Warga Tua Perlu Waspada Terhadap Ubat

Oleh: Dr. Mohamed Izham Mohamed Ibrahim
          Dewan Kosmik
         Mac 2002

Sesetengah negara mentakrifkan warga tua sebagai golongan masyarakat yang berumur melebihi 65 tahun dan ada pula mengambil kira umur melebihi 60 tahun. Walau apapun, apabila kita membicarakan tentang ubat dan penyakit, golongan warga tua adalah seperti populasi/kumpulan masyarakat lain, malah boleh kita kategorikan mereka sebagai subpopulasi masyarakat yang perlu diberikan lebih tumpuan berbanding kumpulan lain seperti kanak-kanak atau golongan dewasa-muda atau dalam bahasa inggerisnya -"young adults".

Secara umumnya, golongan warga tua menghadapi penyakit kronik (seperti darah tinggi/hipertensi, kencing manis/diabetis, lemah jantung). Sesetengah daripada mereka mengambil lebih daripada satu jenis ubat. Kebiasaannya mereka terpaksa mengambil lebih daripada tiga jenis ubat dan kadangkala ada individu yang mengambil lapan atau sembilan jenis ubat. Ubat-ubat ini perlu diambil dalam jangka masa panjang atau dalam erti kata lain "sepanjang hidup". Keadaan ini akan memudahkan golongan warga tua terdedah kepada kesan sampingan dan kesan mudarat ubat serta mungkin maut akibat salah guna ubat-ubat ini. Walaupun jumlah peratusan warga tua didalam masyarakat berbanding dengan kategori yang lain adalah cepat. Golongan ini mempunyai jangka hayat yang lebih lama, menghadapi penyakit kronik dan menggunakan banyak ubat kebanyakannya dengan harga yang mahal. Sesetengah daripada mereka mengambil produk farmasuetikal tambahan seperti vitamin dan mineral atau produk nutrasuetikal dan traditional untuk mencegah penyakit dan mengekalkan kesihatan mereka. Ini membawa implikasi kepada negara kerana kos penjagaan kesihatan yang tinggi bagi golongan ini. Namun, ini merupakan fenomena global terutamanya pada negara-negara maju dan yang sedang membangun.

Tumpuan sektor farmasuetikal pula ialah mencari dan mengusahakan "penawar" kepada penyakit-penyakit kronik. Banyak ubat-ubat baru dan inovatif telah dibangunkan dan harganya amat mahal. Hasil daripada ini, jumlah kematian akibat penyakit kronik dapat dikurangkan atau dilambatkan. Tetapi ini bukan bermaksud golongan warga tua bebas daripada kesan mudarat ubat atau bebas daripada sikap acuh tak acuh terhadap aktiviti pengambilan ubat.

PROSES PENUAAN

Proses penuaan bukan saja melibatkan seseorang menjadi tua dari segi umur malah ia juga melibatkan proses perubahan fisiologi, fizikal, emosi, mental dan sosial, malah sesetengah orang berpendapat faktor ekonomi turut terlibat. Semua ini mempengaruhi kesihatan dan kesejahteraan golongan tua. Tambahan pula, penyakit dan aspek mental banyak memberi kesan terhadap betapa cepatnya proses penuaan seseorang. Jika diperhatikan sekeliling kita, kita dapati sesetengah warga tua mampu berjogging di waktu pagi dan petang, berkebun atau melakukan kerja harian. Sebaliknya, terdapat warga tua yang terlantar dan aktiviti hariannya terhad akibat penyakit yang dialaminya. Umur saja bukanlah faktor penentu terhadap perbezaan ini tetapi banyak faktor lain yang menentukan keupayaan individu melakukan aktiviti harian.

Proses penuaan banyak dipengaruhi oleh faktor genetik. Fungsi sistem-sistem organ dalam badan mengurang apabila umur seseorang meningkat. Buah pinggang, jantung, hati dan sistem saluran darah contohnya tidak dapat berfungsi dengan berkesan berbanding dengan semasa beliau muda. Tenaga seseorang warga tua juga berkurangan. Penuaan turut dikaitkan dengan kejadian penyakit kronik. Kebanyakan individu mendapat penyakit kronik disebabkan faktor genetik yang diwarisi daripada ibu bapa dan nenek moyang mereka. Penyakit seperti penyakit jantung, kanser, diabetis dan tahap kolesterol yang tinggi adalah penyakit keturunan seperti mewarisi warna mata dan warna serta jenis rambut. Sistem imun turut terjejas apabila kita semakin tua sehinggakan tubuh gagal mengawal dengan baik serangan kuman, bakteria dan virus. Kesemua ini menjelaskan mengapa warga tua sentiasa terdedah kepada bahaya penyakit.

