Perkembangan Farmasi di Eropah dan Barat

Oleh: Prof. Dzulkifli Abdul Razak
          Dewan Kosmik
          Jun 1997

SELEPAS runtuhnya empayar Roman, perkembangan perubatan dan farmasi masih agak gelap. Tidak banyak yang ditokok tambah daripada apa yang telah dipelajari daripada dunia Arab dan Islam sebelumnya. Malah Eropah dengan nama Kristiannya kembali kepada cara-cara rawatan lama yang berasaskan kepada tahyul dan kepercayaan karut dan kuno. Perkembangan sains baru seperti mana yang telah berlaku dalam dunia Arab dan Islam tidak langsung ketara dan agak terpencil. Namun terdapat satu golongan pendita agama yang agak berminat untuk menerokai khazanah ilmu lama yang tersimpan dalam kuil-kuil. Salah seorang dalam golongan ini dikenali sebagai Cassiodarus. Di dalah satu daripada kuil yang didirikannya, pendita agama mula mengkaji dan menyalin manuskrip lama. Disinilah mereka mula berkenalan dengan penulisan perubatan terdahulu. Kemudian wujud beberapa kuil yang turut menjalani aktiviti yang sama, baik dalam bahasa Latin, Yunani maupun Arab. Melalui ini, terbitlah kesusteraan dalam bahasa lain seperti Inggeris kuno, Perancis dan Jerman di samping memberi sumbangan kepada farmasi melalui penanaman taman-taman herba.

Walau bagaimanapun, sikap orang-orang barat tentang farmasi dan terapi ubat- ubatan berubah dengan begitu ketara sekali apabila penulisan-penulisan orang Arab dan Yunani mula tersebar luas di Eropah Barat secara menyeluruh.

CONTOH-CONTOH PENGARUH ARAB DAN ISLAM

Sekitar abad ke-10 dan ke-11, dua pusat pendidikan muncul, satu di selatan Itali (Salerno) dan satu di Sepanyol (Toledo). Di sinilah kerja-kerja terjemahan dijalankan. Misalnya di Toledo, penulisan besar Yunani seperti Hippocrates dan Galen diterjemahkan, begitu juga dengan penulisan Arab seperti Ibnu Sina dan Al-Razi. Mereka telah diperkenalkan seperti Avicenna dan Rhazes. DI Salerno pula, seorang bernama Constantine yang fasih berbahasa Arab, Farsi dan Yunani menggalakkan pelajarnya menterjemahkan apa saja yang ada ke dalam bahasa Latin. Bahkan buat kali pertamanya, beberapa terjemahan lengkap didapati di Eropah Barat, berbanding dengan cebisan-cebisan seperti mana yang diwujudkan oleh golongan di kuil-kuil.

Sekolah-sekolah di Salerno bolehlah dikatakan universiti pertama di Eropah yang banyak bertanggungjawab menyumbangkan kepada perubatan dan farmasi. Karya-karya lain yang dihasilkan dari tempat ini termasuklah Passionarius Galeni, Cirna instantsdan Tacurinum sanitatis yang ditulis oleh pengamal perubatan Itali menggunakan sumber-sumber tertentu seperti manuskrip Arab. Satu lagi penulisan, Antidotarium magnum menyenaraikan 485 formula ubat dan lebih kurang 200 daripadanya adalah agak ringkas untuk kegunaan orang-orang miskin (pharmacopoeia pauperum). Antidorium nicolai yang terhasil kemudian adalah untuk kegunaan pelajar-pelajar perubatan. Edisi awalnya mengandungi 115 formula ubat dan kemudiannya bertambah kepada 175. Kebanyakan daripada formula ini mengandungi gula dan madu yang membolehkan ubat-ubatan disimpan dengan agak lama serta digunakan apabila perlu. Penjual adunan formula ini merupakan ahli- ahli farmasi terawal di Eropah dan kedai-kedai pula merupakan kedai terawal di Eropah.

