Penduduk Jepun Beri Bantuan

Sumber: Bacaria, 20 Januari 1999
  
Oleh:Sharifah Salwa

Selepas berjaya menyelamatkan mangsa-mangsa, Cikgu Razak dan dua lagi rakannya terpaksa pula membantu mangsa-mangsa yang tercedera. Bekalan ubat yang agak berkurangan sehingga menyebabkan ramai mangsa terkorban setelah mengalami kecederaan serius. Suasana hiruk pikuk itu menjadi semakin teruk bila kaum kerabat datang mencari anak dan saudara mara masing-masing. Dan lebih menyayat hati mereka apabila diberitahu bukan saja penduduk Hiroshima yang terkorban malah mahasiswa dan juga hampir semua pelajar di Jepun telah berkumpul di bandar Hiroshima kerana mereka melakukan kerja amal sewaktu bom atom dijatuhkan di bandar tersebut. - Pengarang

Jika dilihatkan keadaan yang menimpa bandar Hiroshima, tidak siapa yang menduga dia dan dua rakannya terselamat.

"Saya berputus asa untuk mencari Nik Yusof, sepanjang perjalanan saya mendoakan jika benar dia telah meninggal dunia, semoga Allah cucuri rahmat ke atas rohnya. Kalau tidak, pertemukan kami kembali.

"Sesungguhnya kenangan bersama beliau terlalu banyak dan sukar untuk saya lupakan. Kami datang ke sini berempat (salah seorang daripada kami di hantar ke tempat lain) dan mungkin kami akan pulang berdua saja," katanya merujuk dirinya dan Syed Omar.

Oleh itu Cikgu Razak mengambil keputusan untuk pulang ke tempat perlindungan sementara dan berharap bantuan akan menyusul tidak berapa lama lagi. Dia bimbang jika bantuan lambat datang, kesemua mangsa yang ada tidak mampu bertahan lagi.

"Apa yang saya tahu, kesan dari bahan radioaktif memang teruk. Benda itu akan merebak begitu cepat bila ada anggota badan yang tercedera. Mungkin luka tersebut terdedah dengan kuman jika tidak dibersihkan.

"Keadaan kami memang sukar. Selain dari kekurangan makanan, kami juga kekurangan ubat-ubatan dan jalan terakhir hanyalah menunggu pertolongan dari pihak berkuasa. Untuk menunggu itulah yang memungkinkan mangsa-mangsa, ramai yang tidak mampu bertahan dan meninggal dunia sebelum bantuan datang," jelas Cikgu Razak.

Kata Cikgu Razak, semangat kecintaan orang-orang Jepun terhadap negara memang ketara. Malah jelasnya dia amat terharu bila mengingatkan ramai askar Jepun membunuh diri disebabkan tidak mahu menanggung malu. Malah mereka bagaikan membangkang bila perutusan dari istana datang menyatakan negara Jepun mengaku kalah.

"Kata mereka, mereka sanggup berperang dan bertahan untuk selamanya. Maruah negara harus dipertahankan. Kebanyakan daripada mereka tdak sanggup untuk menerima hakikat tersebut, malah ada di kalangan askar tersebut membunuh diri kerana tidak sanggup menghadapi keadaan itu.

"Kata mereka lebih baik mati daripada menyerah kalah. Maruah negara harus diutamakan. Itulah sifat orang-orang Jepun yang terlalu cintakan tanahair mereka. Tapi, saya katakan itu orang-orang Jepun dahulu. Bukannya sekarang," katanya lagi.

Selama seminggu mereka bertahan di tempat perlindugnan dan entah macamana seorang penduduk tempatan telah menawarkan khidmat bantuan kepada mereka bertiga. Mereka bagaikan tidak percaya, dalam keadaan begini, masih ada orang yang sudi membantu mereka. Walaupun berat hati untuk meninggalkan mangsa-mangsa, namun mereka terpaksa juga. Lelaki itu menyatakan rumahnya agak jauh dengan bandar Hiroshima dan agak kurang mengalami kerosakan jika dibandingkan di bandar Hiroshima.

"Semakin jauh jarak tersebut, semakin berkurangan gegaran berlaku. Kerosakkan memanglah ada, tapi tidaklah seteruk di bandar Hiroshima. Di sana kami masih ada tempat untuk berlindung dan keadaannya sudah tentulah agak selesa dari tempat sementara kami. Sebab itulah lelaki itu menawarkan kami tinggal di rumahnya.

"Dalam waktu begini saya amat bersyukur kerana masih ada yang simpati dengan keadaan dan nasib kami. Malah saya amat berterima kasih kerana membenarkan kami tinggal di situ sementara menunggu bantuan seterusnya," katanya lagi.

"Selama dua minggu mereka menerima budi baik lelaki Jepun itu. Dan tidak lama kemudian mereka dikhabarkan bantuan darpada Tokyo telah tiba di bandar Hiroshima. Dengan perasaan sebak mereka ke tempat perlindungan untuk dibawa keperlindungan untuk dibawa ke Tokyo. Sewaktu mengunggu keretapi untuk ke Tokyo, barulah mereka perasan kesihatan Syed Omar agak teruk. Sepanjang hari itu, dia menggigil kesejukan.

"Bila saya periksa seluruh tubuhnya, saya dapati di bahagian belakang tubuh Syed Omar mengalami luka yang agak teruk. Saya terkejut kerana selama dua minggu, Syed Omar tidak menunjukkan tanda-tanda terkena luka radioaktif. Mungkin radiaoaktif mulai membiak dan masuk pada bahagian itu. Dan biasanya luka tersebut cepat merebak ke seluruh bahagian lain.

"Melihat keadaan itu, saya mulai panik. Kesihatanya tidak mengizinkan dan kami terpaksa berfikir berkali-kali. Nak ditinggalkan di Hiroshima, siapa yang boleh menjaganya dan kami sendiri tidak sanggup untuk meninggalkan dia seorang diri. Nak di bawa ke Tokyo, kami bimbang pelbagai kemungkinan akan berlaku ke atas dirinya." katanya lagi. Setelah berbincang bersama dua temannya, mereka mengambil keputusan membawa Syed Omar bersama tetapi akan ditinggalkan bersama Yusof Abu Kadir, penuntut Undang-Undang di Kiuto.

"Yusof sanggup untuk menjaga dan merawat Syed Omar di tempatnya. Dan kami memang tiada pilihan langsung, mahu tak mahu terpaksa meninggalkan Syed Omar dan meneruskan perjalanan ke Jepun. Dalam hati berdoa agar kesihatan Syed Omar akan pulih di bawah pengawasan doktor.


Poisoning Emergency/ Information

Article from FB

Our Location

Last Modified: Friday 13 December 2024.