RedmiqqBandarpkvBagiqqLonteqqAbangqq788BolaLigadunia365Resmibet66Mega
https://lphd.s-desa.id/desa/https://lphd.s-desa.id/jadwal/https://lini.or.id/yayasan/
http://files.follettcommunity.com/index.html
Dadah Rekaan

Dadah Rekaan

Oleh: Dr. Rahmat Awang
          Dewan Kosmik
          01 September 1995

Di negara maju seperti Amerika Syarikat(AS), sejenis kumpulan dadah baru yang dipanggil dadah "designer" telah mula diperkenalkan. Dadah dalam kumpulan ini adalah hasil daripada pengolahan struktur kimia dadah-dadah yang dikenali umum. Ia direka secara haram oleh ahli-ahli kimia di makmal atau tempat yang tidak diiktiraf. Pengolahan dadah ini dilakukan berdasarkan kepada dua alasan utama. Alasan pertama berdasarkan tanggapan bahawa kesan dan jangkamasa tindakannya bergantung kepada struktur kimia dadah.

Pengolahan struktur kimia yang dilakukan terhadap dadah yang sedia ada dapat menghasilkan dadah yang mempunyai ciri-ciri yang dikehendaki berbanding yang asal. Alasan kedua bersandarkan kepada tanggapan bahawa dadah yang dicipta tidak tertakluk di bawah kawalan undang-undang yang sedia ada dan terkecuali daripada sebarang tindakan.

Perkembangan ini merupakan satu gejala baru yang dipandang serius dan dibendung oleh pihak berkuasa. Walaupun benar ada hubungan di antara struktur kimia dan kesannya namun tidak dapat dipastikan sama ada kesan toksik daripada dadah-dadah ini dapat diramalkan. Sebenarnya banyak perkara yang belum diketahui tentang kesemua kesan dadah-dadah ini. Malah, ketulinan dan keseragaman kekuatan dadah yang dihasilkan biasanya tidak menentu. Penghasilan secara haram oleh ahli kimia yang tidak bertauliah, makmal yang tidak lengkap serta kawalan mutu yang rendah sering memberikan hasil yang kurang bermutu dengan kesan sampingan yang membahayakan. Di antara kelompok juga terdapat perbezaan dalam kekuatan dadah yang dihasilkan.

Pada masa ini, dua kelas utama dadah 'designer' telah dicipta dan digunakan secara meluas. Ia terdiri daripada kumpulan feniletilamina dan kumpulan opiod sintetik.

DADAH 'DESIGNER' KUMPULAN FETILETILAMINA

Dadah kumpulan feniletilamina dapat memberikan kesan euforia, peningkatan mood, empati, dan perubahan visual. Keadaan sebenar yang akan dialami oleh seseorang penagih bergantung kepada dos yang digunakan. Pada dos yang rendah, otak akan dirangsang sedikit dan penagih akan mengalami peningkatan keamatan warna dan tekstur serta merasakan diri seolah-olah berada dalam alam fantasia. Pada dos yang besar, menghampiri paras toksik dan penagih akan mengalami halusinasi.

ICE

ICE atau nama sebenarnya mefamfetamina adalah di antara dadah 'designer' terbitan feniletilamina yang pertama dicipta. Terdapat beberapa nama yang digunakan untuk mefamfetamina oleh penagih dadah. Di antaranya termasuklah nama-nama terkenal seperti SPEED, CRACK dan METH. ICE mempunyai kesan tindakan yang cepat dan rangsangan jantung juga berkurangan berbanding amfetamina. Mefamfetamina hanya perlu dihisap untuk mendapatkan kesannya. Kaedah ini amat digemari oleh penagih dadah terutama setelah menyedari bahawa penggunaan jarum meningkatkan risiko jangkitan AIDS. Dengan cara ini, kesannya terus dirasakan dalam masa yang agak panjang iaitu diantara lapan sehingga dua puluh empat jam. Penagih dadah ICE biasanya mengalami paranoia, rasa terdesak, dan sanggup mengambil risiko besar melakukan sesuatu yang membahayakan. Seringkali hasil pembikinannya tercemar dengan kehadiran plumbum dan pembentukan hasil sampingan yang toksik.

LOVE DRUG

LOVE DRUG, iaitu MDA (3,4-metilindioksiamfetamina) mula diperkenalkan dalam tahun 1967. Ia boleh membuat seseorang mengalami euforia dan empati tanpa memberikan kesan halusinasi yang tidak diingini. Penggunaannya yang meluas telah menyebabkan beberapa kematian yang berkaitan dengan hasil sampingan toksik iaitu HMDA (3,4 metilindioksifenil-3-aminobutane) yang terbentuk dalam proses pembikinan LOVE DRUG.

ADAM dan EVE

Dadah ini adalah dari kumpulan feniletilamina yang paling kontroversi sekali. Ia terdiri daripada gabungan MDMA dan MDEA. MDMA (3,4 metilindioksimefamfetamina) bukanlah dadah 'designer' yang sebenarnya. Ia pernah digunakan untuk merawat gangguan psikiatrik pesakit untuk mengenali diri sendiri dengan lebih baik dan meningkatkan keupayaan berkomunikasi. Di kalangan penagih dadah, ia dikenali dengan nama ECTASY, XTC dan ADAM. Ia bertindak pada saraf-saraf tertentu di dalam otak untuk memberikan kesan yang menyerupai LSD tanpa ciri-ciri halusinogen. MDEA (3,4-metilindioksietamfetamina) pula adalah terbitan baru feniletilamina yang mempunyai kesan yang berbeza berbanding dadah halusinogen dan perangsang. Pada dos yang rendah, MDMA dan MDEA berupaya memberikan kesan euforia, empati, dan dapat meningkatkan keazaman diri serta kepuasan dalam melakukan hubungan seks. Namun begitu, keinginan untuk memulakan hubungan seks menurun dan pengguna akan mengalami sedikit halusinasi visual. Selain daripada kesan ini, pengguna juga kehilangan selera makan, tekanan darah yang tinggi, denyutan jantung yang cepat, perpeluhan seluruh anggota, dan pergerakan yang tidak menentu. Kesan sampingan MDMA yang dialami oleh penagih terdiri daripada tekanan darah tinggi, denyutan jantung pada kadar yang cepat dan tidak menentu, serangan panik, resah, tidur yang terganggu, gian, rasa ketakutan, dan serangan depresi.

