka. Setelah seminggu berada di khemah tersebut, mereka dipelawa oleh sebuah keluarga jepun untuk tinggal di rumahnya yang jaraknya kira-kira satu batu dari universiti.
"Kami tidak melepaskan peluang itu. Seminggu selepas itu pula, kami dibawa ke Tokyo oleh Pihak Institut Pelajar Antarabagnsa, Tokyo. Selepas itu, kami dihantar balik ke tanahair tanpa Nik Yusof. Syed Omar pula terpaksa kami tinggalkan di Kyoto bagi membolehkan beliau mendapat rawatan rapi di Hospital Kyoto.
"Sesungguhnya, pengalaman pahit di Hiroshima itu banyak mengajar saya erti keperitan hidup akibat perang. Saya berharap agar tidak ada lagi pengalaman itu dalam hidup saya," ujar beliau.