Sehingga abad ke-13, masih terdapat beberpa penulisan yang dikaitkan dengan sumber-sumber Arab dan Islam kali ini misalnya Al-Jabir. Ini disertai oleh lebih banyak aktiviti lain bersangkutan dengan perubatan khusus serta farmasi khususnya termasuklah pembinaan pusat-pusat pendidikan dan universiti di merata tempat seperti Paris, Padua, Bologna, Oxford, Cambridge serta Montpellier. Ini menunjukkan bahawa pengaruh perubatan dan farmasi Arab adalah begitu kuat dalam pembangunan farmasi di Eropah dan Barat amnya.

PERTUMBUHAN AMALAN FARMASI DI BARAT

Di Kota Montpellier, Perancis sekitar tahun 1180 terdapat satu ikrar yang dikenakan kepada sekumpulan yang diandaikan ahli-ahli farmasi pada ketika itu. Ikrarnya berkaitan dengan aktiviti ahli farmasi dalam mengawal ubat-ubatan. Di Itali juga antara tahun 1231 dan 1240, Maharaja Frederick II pula meluluskan satu bentuk perisytiharan bergelar Contitutiones yang merangkumi apa yang dikenali sebagai Magna Carta Farmasi. Ini semua menampakkan susunan serta aturan yang mula timbul dalam mengawal amalan farmasi pada masa itu.

Perisytiharan itu juga menetapkan fungsi ahli farmasi, kaitannya dengan ahli perubatan serta tanggungjawab moral mereka. Contitutiones itu akhirnya meliputi keseluruhan Eropah dalam usaha melindungi orang awam, di mana kedai dan amalan farmasi dikenakan kawalan rasmi seperti mana yang dilakukan di dunia Arab-Islam. Kedai-kedai farmasi di Eropah pada masa itu telah menampakkan pengaruh Arab walaupun nama panggilannya berlainan. Bahan-bahan jualan mereka terdiri daripada berbagai jenis, tidak terhad kepada materia medika Yunani, Roman atau Arab sahaja. Terdapat juga beberapa jenis bancuhan lain yang mengambilkira dongeng maupun sihir barat pada zaman itu.

Pada ketika yang sama, tumbuh juga kesatuan-kesatuan farmasi di mana ahli perubatan dan ahli farmasi bergabung tenaga bersama. Ada juga kesatuan yang ahli farmasi dengan perniagaan rempah-ratus. Ia lebih dijenali dengan nama panggilan yang berbeza seperti apothecarius, especiador, especier, speziale, spicer maupun pepper.

Di England mereka bergabung dengan penjual lada hitam dan rempah-ratus dan dikenali sebnagai "Company of Grocers". Tujuannya adalah supaya masing- masing dapat mewujudkan monopoli di sesebuah bandar sekalugus melindungi perniagaan mereka dari segi kawalan harga serta mutu barangan yang dijual. Ia juga bertujuan mengawal latihan serta menetapkan peraturan bagi sesiapa yang ingin melibatkan diri di dalam bidang tersebut. Di Itali misalnya pada pertengahan abad yang ke-14, kesatuan farmasi dimonopolikan kepada lebih kurang 200 barangan termasuk buku dan lilin. Ini menunjukkan betapa sukarnya mencari nafkah melalui urusan perniagaan ubat-ubatan.

