Kubur Nik Yusof & Syed Omar Perlu Diziarahi

Sumber: Wawancara,1 Oktober 1998
  
Oleh:Aziz Muda

PERANG. Menyebutnya sahaja sudah mengerikan. Apatah lagi jika mengalaminya?

Apabila ia terjadi, bukan kebaikan yang banyak tercatat dalam sejarah, melainkan keperitan hidup, kematian, tangisan dan kemusnahan.

Justeru itulah, sejarah keperitan perang perlu diketahui setiap generasi. Melalui pendedahan sejarah, orang ramai boleh mempelajari kesan-kesan buruknya, di samping dapat pula menyedarkan setiap anggota masyarakat betapa perlunya mereka menjaga keamanan.

Pendedahan sejarah juga boleh mendatangkan keinsafan kepada generasi baru tentang jatuh bangunnya bangsa mereka sendiri. Sejarah tidak boleh dibohongi. Sebaliknya, sejarah pula dapat memperkuatkan semangat, keazaman dan membantu sesuatu bangsa itu menebus maruahnya di mercu kejayaan dunia.

Kerajaan Jepun juga turut berusaha menghindari perang. Begitupun, dalam Perang Dunia Kedua, Jepun juga terlibat. Bandar Hiroshima hancur musnah dihempas bom atom oleh tentera Amerika Syarikat. Bangunan-bangunan, rumah-rumah, pokok-pokok kayu musnah menyembah bumi. Jutaan rakyatnya terbunuh.

Sebelum bom atom yang paling kuat ledakannya itu digugurkan di Hiroshima pada jam 8.15 pagi, 6 Ogos 1945, Kerajaan Jepun telah pun mengajar rakyatnya tentang cara-cara menyelamatkan diri apabila kawasan mereka dibom.

"Saya juga turut diajar cara-cara menyelamatkan diri untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa bom bersama-sama orang-orang Jepun sewaktu menuntut di Institut Pelajar Antarabangsa, Tokyo (Kokusai Gakuyukai, Tokyo) dulu, iaitu pada 1943 hingga 1944, sebelum dihantar ke Universiti Hiroshima pada 1944 hingga 1945.

"Sewaktu menuntut di institut itu, saya pernah mendengar semboyan udara. Semboyan itu dibunyikan untuk mengajar kami tentang cara-cara menyelamatkan diri apabila kami diserang atau jika perang berlaku.

"Apabila semboyan dibunyikan, cara yang diajar kepada kami ialah masuk ke dalam lubang perlindungan yang telah dibina oleh pihak Jepun.

"Tetapi itu sewaktu saya berada di Tokyo. Setelah di Hiroshima, kami tidak boleh berbuat apa-apa kerana segalanya itu berlaku tanpa sebarang isyarat atau semboyan. Ia berlaku secara tiba-tiba," jelas Haji Abdul Razak Abdul Hamid.

Menurut beliau, akibat pengguguran bom tersebut, dua orang sahabat baik beliau, Nik Yusof Nik Ali dan Syed Omar Syed Mohammad Alsagoff, turut menjadi mangsanya. Walaupun tidak terbunuh pada hari bom itu digugurkan, kematian mereka juga berpunca dari bom tersebut.

Selain itu, beliau dan sahabat-sahabatnya yang lain juga turut mengalami keperitan hidup tersendiri. Seorang sahabat beliau dari Indonesia boleh dicabut rambutnya sehelai-sehelai akibat kesan radioaktif.

"Pahit maung hiudp kami itu turut dijadikan dokumentari oleh Kerajaan Jepun. Ia ditayangkan secara menyeluruh di Negara matahari terbit itu. Kerajaan Jepun juga turut mengadakan hari khas untuk memperingati hari sejarah hitam itu. Ia diadakan setiap 6 Ogos setiap tahun.

"Saya turut diundang oleh Kerajaan jepun setiap tahun bagi menjayakan hari itu. Kisah Nik Yusof, Syed Omar dan perkuburan mereka juga turut dijadikan kenangan oleh pihak Jepun," katanya.

Usaha atau langkah yang diambil oleh Kerajaan Jepun itu, menurut Abdul Razak, wajar dihargai Kerajaan Malaysia. Filem dokumentari tersebut wajar ditayangkan di negara ini bagi tatapan rakyat Malaysia.

"Ini kerana, kisah berkenaan turut melibatkan rakyat Malaysia, iaitu kami bertiga. Selain itu, ia juga boleh memberikan pengetahuan sejarah dunia kepada rakyat negara ini.

"Selain itu, pihak Kedutaan Malaysia di Jepun juga perlu memainkan peranannya yang tersendiri. Pihak kedutaan kita wajar membawa rakyat negara ini yang sedang menuntut di Jepun atau rakyat Malaysia yang berkunjung ke Jepun menziarahi kubur Nik Yusof di Hiroshima dan Syed Omar di Kyoto," katanya.

Menurut Abdul Razak, sehingga kini, langkah ke arah itu bagaimanapun belum lagi dilakukan oleh pihak kerajaan Malaysia.