Kesan Akut Penggunaan Feniletilamina

Apabila digunakan buat pertama kali atau jika dicemari dengan hasil sampingan toksik, pengguna biasanya akan mengalami rasa resah dan panik. Selain daripada itu, pengguna boleh mengalami keadaan depresi, gila, rasa bersalah, dan pemikiran yang tidak menentu. Kesan fisiologi yang dapat dikesan ialah peningkatan sel darah putih, peningkatan paras gula dalam darah, kemusnahan otot-otot, dan peningkatan suhu badan.

Kesan Penggunaan Jangka Panjang Feniletilamina

Kesan jangka panjang feniletilamina biasanya diperhatikan pada penagih yang mempunyai kecenderungan mendapat penyakit psikosis. Ada kes-kes sedemikian yang memerlukan rawatan jangka panjang. Pesakit akan kelihatan mengalami gangguan pemikiran, halusinasi visual, dan auditori serta ilusi yang menakutkan. Kajian pada haiwan menunjukkan kerosakan sel saraf akibat penggunaan jangka panjang.

DADAH DESIGNER KUMPULAN CANDU TIRUAN

Pada lewat tahun 1970an, langkah-langkah penguatkuasan yang ditingkatkan oleh pihak berkuasa AS telah mengurangkan kemasukan heroin ke pasaran negara itu. Bagi mengatasi kekurangan ini, beberapa usaha secara haram telah dibuat untuk mencipta dadah 'designer' dari terbitan fentanil dan meperidin.

Terbitan Fentanil

Terbitan fentanil yang pertama dicipta adalah alfa-metil-fentanil. Ia dijual sebagai "heroin sintetik" atau "China White". Selain itu, terdapat sembilan lagi terbitan fentanil yang telah dicipta dan digunakan. Dadah ini mempunyai kesan seperti heroin dari segi sifat gian dan jangka masa tindakan. Namun begitu, secara amnya terbitan ini adalah lebih kuat iaitu sekurang-kurangnya 40 kali ganda berbanding heroin. 3-metil-fentanil dikatakan mempunyai kekuatan sebanyak 1,600 kali ganda. Dos yang berlebihan boleh mengakibatkan depresi pernafasan terutama sekali jika kandungan sebenar dadah tidak diketahui. Banyak kes kematian yang berlaku menunjukkan keadaan mangsa yang mati dengan jarum masih terbenam di lengan.

Dari sudut kesan tindakan, keupayaan melegakan kesakitan adalah lebih berkesan pada terbitan fentanil berbanding keupayaannya memberikan kesan eufori. Kesan ini dirasakan untuk jangka masa dua hingga empat jam. Tanda-tanda dan simptom keracunan yang ada pada candu juga didapati pada dadah ini seperti miosis (pengecilan mata hitam), penekanan fungsi otak, dan pernafasan yang tertekan. Kes-kes keracunan yang membabitkan dadah seperti ini dapat dirawat dengan pemberian nalokson hidroklorid bagi tujuan untuk melawan kesan opiod.

Terbitan Meperidin

Pada tahun 1982, sejenis sebatian iaitu 'heroin baru' telah diperkenalkan di pasaran gelap di California. Penciptaan dadah ini dianggap sebagai satu kesilapan besar kerana dalam usaha untuk mencipta MPPP (1-metil-4-fenil-4-propionpiperidina), satu terbitan yang menyamai meperidina, MPTP (1-metil-4-fenil-1,2,5,6,-tetrahidropiridina) iaitu satu hasil sampingan yang toksik telah dihasilkan secara tidak disengajakan. Penggunaan MPTP boleh menjejaskan fungsi saraf tertentu sehingga pengguna mengalami sejenis penyakit iaitu "Parkinson Disease" iaitu kekejangan otot dan keketaran di jari-jari. Sebilangan kes Parkinson yang dialami tidak dapat dipulihkan dengan hanya menghentikan penggunaan MPTP tetapi sebaliknya memerlukan rawatan khusus untuk jangkamasa yang agak lama.

Terbitan lain

Beberapa jenis dadah "designer" yang lain tidak mempunyai kesan amfetamina dari terbitan feniletilamina sedang diusahakan. Terbitan 2-CB dan 2-CD sudah mula didapati di pasaran gelap manakala "U-4-E-UH", satu terbitan daripada pil diet Aminorex juga boleh didapati di pantai timur dan barat Amerika.

Penghasilan banyak terbitan-terbitan dadah lain telah membimbangkan banyak pihak. Sikap manusia yang gemar menyalahgunakan suatu ciptaan untuk kepentingan diri dan keuntungan telah membawa implikasi yang buruk terhadap moral dan keharmonian masyarakat.



Poisoning Emergency/ Information

Article from FB

Our Location

Last Modified: Monday 18 November 2024.