FARMASI DI BRITAIN

Secara ringkasnya, amalan farmasi di England pada peringkat awalnya tidak banyak beza dengan apa yang telah dinyatakan. Di antara abad ke-12 dan ke-14, ubat-ubatan serta rempah-ratus orang Arab mula digunakan oleh pengamal herba Britain. Ianya diperkenalkan oleh pedagang-pedagang laut. Di London misalnya aktiviti peniaga sayur-sayuran serta peniaga lada hitam atau pepper, dan peniaga rempah-ratus atau spicer mula bertindihan. Brang impot mereka selalunya serupa. bagi mengelakkan keadaan ini, mereka bergabung bersama ahli-ahli farmasi yang dikenali sebagai apoteker dalam satu gabungan bergelar Company of Grocers. Walau bagaimanapun apabila bilangan ubat-ubatan meningkat dan jenis pil berbeza-beza, beberapa kemahiran baru dperlukan untuk mengendalikan aktiviti mengadun serta mengilangnya. Oleh kerana itu, gabungan yang telah diwujudkan ini menjadi kurang sesuai dan membawa kepada perpecahan pada tahun 1617. Dengan itu terbentuklah Persatuan Ahli Apoteker atau Society of Apothecaries. Dalam dua abad yang kemudian, pemisahan di antara perubatan dan farmasi pula berlaku. Serentak dengan itu golongan yang dikenali sebagai druggist dan chemist mula berperanan aktif sebagai pembekal ubat-ubatan. Mereka ini kemudiannya menjadi pemborong dan akhirnya pengilang ubat-ubatan. Pada pertengahan abad yang ke-18, satu gabungan baru di bawah naungan Pharmaceutical Society pula diwujudkan. Dengan itu wujudlah farmasi sebagai satu disiplin khasnya di Britain dan Eropah.

Pemisahan farmasi dengan perubatan dan menjadikannya satu bidang disiplin tersendiri sememangnya telah diduga. Satu-satunya peristiwa yang mangarah kepada perkembangan tersebut adalah hasil seorang yang dikenali sebagai Paracelsus. Beliau merupakan seorang ahli perubatan, ahli falsafah, ahli kimia dan ahli nujum Swiss pada abad yang ke-16. Sumbangan teragungnya adalah mengutarakan beberapa prinsip baru tentang jasad manusia yang jauh lebih tepat berbanding dengan teori sebelumnya. Paracelsus memberi pengertian baru kepada kefahaman penyakit dan rawatannya menggunakan ubat-ubatan.

Sehubungan itu, berbagai bentuk ubat lain dicipta-tintur dan diekstrak berasaskan bahan-bahan kimia yang diadun dan diproses khas. Cara ini menjamin pengasingan bahan-bahan kimia yang lebih tulen dan membuatkan ubat-ubatan itu lebih berkualiti. Beliau juga memperkenalkan logam-logam seperti berat-raksa, plumbum, kuprum emas dan besi sebagai bahan ubat melalui pendekatan serta teknik pengasingan yang berlainan. Tambahan pula, sebahagian daripada pendekatan Paracelsus ini mempunyai kaitan dengan amalan Arab-Islam daripada kefahaman alkimia.

Semua ini ditunjuk ajar kepada ahli-ahli darmasi sebagai satu kemahiran baru yang bertanggungjawab menyedia ubat-ubatan tersebut untuk kegunaan ahli perubatan. Kian lama hubungan farmasi dengan kimia menjadi lebih rapat serta banyak penulisan dihasilkan berasaskan pertalian ini walaupun selepas kematian Paraceksus (1541). Akhirnya pengaruh Galen dilenyapkan oleh pengikut Paracelsus yang bertapak di Universiti Montpellier. Revolusi dalam bidang farmasi bermula apabila ubat-ubatan disediakan secara kimia.

Selaras dengan ini, perubahan besar juga berlaku kepada ahli-ahli farmasi dan kedai-kedai farmasi. Di Itali misalnya mulai awal tahun 1429, latihan ahli farmasi mula diawasi dan harga ubat-ubatan dikawal. Walaupun pemisahan antara amalan farmasi dan perubatan telah mula berlaku, namun mereka tetap bekerjasama dan kadangkala berkongsi menawarkan perkhidmatan masing-masing. Ini berlanjutan untuk berabad-abad lamanya. Di Sepanyol pula, persatuan ahli-ahli farmasi dan amalan profesionalnya diberi pengiktirafan diraja. Dan mereka yang tidak aktif selama dua tahun tidak dibenarkan mengamal farmasi. Persatuan ini juga mengawasi ahli-ahlinya dan mengambil tndakan kepada mereka yang menyalahi etika amalan farmasi. Berbeza halnya di negara Jerman, kerajaan memainkan peranan penting untuk mengawasi amalan farmasi.

