Hiroshima Hantui Razak

Berita Minggu, 7 Ogos 2005
   
 Oleh: Ziauddin Sharuddin, Ahmad Fauzi Mustafa dan Norakmah Mat Youb

SUASANA Hiroshima pagi itu - Isnin, 6 Ogos 1945, tenang seperti hari sebelumnya. Suhu kira-kira 26 darjah Celcius cukup nyaman. Walaupun Jepun dilanda peperangan, kehidupan di bandar yang berpenghuni 400,000 hingga 500,000 orang, berjalan seperti biasa.

Penduduk sudah lali dengan kehadiran pesawat Tentera Berikat. Mereka segera lari menyorok dalam lubang perlindungan yang ada di mana-mana jika terdengar bunyi deruman pesawat. Penduduk Hiroshima tidak tahu bahawa sesuatu yang amat dahsyat akan menimpa mereka.

Kapal terbang pengebom B-29 yang berlepas dari Pangkalan Udara Tinian di Guam, berada di ruang angkasa Hiroshima pada jam 8.15 pagi. Kira-kira 17 saat kemudian, bom atom (Uranium-235) dilepaskan dan seminit kemudian, bom yang dikenali sebagai Little Boy meledak di udara.

Sasaran awal adalah Jambatan Aioi, tetapi pusat ledakan adalah di atas Hospital Shima, bersebelahan Dewan Promosi Perindustrian Hiroshima yang kini dikenali sebagai Kubah Bom Atom. Natijahnya, kira-kira 60,000 orang terbunuh serta merta! Sesudah Hiroshima, tiga hari kemudian giliran Nagasaki pula menjadi mangsa kekejaman `Little Boy'.

Kira-kira 39 tahun kemudian (1984), statistik melalui Buku Rekod Kesihatan, melaporkan anggaran mangsa yang terbunuh di Hisroshima bertambah enam kali ganda, iaitu seramai 368,000 orang. Ramai yang mati selepas menanggung derita akibat kesan radioaktif bom atom.

Kejadian letupan bom atom di Hiroshima dan Nagasaki sentiasa dikenang sebagai antara tragedi kemusnahan manusia dan alam paling menyayat hati.

Semalam adalah hari ulang tahun ke-60 kejadian itu. Di kebanyakan tempat dunia ini, sambutan diadakan dengan harapan tragedi itu tidak berulang.

Di Hiroshima, Kubah Bom Atom menjadi medan pertemuan rasmi bagi mangsa yang masih hidup untuk mengenang semula detik hitam itu.

Di Kuala Lumpur - Datuk Abdul Razak Abdul Hamid, 80, tidak pernah ketinggalan menyertai sambutan di Hiroshima sebagai tetamu kehormat kerajaan Jepun.

“Hanya tahun ini, saya tidak dapat ke Hiroshima kerana keadaan kesihatan isteri tidak mengizinkan. Sayu tidak dapat pergi.

“Setiap tahun, saya sentiasa menunggu tarikh 6 Ogos kerana seminggu sebelum itu, saya akan berada di sana untuk bertemu semula sahabat lama,” katanya.

Malaysia bertuah kerana tidak memerlukan orang Jepun mengisahkan semula peristiwa itu. Anak jati Pulau Pinang itu Razak adalah satu-satunya mangsa yang terselamat dari Malaysia.

Peristiwa yang dirasakan seperti berlaku semalam itu baginya bukti kezaliman peperangan yang kerana hendakkan kuasa, sanggup membunuh manusia tidak berdosa.

“Zalim...saya hairan memikirkan manusia yang suka membunuh,” kata bekas mahasiswa Universiti Hiroshima itu ketika ditemui di rumahnya di Gombak, Selangor.

Mengimbas kembali kejadian itu, Abdul Razak bersama Pengiran Yusuf dari Brunei tekun belajar matematik dengan Profesor Hiroshi Toda dalam kelas.

Tiba-tiba terdengar bunyi siren. Semua kelam kabut berlari menyorok dalam lubang perlindungan. Kemudian siren berbunyi lagi menandakan keadaan selamat.

Sebaik saja pelajaran bersambung, terdengar bunyi yang sangat kuat. Boom! Bangunan kayu dua tingkat kelas itu runtuh dan turut terperosok di bawah runtuhan kayu.

“Saya tak tahu berapa lama tertimbus. Apabila sedar, saya nampak cahaya samar-samar lalu merangkak ke arah cahaya itu,” katanya yang cedera ringan di kepala.

