Mencari Sahabat Dalam Timbunan Mayat

Sumber: Bacaria, 19 Januari 1999
  
Oleh:Sharifah Salwa

Cikgu Razak bertungkus lumus menolong mangsa yang terbabit. Dia bersama Syed Omar dan Pengiran Yusof bagaikan tidak mempedulikan keselamatan diri sendiri. Apa yang penting mangsa-mangsa yang hidup dapat diselamatkan. Tapi apakan daya mereka, kudrat mereka tidak sebanyak mana. Walau dengan pelbagai cara yang mereka lakukan, namun mereka tetap akur dengan kehendak Ilahi. Dengan api yang marak dan bila-bila masa saja akan merebak ke tempat mereka, Cikgu Razak terpaksa meninggalkan Ibu Asrama, biarpun dengan hati yang berat. - Pengarang

Segalanya nampak aman. Semuanya masih berkumpul di atas jambatan sementara menunggu bantuan kecemasan. Begitu juga dengan Cikgu Razak dan dua lagi temannya, dia yang agak sihat terpaksa bekerja keras merawat dan memerhati rakan-rakan yang cedera. Disinilah jelas Cikgu Razak, sikap keprihatinan orang-orang Jepun kelihatan. Biarpun mereka bukanlah anak watan negara Jepun, namun dalam keadaan begini, Cikgu Razak dan dua lagi rakannya diberi layanan yang sama rata dengan mangsa-mangsa yang lain.

"Kami diberi bantuan berupa ubat-ubatan, roti kering dan juga beras. Sebenarnya perangai orang Jepun ni, bila ada peperangan mereka akan menanam barang makanan dalam tanah. Sebab itulah selepas kejadian itu ramai askar-askar Jepun mengali kembali tanah untuk mendapatkan bahan makanan.

"Kami diberi beras yang telah bercampur dengan kca-kaca halus, akibat letupan yang terjadi. (Kebetulan tong beras terdedah dan kaca pecah dan jatuh ke dalam tong berkenaan) Kami ambil dan asingkan beras dengan kaca.

"Kaca yang kasar kami buang, tapi kami lupa dengan kaca-kaca yang halus berserakan di dalam beras. Waktu itu tidak terfikir langsung bahaya yang bakal menimpa kami semua," jelasnya lagi, tempat tersebut menjadi semakin sesak apabila semakin ramai mangsa-mangsa yang terbabit datang ke tempat tersebut dan ada juga ibu bapa dan waris yang datang untuk mencari anak-anak mereka yang dikhabarkan turut terbabit dalam tragedi tersebut.

"Keadaan menjadi kacau-bilau dan riuh rendah. Masing-masing datang mencari anak mereka yang dikatakan terbabit dalam kejadian itu. Tangisan dan raungan menjadi satu dan waris-waris yang terbabit tidak mampu menahan sebak di dada. Saya yang menjadi pemerhati turut sebak. Tapi apa yang mampu kami tolong. Nak cari, bukanlah mudah, kerana mereka yang terkena bom atom tidak mampu dikenali lagi.

"Barulah saya tahu, sewaktu bom itu digugurkan, kesemua mahasiswa seluruh Jepun, berkampung di Hiroshima membuat kerja amal membersihkan kawasan. Jadi bukan setakat penduduk daerah Hiroshima saja yang terbabit, malah hampir keseluruh penduduk di negara Jepun," ujurnya sayu.

Makanan dan juga ubatan semakin susah untuk diperolehi, mangsa yang sakit makin tenat dan kebanyakan mereka tidak mampu bertahan hingga ke pagi. Setiap saat ada saja yang meninggal dunia. Keadaan tersebut tidak ubah seperti di bilik mayat.

"Boleh dikatakan kami tidur dengan mayat. Waktu nak tidur, kami masih mendengar rintihan dan tangisan mereka yang mengharukan. Tapi bila waktu pagi, saya lihat semua mangsa telah kaku dan tidak bernyawa lagi," ujurnya lagi.

Sepanjang malam, Cikgu Razak dan rakan-rakan berteka-teki mengenai ketiadaan rakan baik mereka yang sama-sama datang belajar ke Jepun. Akhirnya Cikgu Razak mengambil keputusan untuk mencari Nik Yusof.

Sewaktu saya mencari Nik Yusof, saya terjumpa dengan warden berbangsa Jepun yang bersama dengan Nik Yusof pada pagi sebelumnya. Sebenarnya saya sendiri tidak mengenali mayat tersebtu, tetapi bila saya lihat `kepala tali pinggang' saya yakin mayat itu adalah warden. Saya ambil tali pinggang tersebut dan berhasrat memulangkan kepada anaknya yang berada di Osaka.

"Bila melihat keadaan itu, saya menjadi semakin tidak yakin Nik Yusof masih hidup. Saya cuba menidakkan perasaan tersebut dan memberikan keyakinan pada diri saya. Saya ingin mencarinya juga, jika benar dia telah meninggal dunia, saya akan kebumikan dia mengikut cara Islam," katanya dia sendiri agak buntu untuk mencari arah Nik Yusof tetapi dalam fikirannya sudah tentulah Nik Yusof mencari perlindungan juka mendapat cedera.

"Bila saya mendapat idea tersebut, terus saya ke hospital Hiroshima. Manalah tahu kalau Nik Yusof terlantar di katil hospital dan tidak sedarkan diri. Sudah tentulah dia tidak mampu menghubungi sesiapa untuk memberitahu keadaan dirinya.

"Tapi apa yang saya lihat memang menakutkan. Memang mengerikan. Bangunan hospital lebur. Mayat bergelimpangan di sana-sini. Usha saya makin menemui jalan buntu. Saya semakin berputus asa. Bagaimana caranya hendak mengenali Nik Yusof sedangkan mayat yang bergelimpangan terlalu ramai dan kebanyakan wajah mereka langsung tidak dapat dikenali," katanya dia langsung tidak dapat mencari Nik Yusof, walaupun agak ralat, tapi dia terpaksa menerima hakikat tersebut dengan hati yang redha.

"Akhirnya saya terpaksa menerima hakikat mengenai kematian Nik Yusof. Jalan terakhir saya mendirikan sembahyang ghaib. Walaupun redha dengan apa yang berlaku, tapi saya masih ingin mengetahui nasib yang menimpa Nik Yusof. Adakah dia benar-benar telah tiada, ataupun dia masih bernafas," kata Cikgu Razak dengan mata berkaca.


Poisoning Emergency/ Information

Article from FB

Our Location

Last Modified: Friday 13 December 2024.