Perkembangan Sejarah Awal Farmasi dan Toksikologi

Oleh: Prof. Dzulkifli Abdul Razak
          Dewan Kosmik
          Mei 1997

HASIL daripada sumbangan cendekiawan Arab dan Islam seperti yang telah dinyatakan pada rencana lalu, misalnya Hunayn dan Masawayh, menjadikan bidang farmasi semakin maju mengatasi sumbangan orang-orang Yunani dan Rom. Malah ini telah mempengaruhi perkembangan yang sama di Eropah pada zaman kebangkitannya. Dalam masa yang sama lebih ramai cendekiawan Islam menulis dalam bidang farmasi khasnya dan perubatan amnya. Contohnya Shanaq, Jabir b. Hayyan, al-Zahrawi, al-Biruni dan al-Mubarak.

Bidang Toksikologi dan Alkimia

Selain daripada bidang farmasi dan farmakologi, bidang toksikologi iaitu kajian tentang bahan-bahan racun dan bidang alkimia turut dibangunkan. Asal-usul bidang ini dapat disorot kembali pada masyarakat Yunani, ataupun sebelumnya, yakni pada masyarakat kuno. Melalui bidang alkimia misalnya berbagai teknik, peralatan dan proses telah digunakan untuk membangunkan kaedah untuk mengolah bahan logam. Mereka cuba menukarkan bahan-bahan logam yang kurang berharga kepada emas dan perak dengan menggunakan ilmu alkimia tadi.

Walaupun kejayaan yang dicapai tidak begitu menggalakkan namun berbagai ilmu baru telah digali dan digunakan akhirnya memberi manfaat kepada farmasi. Ramai penulis mencatatkan kejayaan mereka dalam berbagai bentuk teks, bab maupun dijadikan sebahagian daripada penerbitan perubatan yang menekankan tentang aspek racun dan penawarnya. Hal seperti ini terus menggalakkan pertumbuhan toksikologi yang kemudiannya menjadi satu cabang daripada bidang farmasi dan farmakologi. Boleh dikatakan semua bidang ini mempunyai kaitan yang begitu rapat sekali.

Mulai awal abad ke-9, sekumpulan ahli alkimia berkembang. Mereka kemudiannya wujud sebagai kumpulan yang berasingan, lain daripada pengamalan seni merawat. Selepas itu mereka mula merahsiakan amalan mereka dan kesudahan menjadi taksub sehingga ramai yang mengesyaki usaha-usaha yang mereka lakukan. Al-Kindi misalnya (meninggal sekitar 874) meragui tuntutan ahli alkimia sedemikian dan menganggap hasil kerja mereka sebagai palsu dan memperdayakan. Namun melalui seorang tokoh bernama al-Razi (865-925) aktiviti bersangkutan alkimia mula mendapat restu semula dan menjadi petanda mercu bagi bidang tersebut. Malah al-Razi mampu menafikan keraguan yang dilemparkan oleh al-Kindi tentang alkimia.

Al-Razi, Ahli Alkimia, Farmasi dan Perubatan

Al-Razi, merupakan seorang ahli perubatan yang disanjung tinggi dalam sejarah Islam. Beliau merupakan penulis yang berkaliber dan banyak menghasilkan karya dalam berbagai bidang. Beliau juga meletakkan alkimia pada peringkat yang lebih saintifik lagi rasional. Kebanyakan hasil penulisannya mempunyai hubungan rapat bukan sahaja dengan bidang alkimia, tetapi juga farmasi dan perubatan malah boleh dikatakan bahawa beliau banyak mempengaruhi perkembangan alkimia, farmasi dan perubatan sepanjang zaman pertengahan. Dua penulisannya tentang alkimia yang lebih mendapat perhatian adalah al-Asar dan Sirr al-Asrar. Kedua-dua buku ini dianggap karya terbaik pada zaman tersebut khususnya Sirr al-Asrar.

A-Razi juga membuat beberapa pengkelasan bahawa bahan-bahan galian serta peralatan dan radas yang digunakan; begitu juga dengan arahan yang begitu terperinci. Semua ini menunjukkan bahawa beliau mempunyai ilmu yang mendalam berkaitan tatacara, bahan serta teknologi yang terlibat. Ada sumber yang mengatakan bahawa al-Razi mempunyai lebih daripada 100 penulisan, kebanyakan melibatkan sains tabii dan seni perawatan. Ini termasuk komentar abstrak dan penafian berkaitan bidang tersebut. Malah beliau berani memperbetulkan serta menegur pendapat handalan berkaitan seperti Galen, walaupun beliau banyak menghargai sumbangannya.