Selepas berdiri tegak, Abdul Razak terpegun kerana keadaan sekeliling berjerebu dan sebahagian besar bangunan ranap menyembah bumi.

Toda menyuruh Abdul Razak pulang ke asrama, tetapi beliau sendiri tidak tahu mencari arah ke asrama.

Ketika berjalan mencari-cari, Abdul Razak bertemu rakannya dari Kelantan, Nik Yusuf Nik Ali. Seorang lagi rakan senegara ialah Syed Omar Aksagoff.

Nik menjerit: “Razak! Cepat balik tolong kawan-kawan di asrama.” Saya tanya: ”Awak macam mana? Nik berkata: ”Saya sihat, tak ada apa-apa.”

Rupa-rupanya hari itu adalah pertemuan terakhir dua sahabat karib itu. Nik Yusuf kemudian hilang begitu saja.

Selepas menemui asrama yang sudah menyembah bumi, Abdul Razak bertungkus lumus membantu rakan-rakan dan penduduk Jepun yang terselamat hingga petang.

Pada petang itu, berlaku kebakaran besar yang meragut nyawa mereka yang masih hidup.

“Saya nampak di seberang sungai, orang lari ke tebing tetapi dihalang arus deras. Api menggila seperti puting beliung mara menyambar mereka di tebing.

“Api itu seperti bermata, mara ke seberang sungai kawasan saya berdiri melalui sebuah jambatan,” katanya.

Abdul Razak yang melihat tragedi di seberang sungai tidak berdiam diri lalu berlari ke sebuah jambatan lain. Dengan izin Allah, ada sebuah rakit tertambat di situ.

Beliau bersama rakan-rakannya menaiki rakit yang hanya mampu menampung kira-kira 15 orang. Baki di daratan hangus dijilat api.

Di atas rakit pula, beberapa orang yang mungkin kerana terlalu dahaga meminta air. Abd Razak mencedok air sungai dan diberikan kepada orang itu.

Orang itu mati serta-merta selepas minum. Beberapa orang lain juga menerima nasib sama.

“Barang kali kerana air sungai ini penuh dengan mayat, banyak kuman dan perlu dipanaskan terlebih dulu. Tetapi selepas minum air yang dijerang, mereka juga mati.

“Walaupun saya enggan lagi memberikan mereka air, tetapi mereka kata, tak apa, biarlah kami mati asalkan dapat air,” katanya.

Apabila malam menjelma, barulah bantuan ubat-ubatan dan makanan dari tempat lain tiba.

Abdul Razak dan rakan-rakannya bernasib baik kerana seorang penduduk Jepun membawa mereka tinggal di rumahnya selama seminggu.

Pihak berkuasa Jepun kemudian mengesan mereka dan dibawa ke Tokyo. Ketika perjalanan, Syed Omar yang sakit ditinggalkan di Kyoto.

Tiga bulan kemudian, Abdul Razak mendapat tahu bahawa Syed Omar meninggal dunia.

Teka-teki kehilangan Nik Yusuf pula berakhir apabila Abdul Razak menemui nama Nik Yusuf Nik Ali-Malaya di kawasan perkuburan mangsa Hiroshima.

Di Tokyo, hampir sebulan Abdul Razak menerima rawatan kerana kekurangan sel putih dan selepas Jepun menyerah kalah, Amerika Syarikat menguasai negara itu.

Pegawai Amerika Syarikat menemu bualnya dan oleh kerana tidak ada siapa lagi yang menaja pembelajarannya, beliau disuruh pulang ke Malaya.

Setiba di rumah keluarganya di Kampung Baru pada Disember 1945, keadaan kecoh kerana tiada siapa menyangka beliau masih hidup.

Hari ini, peperangan yang berlaku di sana-sini dan bencana alam seperti tsunami menyebabkan Abdul Razak, mudah terkenang balik tragedi Hiroshima dan Nagasaki.

Beliau juga tidak mudah melupakan kata-kata seorang tentera Jepun yang marah kerana negaranya menyerah kalah selepas peristiwa dahsyat itu.

“Razak, kau balik ke negara kau yang makmur, tetapi 20 tahun lagi, Jepun akan bangun semula,” Terbukti kata-kata itu benar. Jepun sudah lama bangkit dari debu kemusnahan.


Poisoning Emergency/ Information

Article from FB

Our Location

Last Modified: Friday 13 December 2024.