RedmiqqBandarpkvBagiqqLonteqqAbangqq788BolaLigadunia365Resmibet66Mega
https://lphd.s-desa.id/desa/https://lphd.s-desa.id/jadwal/https://lini.or.id/yayasan/
http://files.follettcommunity.com/index.html
Haji Abdul Razak Mengimbas Kenangan Dalam Hiroshima in My Heart

Haji Abdul Razak Mengimbas Kenangan Dalam Hiroshima in My Heart

Sumber: Variasari
 Mei, 1989, hal.40-51, 168-171

 Oleh: Rohah Mohd. Yunus

"Rambut boleh dicabut seperti mencabut rumput di padang. Kulit bercerai dengan isi. Ada yang menderita kanser sepanjang hayat.

Peristiwa hitam yang berlaku kira-kira 40 tahun yang lalu masih segar dalam ingatannya hingga kini. Biarpun usianya telah jauh melewati angka setengah abad, namun detik ngeri itu bagaikan baru semalam terjadi.

Satu persatu urutan pengalaman itu dikenang kembali. Bagi Abdul Razak Abdul Hamid, menyaksikan legaran kapal terbang pengebom di ruang angkasa Hiroshima adalah perkara biasa baginya.

Seperti hari-hari sebelumnya, Abdul Razak b. Abdul Hamid (kini Haji Abdul Razak) berjalan kaki ke Universiti Hiroshima untuk menghadiri kuliah pertamanya. Tepat jam 8.15 pagi, dia dan rakan-rakan pun berdiskusi mengenai mata pelajaran Matematik dengan pensyarah mereka.

Sepuluh minit kemudiannya, terdengar siren kecemasan menandakan kapal terbang musuh telah menggugurkan bom di kawasan berhampiran. Setiap kali siren dibunyikan, para penduduk bandar Hiroshima akan berpusu-pusu ke tempat-tempat perlindungan yang telah disediakan.

Abdul Razak yang ketika itu berusia dua puluhan turut bersembunyi sementara di tempat perlindungan tersebut. Tidak lama kemudian siren dibunyikan sekali lagi dan kali ini, sebagai tanda bahawa keadaan sudah tidak membahayakan lagi.

Abdul Razak kembali ke tempat kuliah. Tiba-tiba dengan sekelip mata, kelihatan pancaran cahaya yang diikuti dengan bunyi yang amat kuat dan menggegarkan. Abdul Razak terus menjerit. Ingatannya jadi fana sebentar. Setelah membuka mata, barulah dia dapat mentafsirkan apa yang telah berlaku.

"Masa tu saya tidak tahu apa yang terjadi, sedar-sedar saya berada di bawah timbunan batu-bata. Saya dapat menduga bangunan universiti tempat saya belajar telah runtuh akibat kejadian tadi." katanya dalam pertemuan singkat di rumahnya.

"Saya berjaya melepaskan diri dari runtuhan bangunan itu, apa yang saya lihat waktu itu, bandar Hiroshima jadi bagaikan padang jarak padang tekukur. Saya bertanya pada diri saya; mimpikah aku ini." Dia melanjutkan ceritanya pada pemberita Variasari.

Baju

Baju yang dipakainya berlumuran dengan darah. Setelah diamat-amati barulah diketahuinya bahagian mana yang cedera. Bahagian belakang kulit kepalanya terluka akibat terkena batu-bata. Kecederaaan yang dialami tidak menghalang kemahuan Abdul Razak untuk mengetahui lebih lanjut tentang kejadian yang menimpa masyarakat Jepun.

Perkara pertama yang dilakukan ialah pulang ke asramanya. Dia gagal menemui jalan pulang yang sering dilaluinya. Apa yang didengar dan dilihatnya ialah raungan dan rintihan kedengaran dari segenap sudut.

Dalam keadaan yang rawan itu, dia bertemu dengan seorang kerani bernama Sumida. Kenalannya itu mengalami cedera parah dan terpaksa dikeluarkan dari timbunan batu-bata yang menghimpitmya.

Dengan izin Allah, Abdul Razak bertemu dengan rakan-rakan pelajarnya seramai 8 orang. Kesemuanya, para pelajar asing yang seasrama dengannya. Bersama-sama dengan empat orang lagi rakyat Jepun, mereka menyaksikan pelbagai kepedihan yang dialami oleh mangsa bahan letupan.

Abdul Razak bersama rakan-rakan dan empat orang rakyat Jepun mula berusaha menyelamatkan diri, setelah didapati keadaan bertambah cemas. Di seberang sungai bersebelahan dengan asrama, api mula kelihatan merebak dengan cepat. Satu persatu rumah-rumah mula hangus dijilat api yang menjulang. Tiada harta benda yang dapat diselamatkan.

Tiba-tiba api di seberang sungai mula merebak ke bahagian jambatan yang mereka lalui. Kebetulan di tepi sungai itu terdapat sebuah rakit kecil yang entah dari mana datangnya. Mereka melompat ke atas rakit. Tanpa disangka-sangka, api yang besar menyambar rakit kami. Mereka terus terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan diri.

"Bayangkanlah keadaan kami waktu itu, tercungap-cungap mengambil nafas sambil tenggelam timbul kelemasan. Dengan kuasa Allah s.w.t. rakit tempat kami berlindung itu sedikit pun tidak dijilat api," ujar Haji Abdul Razak.