Aspek-aspek emosi dan psikologi mempunyai kesan yang besar kepada kesihatan dan kesejahteraan serta proses penuaan seseorang. Walaupun seseorang warga tua itu kelihatan sihat secara fizikal, dia masih mempunyai risiko yang tinggi kepada penyakit mental seperti nyanyuk, kemurungan, tekanan dan masalah takut serta bimbang yang tidak normal. Mereka turut mengalami masalah kehilangan ingatan.

Masalah ini menjadi rumit apabila ditambah dengan masalah sosial masyarakat masa kini. Golongan warga tua ini ditinggalkan berseorangan (mungkin disebabkan oleh penceraian, perpisahan atau kematian) atau berdua (suami isteri) di rumah tanpa bantuan keluarga dan kadangkala perlu dimasukkan ke dalam institusi khas untuk warga tua. Kebanyakan daripada mereka tinggal jauh dari bandar dan kurang kemudahan.

Sesetengah daripada mereka mengalami masalah hilang upaya (atau cacat). Faktor kewangan akan memberi kesan kepada aspek penjagaan kesihatan dan perubatan, serta status pemakanan dan nutrisi. Jika tahap kesihatan dan pemakanan terjejas, berat badan turut terjejas. Ini akan mempengaruhi jumlah (atau dos) ubat yang perlu dimakan dan kesan ubat tersebut. Jika mereka tidak mempunyai wang, mereka tidak mampu membeli ubat, atau mendapatkan perkhidmatan perubatan yang diperlukan. Penyakit mereka akan menjadi teruk dan merbahaya jika mereka tidak mendapatkan rawatan, tidak mengambil ubat seperti yang diarahkan atau berhenti mengambil ubat sama sekali. Pendek kata, perubahan emosi, fizikal, fisiologi, psikologi, sosial dan ekonomi akan menentukan lagi penyakit yang dialami.

KESAN PENGGUNAAN UBAT

Ubat yang diambil oleh warga tua adalah sama seperti yang diambil oleh golongan muda tetapi kesannya adalah berbeza tidak kira sama ada individu mengalami penyakit jantung, hipertensi ataupun diabetis. Ini kerana fungsi sistem organ menjadi kurang berkesan apabila kita menjadi semakin tua. Ubat-ubat yang diambil akan diproses dan bertindak berbeza  berbanding dengan golongan muda. Terdapaat beberapa perubahan yang biasa  berlaku apabila kita menjadi tua. Hal ini akan mempengaruhi kesihatan dan tindak balas tubuh kepada ubat:

  1. Penyerapan makanan dan ubat akan berkurangan.

  2. Pembuangan bendalir dan toksin oleh buah pinggang serta hati akan berkurangan.

  3. Kulit menjadi kering dan mudah luka.

  4. Fungsi dan keupayaan paru-paru berkurangan dan mudah mendapat penyakit serta mudah dipengaruhi  oleh kesan merokok dan pencemaran udara.

  5. Otot, tulang dan sendi menjadi semakin lemah. Individu mudah tercedera dan tulang mudah retak atau patah.

  6. Jantung dan sistem peredaran darah kurang efisien.

  7. Deria mendengar, melihat dan merasa berubah. Ini memberi kesan kepada pergerakan atau keupayaan tertentu seperti memandu kereta atau melakukan aktiviti seks.

  8. Berat dan komposisi badan berubah. Oleh itu, keperluan jumlah ubat turut berubah.

  9. Sistem imun berkurangan dan ini memudahkan individu mendapat jangkitan dan penyakit kanser.

  10. Daya ingatan berkurangan kerana perubahan kimia dalam badan atau kerosakan sel pada otak.

Semua perkara diatas boleh membahayakan warga tua akibat ubat yang mereka ambil. Jika sisa ubat yang diambil tidak boleh dibuang dengan berkesan, ia akan tinggal lebih lama di dalam badan dan mungkin memberi kesan mudarat atau kesan kelebihan dos. Jika seseorang terlupa mengambil ubat yang mengawal fungsi jantung atau peredaran darah, individu tersebut akan terdedah kepada penyakit angina ahmar (strok), peredaran otak atau serangan penyakit jantung.

