Mencegah Jangkitan Cacing (Bahagian 1)

Oleh: Prof. Madya Mohamed Isa Abd. Majid
          Dewan Kosmik
          Mac 2000

Ubat mencegah jangkitan cacing merupakan ubat yang digunakan untuk membasmi  jangkitan parasit cacing di dalam badan manusia. Masalah ini agak ketara kerana dianggarkan 4.5 billion penduduk dunia menghadapi masalah kecacingan yang disebabkan oleh pengurusan sisa najis yang tidak sistematik serta keadaan ekonomi yang tidak membolehkan program pencegahan kecacingan dilaksanakan. Perlu diterangkan bahawa cacing dianggap sebagai parasit kerana manusia sebagai perumah tidak mendapat sebarang keuntungan dari perkongsian hidup dengan cacing tersebut. Perumah dalam ini memberi makanan kepada parasit cacing di samping memberi perlindungan kepada cacing daripada pengaruh persekitaran. Malahan manusia sebagai perumah akan menderita disebabkan oleh kecederaan organ akibat pembiakan parasit atau pengambilan makanan yang diperlukan oleh manusia. Bahana daripada pengambilan makanan yang banyak oleh parasit ini, lama kelamaan tubuh manusia akan menjadi lemah, tidak berupaya untuk melawan jangkitan. Sekiranya perumah yang dijangkiti adalah kanak-kanak, maka mengambilan makanan oleh parasit cacing akan menyebabkan proses pembesaran kanak-kanak boleh terencat. Dalam hal kecederaan pula, sekiranya kecederaan yang dilakukan secara tiba-tiba atau teruk, perumah mungkin mati dengna cepat.

   Jenis-jenis Kecacingan Yang Boleh Terjadi   

Beberapa jenis cacing telah didapati boleh memasuki tubuh manusia dan hidup di saluran pemakanan manusia dengan menumpang makanan yang diambil oleh manusia. Di antara kumpulan cacing ini ialah cacing kerawit, cacing gelang dan cacing rambu.

Cacing kerawit mempunyai kulit yang licin dan tidak ditandai oleh gegelang sam seperti cacing gelang. Di antara cacing yang tergolong di dalam kumpulan ini ialah Abcylosotoma duodenale dan Necator americanus. Cacing kerawit bergantung kepada darah perumah yang disedut melalui struktur gigi pada bahagian mulut cacing yang akan mencengkam dinding saluran usus kecil. Jumlah darah yang dihisap mungkin banyak dan kehilangannya menyebabkan anemia yang merupakan satu gejala utama penyakit yang disebabkan oleh cacing kerawit.

Gejala penyakit cacing jenis ini yang lain termasuklah kurang hadam makanan, hilang selera makan, pening kepala, batuk, muntah dan rasa mual. Kitar hidup cacing jenis ini bermula di dalam perumah melalui persenyawaan cacing betina dan jantan untuk menghasilkan telur di dalam najis manusia atau perumah lain. Apabila telur menetas menjadi larva, perkembangan larva berlaku sampai ke peringkat yang yang menyebabkan larva tersebut bersedia untuk mengjangkiti perumah baru. Kemasukan larva ke dalam perumah terjadi sama ada melalui mulut yang berlaku melalui pengambilan makanan yang tercemar atau melalui penembusan tapak kaki yang disebabkan oleh larva yang berupaya mengorek masuk ke dalam kulit. Semasa kemasukan melalui tapak kaki, perumah akan mempunyai tanda seperti kulit kaki menjadi kemerah-merahan dan membengkak.

Sama seperti cacing kerawit, cacing gelang juga merupakan parasit yang hidup di dalam usus kecil manusia. Di antara cacing-cacing yang tergolong dalam kumpulan ini ialah Ascaris lumbricoides dan Ascaris suum. Di dalam manusia, persenyawaan di antara cacing betina dan jantan akan menghasilkan telur dan cengkerang tebal yang dibebaskan keluar badan manusia. Cengkerang tersebut membolehkan kemadirian yang tinggi untuk larva cacing. Pencemaran sisa najis ke atas bahan makanan yang dimakan mentah merupakan punca utama kemasukan telur ke dalam tubuh manusia. Apabila telur ditelan oleh manusia, larva akan menetas dan larva yang dibebaskan akan serta merta mengorek dinding usus kecil. Larva ini juga boleh memasuki saluran darah untuk sampai ke hati dan membiak di dalam hati. Semasa peringkat pe,besaran di hati, kerosakan hati manusia boleh berlaku apabila bilangan larva cacing terlalu banyak. Selain hati, larva cacing boleh juga memasuki organ lain seperti paru-paru dan jantung untuk menyebabkan kerosakan kedua-dua organ tersebut. Dengan demikian, cacing jenis ini seringkali boleh menyebabkan kematian perumah melalui kerosakan organ seperti jantung, paru-paru, hati, hempedu sehinggalah ke otak.

Cacing rambu juga dikenali sebagai cacing benang mempunyai saiz berukuran dua hingga lima milimeter. Jenis cacing yang tergolong dalam kumpulan ini termasuklah Enterobius vermicularis. Kebiasaannya cacing jenis ini dapat diperhatikan dengan mata kasar di dalam najis melalui sifat warna keputihan dan berbentuk agak gelendong. Di dalam manusia, cacing ini biasanya matang pada bahagian kolon atau usus besar tetapi mempunyai keupayaan untuk bergerak ke usus kecil atau luar perut dan luar dubur. Selepas persenyawaan berlaku, cacing betina akan meninggalkan telur yang akan melekat pada dinding dubur. Proses telur melekat ke dinding dubur dicapai melalui lendir yang akan menyebabkan kegatalan pada bahagian tersebut. Sekiranya digaru dengan menggunakan jari, telur cacing akan dipindahkan ke jari dan menyebabkan jangkitan semula kepada perumah yang sama atau perumah baru dalam keadaan jari yang tercemar dimasukkan ke dalam mulut. Cara demikian merupakan cara yang lazim bagi jangkitan cacing rambu kepada perumah baru terutamanya di kalangan kanak-kanak sekolah. Di antara tanda-tanda jangkitan cacing jenis ini adalah pemakanan tidak hadam, gatal-gatal pada bahagian dubur terutama sekali pada waktu malam, keletihan akibat tidur yang tidak nyenyak dan jangkitan pada dubur akibat aktiviti menggaru.


Poisoning Emergency/ Information

Article from FB

Our Location

Last Modified: Friday 13 December 2024.