Kira-kira pukul empat petang, barulah api yang menjulang ganas memusnahkan apa sahaja menjadi reda. Tanpa berlengah mereka terus naik ke atas daratan dan memulakan tugas menyelamatkan orang-orang yang cedera terkena bahan letupan. Walaupun begitu, mereka kurang pasti dan tertanya-tanya malapetaka apakah yang melanda bandar Hiroshima. Di sana sini, kedengaran rintihan dan laungan orang-orang Jepun meminta tolong.

Dalam suasana yang kelam-kabut, penuh kengerian dan kepedihan itu timbul rasa simpati dalam diri Abdul Razak dan rakan-rakan melihat mangsa kemalangan yang hauskan air. Mereka lalu mengambil air dari sungai yang berhampiran lalu memberikan kepada orang-orang yang kehausan itu. Alangkah terkejutnya, sebaik sahaja mereka minum, dengan serta-merta mereka mati. 

PUNCA

Abdul Razak dan rakan-rakan cuba mencari punca sebenar kematian tetapi, usaha itu menemui jalan buntu. Mereka terus mati setelah meminum air yang diberikan. Walaupun air yang diberikan itu sudah dimasak. Lantas Abdul Razak dan rakan- rakannya berhenti berbuat demikian. tidak sanggup lagi menjadi pembunuh kedua selepas bencana yang menimpa.

Abdul Razak dan rakan-rakan mengetahui juga bahawa, mereka yang mati selepas meminum air akibat terkena bahan radioaktif. Apabila seseorang yang terkena bahan radioaktif, mereka akan mula merasa panas seluruh badan. Kemudian merasa kehausan dan menurut pada doktor sesiapa yang terkena bahan radioaktif tidak boleh diberi sebarang minuman kerana ini akan memburukkan lagi keadaan.

Mangsa-mangsa bom atom menurut Haji Abdul Razak menderita begitu teruk sekali. Ada di antaranya mati kehangusan seperti bara dan ada juga yang menderita sepanjang hayat. Ada juga yang kulitnya gugur dari tubuh, malah ada yang daging mereka bergayutan di hujung jari kerana tersangkut pada kuku. Ada yang menderita kanser seumur hidup.

"Rambut mereka boleh dicabut satu-persatu seperti mencabut rumput. Di sekitar kami dipenuhi dengan mayat-mayat manusia yang bergelimpangan. Sehingga pukul 10.00 malam barulah pasukan penyelamat tiba dan pasukan palang merah Jepun terus memberikan bantuan segera." Masa inilah air mata tidak dapat lagi ditahan -tahan. Ibu bapa meraung-raung sambil memanggil nama anak-anak mereka. Namun yang ditemui, debu-debu serta tulang-tulang rangka yang sudah tidak dapat dikenali lagi.

"Kerana tidak puas hati, ada di antara mereka yang terus bergegas ke hospital- hospital untuk mencari orang-orang yang mereka sayangi. Namun keadaan di hospital juga adalah sama. Satu katil sampai tiga hingga empat orang penghuninya. Sementara di luar hospital pula dipenuhi dengan timbunan mayat." Sambung Haji Abdul Razak yang sudah berusia 64 tahun.

Haji Abdul Razak juga menceritakan bagaimana dia dan rakan-rakan terpaksa tidur dengan mayat. Akhirnya dia dan rakan-rakan dipindahkan ke padang universiti. Mereka makan roti kering sebagai pengalas perut. Azabnya Tuhan saja yang tahu.

Di Hiroshima jugalah, gugurnya teman rapatnya, Nik Yusuf dan Syed Omar yang sama-sama belajar di Universiti Hiroshima. Kenangan hitam sukar dilupakan sepanjang hayat. Dia bersyukur pada Allah kerana menyelamatkan nyawanya dan terhindar sebarang kesan radioaktif.

Hasil dari pengalaman luar biasanya itu, Haji Razak telah diberi penghargaan oleh kerajaan Jepun untuk menjadi pelakon utama di dalam sebuah filem dokumentari. Filem yang mengisahkan detik-detik pengeboman Hiroshima itu dilakonkan semula bertujuan untuk menyedarkan semua pihak agar menjauhi peperangan.

"Hiroshima In My Heart" banyak mengimbas kembali saat-saat getir saya semasa bom atom dijatuhkan. Filem ini telah pun ditayangkan ke seluruh Jepun. Hasilnya saya dihujani dengan surat-surat penghargaan dan saya simpan kesemuanya sebagai kenangan," ada kepuasan terpamer di wajah Haji Abdul Razak yang sarat dengan pengalaman.

Haji Abdul Razak kini bertugas sebagai Guru serta Penyelaras Kursus Intensif Bahasa Jepun di bawah program Pandang Ke Timur di ITM, Shah Alam. Dia juga pernah dianugerahkan dengan pingat "Order Of Raising Sun" oleh Perdana Menteri Jepun, Nakasone pada bulan Mei tahun 1983.

Haji Abdul Razak yang periang itu, tetap bersyukur kerana terselamat dari bahana bom atom. Dia juga bersama rakan-rakannya sering dijemput oleh kerajaan Jepun berkunjung ke negara tersebut untuk melawat tempat-tempat bersejarah.

"Di sana ada memorial khas yang sebagai tempat memperingati peristiwa hitam itu. Setiap tahun masyarakat Jepun datang ke situ untuk bertafakur sambil mendoakan keselamatan roh-roh mangsa bom atom," ujar Haji Abdul Razak sambil menghembuskan nafas lega.

"Moga-moga peristiwa itu tidak akan berulang lagi," katanya di akhir perbualan.

 

 


Poisoning Emergency/ Information

Article from FB

Our Location

Last Modified: Monday 18 November 2024.