Individu-individu  dalam golongan warga tua yang sedang mengambil ubat dalam kategori berikut harus berwaspada terhadap peningkatan kemungkinan kesan sampingan, kelebihan dos dan pengurangan efikasi:

  • Antibiotik

  • Antihistamin

  • antihipertensi

  • Antiulser

  • Ubat yang mencairkan darah

  • Bronkodilator

  • Suplimen kalsium atau potasium

  • Ubat jantung

  • Estrogen

  • Ubat yang mengurangkan rasa sakit analgesik

  • Ubat penyakit mental

  • Ubat dan krim  bagi masalah kulit

PENGGUNAAN UBAT DENGAN SELAMAT

Penggunaan ubat dengan selamat di kalangan warga tua memerlukan kewaspadaan di kalangan mereka dan kepada individu yang membantu mereka. Satu perkara yang sangat penting ialah memastikan ubat diambil dengan betul dan diambil secara berterusan serta tetap. Bagi penyakit-penyakit kronik seperti hipertensi, pengambilan ubat sangat penting untuk memastikan ubat menstabilkan keadaan tekanan darah dan mengekalkan kesejahteraan kesihatan.

Perlu diingatkan juga bahawa tiada ubat yang tidak merbahaya terutamanya kepada warga tua. Perhatikan perubahan yang berlaku menunjukkan kesan yang tidak diingini dan waspada terhadap kesan interaksi ubat yang mungkin berlaku apabila mereka mengambil beberapa jenis ubat dalam satu masa. Individu perlu memaklumkan kepada doktor atau ahli farmasi mengenai ubat yang sedang mereka ambil termasuk ubat-ubat yang diperoleh daripada sumber-sumber yang lain.

Terdapat beberapa perkara lain yang perlu diberikan perhatian. Adakah semua ubat-ubatan disimpan di dalam bekas yang asal dan dilabel dengan jelas? Warga tua mudah keliru jika ubat-ubat tidak dilabelkan dengan jelas dan betul. Ubat-ubat mudah disalahguna atau boleh bercampur aduk jika labelnya tidak ditulils dengan betul. Jika ubat yang diambil adalah salah atau tidak mengikut waktu atau mengambil jumlah dos yang tidak sepatutnya, ini boleh memudaratkan individu tersebut. Keadaan ini sangat merbahaya. Terdapat beberapa saranan yang boleh diikuti:

  • Pastikan semua bekas ubat dilabelkan dengan jelas. Label tersebut harus mengandungi maklumat-maklumat berikut: Kandungannya (nama ubat?), indikasi (untuk apa?), arahan doktor atau ahli farmasi (bila, kekerapan dan jumlah ubat?), tarikh luput dan nama pesakit.

  • Buang ubat-ubat yang tidak digunakan lagi atau yang telah tamat tarikh luput dengan betul. Jangan sesekali menyimpan ubat yang tidak digunakan lagi untuk masa yang akan datang atau berkongsi ubat dengan orang lain.

  • Dapatkan bekas ubat dengan penutup khas (rintang kanak-kanak) apabila mendapatkan ubat daripada klinik, hospital atau kedai farmasi. Jika ada mengalami masalah seperti penyakit artritis ataupun gout, ia akan memberi kesan kepada jari dan tangan anda dan ini akan menyukarkan membuka penutup khas bekas rintangan kanak-kanak.

Laporan dari luar negara banyak melaporkan bahawa keracunan di kalangan kanak-kanak kerap berlaku apabila mereka menziarah datuk nenek mereka. Oleh kerana sikap "ingin tahu', kanak-kanak kerap menggeledah tempat dan bekas menyimpan ubat. Ini akan membawa padah kerana ubat-ubat yang biasa diambil oleh golongan warga tua adalah untuk penyakit kronik yang teruk dan merbahaya (dos yang tinggi dan kuat). Keracunan akibat ubat-ubat ini mudah membawa maut. Jika warga tua sering tinggal dengan keluarga yang mempunyai kanak-kanak atau sering menziarah cucu, mereka patut mendapatkan ubat dalam bekas yang rintang kanak-kanak atau simpan ubat-ubat tersebut di tempat yang selamat, tempat yang sukar dicapai oleh kanak-kanak atau tempat yang berkunci.

Kesimpulannya warga tua adalah subpopulasi masyarakat yang perlu di beri perhatian khusus oleh setiap lapisan masyarakat profesional kesihatan, keluarga, kerajaan dan masyarakat umum. Mereka mengalami penyakit kronik mengambil berbagai-bagai ubat dan terdedah kepada berbagai-bagai bahaya. Keprihatinan kita kepada masalah ini dapat menjamin kesejahteraan warga tua.       


Poisoning Emergency/ Information

Article from FB

Our Location

Last Modified: Friday 13 December 2024.