Pembancuhan ubar pula perlu mengikut formula yang disahkan, begitu juga dengan harga. Di sesetengah negara, terdapat apotek khas yang dilantik untuk kaum kerabat diraja sahaja seperti di England, Sepanyol, Perancis dan Jerman. Semuanya ini menunjukkan kepada kita betapa ahli serta amalan farmasi mula berperanan dengan meluas dan menerima pengiktirafan sebagai satu kerjaya yang unggul serta dihormati.

Kedai-kedai farmasi juga mula tumbuh di bandar-bandar kecil dan dihias secara berlainan membezakan dengan kedai-kedai runcit lain. Berbagai jenis dan bentuk botol ubat umumnya dikenali sebagai 'Pharmacy Jar' disusun dalam kedai farmasi, begitu juga dengan beberapa alat seperti alat timbang, lesung dan alu yang amat berguna untuk membancuh ubat. Ada juga kedai yang mempunyai ruang khas untuk tujuan membancuh ubat ataupun makmal kimia yang berkaitan dengan amalan pembikinan aau pembuatan ubat. Jenis ubat-ubatan yang disimpan bukan sahaja terdiri daripada resipi lama, tetapi termasuk juga bahan kimia baru yang diperkenalkan selaras dengan perkembangan ilmu farmasi itu sendiri.

Satu perkara lagi yang banyak merombak amalan farmasi adalah kedatangan era percetakan. Ini telah membolehkan beberapa buku rujukan dicetak dan diedarkan. Bermula pada abad ke-15, buku-buku tentang herba disusun termasuk gambarajah serta lukisan yang berguna untuk mengenal pasti tumbuh-tumbuhan berkenaan. Penerbitan ini dilakukan dalam berbagai bahasa seperti Belanda, Jerman, serta Latin. Sebahagiannya menerangkan bagaimana tumbuh-tumbuhan ini bertindak. Ada juga yang memmuatkan sumber-sumber yang terbit daripada haiwan dan galian.

Satu lagi mentuk penerbitan adalah buku panduan farmasi. Salah satu daripadanya diasaskan pada penulisan Saladin, misalnya Lumen apothercariocum bermaksud `Cahaya Kedai Apoteker' yang dicetak di Itali pada tahun 1492. Buku ini kemudiannya diperluaskan sebagai Luminare majus oleh seorang farmasi bernama Jacobus Manliis de Bosco.

Namun begitu percetakan jenis yang ketiga lebih mendatangkan kesan kepada amalan farmasi. Ia dikenali sebagai `farmakopia,' kadangkala dipanggil dengan nama dispensatorium (tetapi ia tidak popular lagi). Ini merupakan hasil kerja baik individu mahupun sekelompok penulis ataupun organisasi farmasi serta perubatan. Walau bagaimanapun, tujuannya adalah untuk memberikan formula- formula tertentu seperti mana yang telah disahkan oleh pihak yang berwibawa. Di samping itu ia mencatatkan arahan untuk membancuh sesuatu ubat yang disenaraikan selain daripada memberi pengawalan keapda komposisi serta kekuatannya. Di antara farmakopia terawal adalah Dispensorium pharmacopolarium. Penggunaan farmakopia sehingga hari ini menjadi sesuatu yang dimestikan dalam amalan-amalan farmasi, khususnya apabila membancuh ubat. Akhirnya farmakopia menjadi simbol penglibatan kerajaan dalam perlindungan kesihatan umum kerana jaminan tentang apa yang didispenskan oleh ahli farmasi seperti yang termaktub dalam farmakopia tersebut.