 

Isi Buku Sirr al-Asrar:
  • Ilmu dan pencarian ubat-ubatan daripada sumber tumbuhan, haiwan dan galian, serta simbolnya dan jenis terbaik bagi setiap satu untuk digunakan dalam rawatan.
  • Ilmu dan peralatan serta radas yang penting bagi alkimia serta apotek.
  • Ilmu dan tujuh tatacara serta teknik alkimia yang melibatkan pemperosesan raksa, belerang (sulfur), arsenik serta logam-logam lain seperti emas, perak, tembaga, plumbum dan besi.

Dalam bukunya Shukuk ala Nazariyat Jalinus beliau menyatakan kesangsiannya tentang ketepatan beberapa konsep, teori dan tatacara baik dari segi perubatan, fisiologi maupun terapeutik yang diutarakan oleh Galen. Selama ini ramai pengikut yang mengikut sahaja teori Galen secara membuta tuli. Penulisan Masayah tentang pemakanan yang terdahulu daripadanya juga tidak terlepas daripada kritikan al-Razi. Beliau juga meneylar kepalsuan tindak tanduk sesetengah doktor dan pengamal perubatan yang sering mengaburi mata orang baik di kota ataupun di desa. Oleh itu mengikut al-Biruni, sumbangan al-Razi pada zamannya terserlah dalam bidang farmasi, farmakologi dan terapi perubatan bukan sahaja di tanah wilayah Islam, tetapi juga Barat dan Byzantium. Sumbangan terakhir beliau dan paling besar adalah ensiklopedia perubatan, al-Hawi fi al-Tibb yang memuatkan semua ilmu perubatan terdapat pada zamannya.

Al-Zahrawi, Doktor dan Ahli Bedah

Farmasi Arab terus berkembang ke Sepanyol dan juga Afrika. Di wilayah-wilayah ini juga terdapat cendekiawan Islam yang tidak asing dalam sumbangan mereka. Umumnya mereka meningkatkan lagi kajian tentang materia medika, farmakologi dan terapi perubatan ke satu tahap yang lebih tinggi daripada yang telah dicapai oleh orang Yunani dan sebelumnya.

Antara nama-nama terkenal ialah Abu al-Qasim al-Zahrawi atau dikenali sebagai Abulcasis dalam penulisan Barat. Al-Zahrawi adalah seorang doktor bedah di Sepanyol pada abad ke-10. Ensiklopedia perubatanya, al-Tasrif, yang begitu komprehensif serta mengandungi banyak pemerhatian baru menjadikan penulisan tersebut satu penulisan teragung pada ketika itu. Hasil karya al-Zahrawi ini terus dikembangkan di Barat melalui terjemahan dan edaran pada abad ke-12 dan selepas itu.
Satu kelebihan al-Zahrawi adalah cara beliau membincangkan tentang bahan-bahan ubat-ubatan.
Al-Zahrawi juga mencatatkan tentang sinonim alatan dan ubat, berat timbang serta sukatannya, `pemeraman ubat', dan bila ubat boleh disalih gantikan dengan yang lain. Penulisannya yang lain merangkumi bukan saja bidang farmasi tetapi pemakanan serta terapeutik. Malah beliau juga amat memberatkan tentang apa yang diperlukan oleh para doktor terhadap bidang perubatan untuk meningkatkan perkhidmatan mereka kepada pesakit.

Al-Biruni, Ahli Farmasi dan Pendita

Abu al-Rayhan al-Biruni (973-1048) merupakan cendiakawan yang amat disegani dalam bukunya, al-Saydanah fi al-Tibb, al-Biruni mendefinasikan ahli farmasi (yakni al-Saydanani) sebagai seorang perofesional yang mengkhusus dalam pengumpulan semua ubat, memilih bahan atau sebatian yang terbaik, serta menyediakan ubat terbaik daripadanya mengikut kaedah dan teknik paling tepat seperti yang disyorkan oleh pakar dalam seni perawatan. Dengan demikian farmasi menjadi bebas daripada perubatan sebagai satu bidang kajian dan amalan. Selain itu farmasi berupaya berfungsi sebagai `alat' untuk membantu dalam penyembuhan, tetapi bukannya sebahagian daripada perubatan.