"Ini merupakan satu kerugian kepada kita. Sedangkan untuk mendapatkan filem berkenaan tidak rumit. Saya sendiri boleh mendapatkannya jika diminta kerjasama berbuat demikian oleh pihak kerajaan.

"Begitu juga dengan kunjungan ke kubur Nik Yusof dan Syed omar. Jika ada usaha yang dilakukan oleh pihak kedutaan kita di Jepun, ia boleh mendatangkan keinsafan tersendiri kepada rakyat negara ini. paling tidak, mereka boleh mengetahui di mana kubur mereka dan membaca doa untuk mereka.


"Begitu juga dengan kunjungan ke kubur Nik Yusof dan Syed Omar. Jika ada usaha yang dilakukan oleh pihak kedutaan kita di Jepun, ia boleh mendatangkan keinsafan tersendiri kepada rakyat negara ini. Paling tidak, mereka boleh mengetahui di mana kubur mereka dan membaca doa untuk mereka," katanya.

Sejarah hitam pengguguran bom atom di Hiroshima itu, menurut Abdul Razak, juga telah ditulis dalam bentuk novel sejarah oleh salah seorang sasterawan tanahair, Othman Puteh.

Buku (novel) yang berjudul `Debu Hiroshima' itu berjaya dihasilkan oleh Othman dengan dengan kerjasama beliau sendiri dan ia telah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 1987.

"Penulisan buku (novel) itu wajar dimanfaatkan oleh pihak Kerajaan Malaysia dan seluruh rakyat negara ini. Paling tidak, ia boleh dijadikan teks di sekolah- sekolah di peringkat menengah.

Apa pula yang berlaku tidak pula sedemikian. Malahan, buku (novel) itu juga tidak diedarkan secara meluas oleh pihak DBP sendiri. Maksud saya, ia juga tidak pun diedarkan secara meluas di sekolah-sekolah, apatah lagi nak dijadikan teks di sekolah-sekolah.

"Secara peribadi, dengan ikhlas saya nyatakan, saya tidak mengharapkan sebarang populariti atau ganjaran daripada apa yang saya sarankan itu. Tetapi memandang sepi terhadapnya pasti merugikan kita sendiri," ujar beliau.

Beliau yang dilahirkan di Pulau Pinang itu merupakan bekas guru dan bekas pensyarah Institut Teknologi Mara (ITM) yang disegani di dalam masyarakat. Setelah bersara dari bidang pendidikan, beliau kini aktif dengan keagamaan dan kemasyarakatan, termasuk menjadi Nazir di Masjid Al-Asyakirin, Gombak.

Abdul Razak berpindah ke Kuala Lumpur pada 1964. Beliau dikurniakan tiga anak hasil perkahwinannya dengan seorang bekas guru, Hajjah Zaharah Mohd. Salleh. Anak sulungnya, Zuraidah, 48 bertugas sebagai guru. Anak keduanya, Dzulkifli, 45, bertugas sebagai Pengarah Pusat Racun Negara, manakala yang bongsu, Zul Jastri, 39, mengetuai Unit Perbankan.

Dalam pendidikan keluarga, pelajaran sejarah sememangnya dititikberatkan oleh beliau. Ini kerana, pelajaran sejarah, pada pendapatnya boleh menyebabkan anak-anak maju dalam mata pelajaran yang lain dan juga dalam hidup ini.


Dalam pendidikan keluarga, pelajaran sejarah sememangnya dititikberatkan oleh beliau. Ini kerana, pelajaran sejarah, pada pendapatnya boleh menyebabkan anak- anak maju dalam mata pelajaran yang lain dan juga dalam hidup ini.

"Sejarah boleh mengajar kita dalam banyak hal. Hanya dalam mata pelajaran sejarahlah sahaja terdapat cerita-cerita kejayaan tokoh-tokoh tertentu. Sejarah jugalah yang menceritakan kejayaan sesuatu bangsa.

"Jadi, saya memang merasakan suatu kerugian besar bagi bangsa dan negara kita jika sejarah hitam bangsa Jepun itu tidak diberikan penekanan oleh kita. Pengetahuan sejarah mengenainya boleh mengajar kita betapa perlunya kita mengelakkan diri dari perang.

"Bangsa Jepun juga banyak keistimewaannya terutamanya dalam hal kesopanan, disiplin dan kerajinannya. Kita perlu belajar bagaimana Jepun bangkit setelah kemusnahan negaranya sehingga ia juga muncul sebagai suatu bangsa yang disegani dunia seperti sekarang.

"Sebab itulah kerajaan kita juga turut mengadakan Dasar Pandang ke Timur. Sejak 1982 hingga 1997 yang lalu, sayalah yang dipertanggungjawabkan dengan tugas sebagai Ketua Program Dasar Pandang Ke Timur itu.

Jadi, dari pengalaman dan penghayatan saya, mengabaikan itu semua pastinya merugikan kita semata-mata," ujar beliau.


Poisoning Emergency/ Information

Article from FB

Our Location

Last Modified: Thursday 10 October 2024.