Memandangkan semua ini, farmasi menjadi salah satu bidang yang ditunjuk ajar di peringkat universiti di Eropah dan terus mencetuskan satu revolusi farmasi moden dalam abad-abad yang akan datang. Pendek kata, amalan farmasi, menjadi satu bidang bebas dan berasingan dalam penjagaan kesihatan dan mempunyai satu status profesional serta sosial di kalangan masyarakat umum.

G L O S A R I
apoteker istilah lama untuk farmasi. Di sesetengah negara seperti Indonesia, perkataan ini masih digunakan dengan meluas.
farmasi bidang kajian tentang setiap aspek ubat-ubatan
farmakognosi bidang khusus meneliti tentang bahan-bahan ubat daripada sumber tumbuh-tumbuhan
farmakologi bidang khusus yang meneliti tentang tindakan ubat- ubatan di dalam badan manusia mahupun haiwan. Bidang ini berkait rapat dengan farmasi.
formulasi satu susunan rujukan rasmi yang menghuraikan tentang ubat-ubat dan ciri-cirinya
farmakopia satu bentuk formulari yang lebih terperinci dan berwibawa.
materia medika bahan-bahan asas ubat daripada sumber semulajadi khususnya tumbuh-tumbuhan
mikrobiologi kajikuman

FARMASI PADA ABAD KE-19

Walau bagaimanapun, dengan perkembangan sains yang lebih pesat pada sekitar abad ke-18, berbagai lagi pengaruh dapat dirasai dalam bidang farmasi. Misalnya, farmakopia telah mengalami satu penilaian di mana hanya ubat-ubatan yang benar-benar terbukti mujarab sahaja akan disenaraikan di dalammya. Banyak bahan-bahan materia medika yang diragui digugurkan daripada farmakopia moden. Dengan cara penelitian seumpama ini, bidang farmasi mula berubah menjadi satu bidang berasaskan sains. Berbagai ujian mula dijalankan, begitu juga penyelidikan tentang keselamatan sesuatu ubat itu dilakukan terhadap haiwan. Bahan-bahan kimia yang terlibat juga dikenalpasti. Ini semua menyakinkan orang ramai tentang kedudukan bidang farmasi sebagai salah satu bidang sains moden. Pada penhujung abad ke-18, farmasi diberi taraf sosial yang tinggi dan diiktiraf sebagai pengamal kesihatan yang berwibawa khususnya di Eropah. Malah ada yang telah mula menjadi pengamal perubatan dan menyebabkan perbalahan antara dua profesion ini.

Memandangkan farmasi sudah menjadi satu bidang sains, ini menarik para saintis seperti ahli kaji tumbuhan (ahli kimia) dan ahli perubatan untuk memperkembangkan lagi bidang tersebut. Lebih banyak bahan-bahan ubat ditemui dan digunakan. Satu bidang yang turut berkembang adalah bidang tembikar kerana ahli farmasi memerlukan bekas-bekas tertentu untuk menyimpan bahan-bahan ubat mereka. Ini sekalu gus memperkenalkan satu industri baru. Permintaan untuk barangan dan bekas tembikar meningkat apabila lebih banyak kedai farmasi dibuka di merata Eropah.

Dengan bermulanya abad ke-19, disertai pula dengan kepesatan pencapaian sains dan teknologi secara umum, bidang farmasi terus berkembang. Malah berbagai bidang pengkhususan kecul mula diperkenalkan seperti bidang kimia farmasi, farmakognosi, farmakologi dan mikrobiologi. Berikutan cetusan revolusi industri di Eropah wujud beberapa lagi bidang baru seperti teknologi farmasi atau farmasi industri. Setiap satu daripadanya ada kaitan dengan pengetahuan sains serta perubatan yang terus menyokong farmasi sebangai satu bidang profesional. Kesemua bidang pengkhususan ini hingga sekarang sebagai bidang yang perlu dalam pengajian farmasi di institusi pengajian tinggi di merata dunia. Malah terus berkembang lagi dengan wujudnya beberapa bidang baru dari masa ke semasa.


Poisoning Emergency/ Information

Article from FB

Our Location

Last Modified: Friday 13 December 2024.