Sejajar dengan definasi ini, beliau juga menekankan tentang latihan serta pengalaman yang mendalam yang diperlukan supaya ahli farmasi itu betul-betul mahir dalam bidangnya sehinggakan tiada sesiapa yang boleh mengambil alih profesion mereka. Mengikut beliau, ahli perubatan mesti memajukan pengetahuan teori dan pengalaman, kemudian menyerahkannya kepada ahli farmasi berjiwa rakyak untuk mereka menjalankan khidmat profesional yang cemerlang.

Menurut Al-Biruni farmasi adalah satu seni untuk mengenali jenis, bentuk dan sifat fizikal bahan-bahan asas, serta seni mengetahui bagaimana membancuh untuk menjadikannya sebagai ubat mengikut preskripsi doktor. Ahli farmasi mesti berupaya mengganti atau mengenepikan satu ubat dengan yang lain. Namun, mengikut beliau, ilmu bagaimana ubat bertindak pada tubuh manusia, yakni farmakologi, adalah lebih penting daripada kemahiran membancuh ubat semata-mata. Tanpa ilmu ini, seseorang itu tidak akan dapat mencapai matlamat profesionalnya.

Al-Mubarak, Ahli Toksikologi

Al-Husayan b. al-Mubarak, melalui penulisannya, Mundiqh sektiar tahun 1091, telah menonjolkan dirinya sebagai tokoh toksikologi. Beliau menerangkan bahawa terdapat dua perkara yang perlu dihindarkan sedapat yang boleh.

 

Al-Biruni mengkelaskan bahan-bahan yang dimakan kepada tiga bahagian iaitu:
  1. Bahan makanan yang disesuaikan kepada fungsi tubuh dan dihadam serta digunakan untuk mengganti apa yang telah hilang. Oleh itu, bahan makanan mula-mula sekali terjejas oleh tubuh dan kemudian menjejasnya untuk kebaikan sendiri (termasuk penyuburan badan).
  2. Bahan racun yang bertindak ke atas fungsi badan ke tahap paling tinggi dan menyebabkan penyakit atau kematian, bergantung kepada ketoksikan dan potensi racun tersebut, selain daripada ketahanan badan. Beliau menerangkan bahawa ahli toksikologi merupakan satu kelas profesional istimewa yang berupaya merawat pesakit dengan menggunakan bahan racun.
  3. Bahan ubat, terletak antara bahan makanan dan bahan racun, dan efikasi serta kelebihannya sebagai penyembuh bergantung kepada kepintaran, kemahiran dan keterampilan seorang doktor yang mempreskripsikannya. Oleh sebab itu, untuk merawat pesakit, doktor akan lebih gemar menggunakan bahan makanan. Jika ada keperluan, mereka menggunakan ubat asas. Mereka tidak menggunakan ubat bancuhan melainkan perlu.

 

Kaedah perbincangan bahan-bahan ubat-ubatan Zahrawi
  1. Penggurusan, pembasuhan dan pembakaran bahan-bahan galian seperti plumbum, kuprum, arsenik dan juga garam atau sebatian yang diperbuat daripada bahan-bahan tersebut.
  2. Pengekstrakan, pengumpulan, penapisan dan pengawetan bendalir daripada bahan-bahan tersebut.
  3. Pengurusan ubat-ubatan daripada sumber haiwan seperti pembakaran kulit kerang/kepah dan tanduk, pengolahan kulit haiwan, dan pengeringan hempedu untuk rawatan mata.

Pertama, berbentuk rohani seperti perasaan benci, dengki, hasad dan sebagainya. Dengan berbuat demikian, berbagai kesulitan dan penyakit untuk jasmani dan rohani dapat dielakkan.

Kedua, bahaya berkaitan racun yang boleh mendatangkan maut untuk tubuh dalam masa yang paling singkat. Racun merupakan senjata terselindung di tangan musuh untuk membalas dendam dan membunuh. Al-Mubarak prihatin tentang keselamatan gurunya, Wizir al-Mufaddal, yang sering terdedah kepada orang ramai. Oleh itu, beliau memutuskan untuk menulis sebuah buku (yang didekasikan kepada al-Mufaddal) tentang semua jenis racun dan keracunan dalam makanan, minum dan barangan untuk dihidu.

Kemudian beliau menyarankan pula penawarnya mengikut yang terdapat dahulu kala dari merata tempat. Beliau juga menghuraikan tentang tanda-tanda keracunan serta sifat fizikal bahan yang beracun. Penulisannya, dalam tiga bab, umumnya adalah untuk raja-raja dan pegawai tertinggi di mana pengetahuan ini penting untuk keselamatan mereka.

 

PERSONALITI DALAM BIDANG TOKSIKOLOGI

SHANAQ
  • Penulisan : al-Sumum
    Isinya memasukkan perbincangan mengenai racun dan bagaimana racun boleh dikesan. Kaedah pengesanan yang dimuatkan sama ada dengan cara melihat, merasa, menyentuh atau melalui simptom-simptom toksikologi. Turut menghuraikan tentang minuman beracun, makanan, pakaian, ubat-ubatan, kulit mata dan narkotik.
IBN WAHSHIYAH
  • Menghasilkan penulisan dengan pendekatan serupa seperti Shanaq. Turut menulis tentang alkimia, astrologi dan sihir.
ABU MUSA JABIR B. HAYYAN AL-SAFI AL-KUFI
  • Menulis buku tentang racun dan penawarnya dengan pendekatan yang moden. Buku enam bab ini mengandungi kaedah mengenalpasti bahan racun mengikut jenis dan asalnya, cara tindakannya, dos, cara pemberian dan penggunaannya serta orang sasaran. Turut dicatatkan tentang anatomi manusia, empat bendalir berkaitan serta penglibatan ubat-ubatan kepadanya.

Kesimpulan

Tokoh-tokoh seumpama inilah yang sebenarnya menghidupkan ilmu farmasi itu khasnya dan ilmu-ilmu lain yang berkaitan amnya. Ramai juga di antara mereka begitu prihatin tentang soal-soal etika, kemahiran, latihan serta keterampilan yang perlu ada demi untuk kebaikan pesakit masing-masing.

Mulai abad ke-9, dunia Arab dan Islam telah berjaya membina jambatan ilmu yang menghubungkan sumbangan Yunani dan orang-orang seperti Galen dengan dunia farmasi moden sekarang ini. Malah tahap ilmu yang diperolehi daripada tamadun Yunani khasnya terus dipertingkatkan dan usaha ini berterusan sehinggalah ke abad ke-13 melalui berbagai karya asal, terjemahan ataupun pemantapan ilmu pada zaman-zaman berikutnya. Kemuncak sumbangan dunia Arab-Islam dalam farmasi boleh dikatakan tercapai dengan siapnya satu panduan praktik farmasi pada tahun 1260.

Penulisan bertajuk Minhaj itu diusahakan oleh Abu'l-Muna al-Kohen al-Attar dari Mesir. Al-Attar seorang ahli farmasi berpengalaman. Dalam Minhaj, al-Attar memuatkan pengalaman hidupnya serta ilmu dalam seni apotek, atau seni pembancuhan ubat. Sebahagian besar buku itu menghuraikan tentang etika farmasi, judul dalam sejarah profesion kesihatan.

Sementara itu, di bandar-bandar seperti Baghdad, amalan farmasi dimantap dengan rapi sehingga ahli farmasi mendapat perlindungan dan sanjungan daripada pemerintah serta pengguna ketika itu. Lagipun, melalui sebaran perdagangan dunia Islam yang kian meluas, dan tarikan untuk rempah ratus dan bahan ubat, membawa kedudukan yang begitu tinggi kepada profesion farmasi khasnya, dan kesihatan amnya. Dan sebenarnya bidang farmasi Barat adalah berakar umbi daripada farmasi Arab dan Islam.

Malangnya, kurang daripada satu abad selepas al-Attar, amalan farmasi menjadi beku dan kaku, dan terus merosot dengan jatuhnya tamadun Arab pada abad ke 19. Sejak dari itu, farmasi mula bertapak dengan pesatnya di Eropah khasnya dan Barat amnya.


Poisoning Emergency/ Information

Article from FB

Our Location

Last Modified: Friday 13 December 2024.